Pembunuhan Sami Buddha di Selatan Thailand Mengejutkan Negara
2019.01.22
Yala, Thailand

Pada Jumaat lalu, beberapa suspek pemberontak disyaki menembak mati dua sami – ketua dan timbalannya - serta mencederakan dua sami lain dalam satu serangan di sebuah kuil Buddha di Sungai Padi, iaitu daerah dalam wilayah Narathiwat di Selatan Thailand.
Pembunuhan itu adalah yang pertama yang menyasarkan sami Buddha di wilayah sempadan selatan dalam tempoh lima tahun.
Ketua sami yang dibunuh itu, Prakru Prachote Rattananurak, dikatakan mempunyai hubungan kerja yang erat dengan para penduduk setempat yang merangkumi masyarakat Buddha dan Muslim. Mereka memuji pandangan positifnya terhadap kehidupan, tanpa mengambil kira keadaan yang bergolak teruk sejak sekian lamanya di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah Muslim.
Pertubuhan hak asasi manusia pantas mengutuk pembunuhan itu, seperti mana Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang kemudian mengarahkan pihak berkuasa memburu mereka yang melakukan pembunuhan itu serta menggesa orang ramai supaya yakin dengan usaha kerajaan tentera untuk menamatkan konflik di wilayah sempadan selatan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Prayuth menuduh pemberontak cuba mencetuskan tindakan balas pasukan keselamatan kerajaan dengan matlamat untuk mendapatkan campur tangan antarabangsa.
Selepas melawat kuil di mana sami-sami berkenaan dibunuh, Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong memberitahu wartawan bahawa beliau merancang untuk meminta anggota tentera supaya secara sukarela menyamar sebagai sami di kuil-kuil di Selatan Thailand agar para penduduk merasa lebih selamat. Beliau tidak menyatakan sama ada tentera yang menyamar itu akan turut membawa senjata.
Pemberontak menyasarkan sami-sami dalam serangan minggu lepas bagi membalas dendam terhadap pembunuhan tiga ulama Muslim di Selatan Thailand sejak beberapa bulan lalu, selain untuk menolak tekanan yang dikenakan terhadap pemimpin pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) supaya menyertai perbincangan damai yang diusahakan Malaysia, kata sumber yang rapat dengan pertubuhan itu.
BRN adalah kumpulan pemisah bersenjata yang sudah sekian lama mengawal hampir semua pemberontak di wilayah-wilayah Selatan Thailand.
Menurut sumber-sumber, para pemimpin tertinggi BRN telah menyembunyikan diri kerana mereka bosan dengan tekanan dan teguran tanpa henti supaya mereka tampil bertemu dengan para perunding Thailand dalam perbincangan itu.
Apa yang masih tidak jelas adalah sama ada pembunuhan pada Jumaat itu merupakan hanya satu kejadian atau sama ada ia menandakan kembalinya keadaan lebih sedekad yang lalu, di mana pemberontak kerap menyasarkan kuil dan sami Buddha sebagai cara untuk memalukan pasukan keselamatan kerajaan di wilayah selatan.
Serangan masa lalu
Pada 2006 hingga 2007, wilayah itu dicengkam oleh serangan-serangan khianat yang menyasarkan lebih 100 sekolah awam, selain mayat-mayat tentera dipotong atau dipenggal. Semua perbuatan itu dihentikan selepas pemimpin dan aktivis Islam tempatan lantang bersuara dan memberitahu pemberontak bahawa kekejaman itu hanya menjejaskan matlamat politik mereka.
Selepas itu, kedua-dua pihak yang bertelingkah bersetuju supaya mematuhi peraturan asas tidak bertulis bahawa tiada kanak-kanak dan tokoh agama, sami atau imam yang boleh dicederakan. Bagaimanapun, ada yang tidak mematuhi persefahaman itu yang menyebabkan lebih banyak keganasan berlaku.
Pada 11 Jan 2019, Doloh Sarai, imam terakhir daripada tiga imam yang dibunuh dalam beberapa serangan baru-baru ini, ditembak mati oleh lelaki bersenjata ketika dia menunggang motosikalnya di daerah Ruesoh, Narathiwat.
Serangan itu, yang menyaksikan pelakunya menggunakan senjata tentera, berlaku kira-kira 200 meter (656 kaki) daripada sebuah pos pemeriksaan tentera. Penduduk tempatan dan sumber pemisah mendakwa bahawa pasukan kerajaan atau yang pro-kerajaan mendalangi pembunuhan itu.
Hanya sedikit atau tiada pun ucapan takziah daripada para pemimpin negara selepas pembunuhan tiga pemimpin Islam itu, dan siasatan ke atas pembunuhan mereka nampak tidak menuju ke mana-mana, kata seorang aktivis Muslim tempatan, Suhaimee Dulasa.
"Keamanan pasti wujud jika adanya pemahaman bahawa semua nyawa manusia adalah berharga, tanpa mengira siapa mangsa tersebut," kata Suhaimee, angota kanan The Patani, sebuah kumpulan politik yang menggalakkan hak untuk berazam dalam kalangan penduduk di wilayah bergolak itu.
