Malaysia Umum PKP Seluruh Negara Untuk Sekat Penularan COVID-19

Kebenaran untuk melakukan ziarah rumah ke rumah pada Aidilfitri turut ditarik balik, demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.
Noah Lee dan Nisha David
2021.05.10
Kuala Lumpur
Malaysia Umum PKP Seluruh Negara Untuk Sekat Penularan COVID-19 Kanak-Kanak bermain bunga api di kawasan Flat Sri Melaka, Cheras, Selangor yang dihiasi dengan pelita panjut pada 9 Mei 2021.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Rakyat Malaysia yang beragama Islam akan menyambut Aidilfitri buat kali kedua di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah Perdana Menteri mengumumkan bahawa perintah itu akan bermula sehari sebelum sambutan perayaan itu pada Rabu berikutan kenaikan mendadak jangkitan COVID-19 di dalam negara, yang turut menyumbang kepada jumlah kematian tertinggi pada hujung minggu lepas.

Muhyiddin Yassin berkata langkah itu adalah usaha kerajaan bagi menyekat sebarang bentuk perjumpaan semasa perayaan ketika negara merekodkan lebih 3,000 jangkitan baharu setiap hari sejak beberapa minggu lepas yang boleh menyumbangkan kepada krisis nasional.

"Rantaian jangkitan COVID-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat.

"Sehubungan itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang saya pengerusikan hari ini telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, dengan tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 manakala tarikh kuat kuasa bagi larangan dan arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021," menurut Muhyiddin dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Arahan itu menyaksikan umat Islam di Malaysia bakal meraikan Aidilfitri di rumah masing-masing sahaja selepas kerajaan memutuskan bahawa ziarah rumah ke rumah dan aktiviti menziarahi kubur tidak dibenarkan.

Ia lebih ketat berbanding PKP yang diwartakan minggu lepas di enam daerah di Selangor dan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan aktiviti ziarah dibenarkan namun terhad kepada mereka yang tinggal dalam daerah sama sahaja.

Kerajaan turut melarang sebarang perjalanan rentas daerah dan negeri namun pengecualian diberikan kepada perjalanan bagi tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi serta pasangan jarak jauh.

Selain itu, semua jenis majlis sosial seperti kenduri, perkahwinan serta majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan. Arahan sama turut terpakai kepada semua jenis mesyuarat, persidangan dan seminar secara bersemuka.

Bagaimanapun, sedikit kelonggaran diberikan kepada masjid dan surau untuk mengadakan solat sunat Aidilfitri pada sebelah pagi dengan beberapa syarat seperti bilangan jemaah terhad kepada 50 orang untuk masjid berkapasiti lebih 1,000 orang manakala bagi masjid berkapasiti kurang daripada itu, hanya 20 orang dibenarkan.

Menurut Muhyiddin, keputusan untuk melaksanakan perintah itu di seluruh Malaysia dibuat selepas kerajaan mendapati negara berdepan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan krisis nasional berdasarkan jumlah kes harian serta kes aktif yang direkodkan.

"Kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut Kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

"Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19," katanya.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan pada Isnin, sejumlah 3,807 kes baharu dicatat dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 444,484.

Kes aktif pula direkodkan sebanyak 37,396 dengan 434 pesakit positif ditempatkan di unit rawatan rapi hospital dengan 224 memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian turut meningkat sebanyak 17 kes menjadikan angka korban akibat pandemik itu di Malaysia kini ialah 1,700 orang.

Kenaikan kes harian di Malaysia berlaku ketika negara itu sedang aktif menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setakat Ahad, pihak berkuasa kesihatan telah memberikan suntikan sebanyak 1,786,459 dos vaksin kepada penerima termasuk 1,105,033 dos pertama.

Menteri Kesihatan Adham Baba dalam sidang media pada Isnin berkata langkah ketat perlu diambil bagi mengekang penularan koronavirus ketika negara berusaha mencapai imuniti kelompok.

"Saya ingin nyatakan bahawa bukan kita tidak prihatin dan sayang kepada rakyat. Tetapi ini adalah situasi yang tidak dijangka sama sekali. Kita lihat sejak Disember 2020, sektor ekonomi telah dibuka dengan penekanan SOP dan pemantauan ketat supaya ekonomi terus berkembang.

"Bagaimanapun, kita sudah memulakan program vaksinasi. Ini adalah satu cara untuk mencegah penularan sehingga kita dapat mencapai imuniti kelompok. Kita memerlukan pemantauan SOP dan pemantauan ketat supaya dapat terus mencegah jangkitan," katanya.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Kuljit Singh pula berkata pengumuman kerajaan itu adalah tepat.

“Idea di sebalik PKP ialah untuk menyekat pergerakan dan mengurangkan kesesakan. Ini adalah PKP 3.0 tetapi jika anda lihat, ia bukanlah PKP penuh seperti PKP1.0 kerana perniagaan masih lagi dibuka kerana jika premis perniagaan ditutup, maka akan muncul isu lain pula. Kita tidak mampu untuk