Kali terakhir seorang sami Buddha Thailand terbunuh dalam insiden berkaitan pemberontakan adalah pada Julai 2015 di Sai Buri, iaitu daerah di wilayah Pattani, apabila sebuah IED yang disembunyikan di dalam sebuah tong sampah, meletup. Sasarannya adalah sekumpulan anggota tentera yang melakukan rondaan dan bukannya sami.
Pada Februari 2014, di daerah Mae Lan dalam wilayah Pattani, pemberontak yang berpakaian ala tentera melepaskan tembakan ke arah penduduk tempatan yang sedang menyerahkan sumbangan kepada sami-sami. Empat orang, termasuk seorang sami dan seorang budak lelaki, maut dalam serangan itu.
Ia berlaku beberapa hari selepas tiga budak lelaki berusia 10 tahun ke bawah dibunuh di rumah mereka di daerah Bacho, Narathiwat. Dua anggota renjer separa tentera mengaku telah membunuh budak lelaki tersebut – yang kononnya bertujuan untuk menghentikan serangan-serangan balas - tetapi kemudian menarik balik pengakuan mereka apabila kes itu dibawa ke mahkamah beberapa bulan kemudian.
Pada November 2012, seorang ahli Jawatankuasa Islam Wilayah Yala, imam Abdullateh Todir, ditembak mati di daerah Yaha.
Pembunuhan beliau menyebabkan tercetusnya keganasan yang berlarutan selama enam minggu selain keengganan pemimpin Islam di rantau itu untuk menyokong inisiatif damai kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada Februari 2013.
Pada Mei 2011, sebuah bom diletupkan di tepi jalan oleh pemberontak yang bersembunyi di kawasan pokok berhampiran, menyebabkan dua sami di daerah Yaha terbunuh. Serangan itu berlaku pada Visaka Bucha, iaitu hari yang paling penting dalam kalendar Buddha.
Selepas itu, media nasional Thailand rancak memainkan isu tersebut selama beberapa hari dengan membuat kesimpulan bahawa serangan itu sengaja dilakukan bagi mewujudkan jurang yang lebih besar antara penganut Buddha dan umat Islam. Tetapi, para penyiasat pula berkata tidak mungkin pelaku serangan itu dapat melihat sami-sami berkenaan berada di dalam sebuah teksi.
'Tiba masanya untuk berundur sedikit'
Pembunuhan sami-sami itu pada Jumaat lalu berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan pemberontak sejak November lalu. Berdasarkan perbualan dengan sumber-sumber kedua-dua pihak yang berkonflik, para pemberontak dilihat mahu menghantar mesej kepada Bangkok dan Kuala Lumpur supaya berhenti memberi tekanan kepada para pemimpin mereka agar tampil ke meja rundingan.
Pembunuhan ketiga-tiga imam itu sejak beberapa bulan lalu juga merupakan antara faktor tersebut kerana ia melanggar peraturan tidak bertulis yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak, kata sumber itu.
Keganasan semakin berleluasa di wilayah bergelora itu ketika junta yang memerintah semakin hampir membuat pengumuman mengenai tarikh pilihan raya umum yang akan datang.
Tidak banyak yang boleh ditonjolkan oleh Jeneral Prayuth dalam aspek menangani pemberontakan di Selatan Thailand. Pertemuan antara wakil kerajaan Thailand dan pemimpin BRN pada masa ini akan dianggap sebagai satu kejayaan besar, dan mungkin cukup baik bagi Prayuth untuk mendakwa adanya kemajuan dalam usaha itu.
Baru-baru ini, Prayuth menggantikan ketua perundingnya sejak tiga tahun lalu dengan seorang jeneral tentera bersara, Udomchai Thamsarorat, yang nampaknya berusaha meminta komuniti antarabangsa supaya membantunya dengan memberi nasihat – bukannya campur tangan – tentang bagaimana meneruskan lagi perbincangan damai itu.
Selain itu, Bangkok nampaknya tidak mahu melakukan sebarang konsesi yang bermakna bagi BRN, yang sebelum ini berkata bahawa mereka tidak berminat untuk berunding dengan kerajaan Thailand pada masa ini.
Berdasarkan tuntutan yang dibuat BRN, jika dan selepas mereka membuat keputusan untuk tampil ke meja perbincangan, proses damai mestilah sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa - yang bermaksud adanya pengantaraan oleh ahli-ahli komuniti antarabangsa.
Pembunuhan sami pada Jumaat lalu nyata mengejutkan seluruh negara, termasuk perwakilan daripada pertubuhan masyarakat awam Melayu tempatan (CSO) yang secara diam-diam cuba meyakinkan pemberontak supaya menghormati prinsip-prinsip kemanusiaan dan norma-norma antarabangsa.
"Mereka telah menyatakan pendapat, dan kini, tibalah masanya untuk berundur sedikit," kata seorang anggota CSO yang enggan dikenali.
"Usaha menyerap unsur-unsur kesopanan merupakan cabaran yang sangat sukar. Sejumlah besar militan di lapangan masih melihat prinsip-prinsip kemanusiaan seperti Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan peraturan perbincangan sebagai idea pihak asing untuk mengikat tangan mereka di lapangan yang sememangnya sudah pun menentang mereka," kata sumber itu.
Don Pathan ialah perunding keselamatan dan pembangunan bagi organisasi antarabangsa yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.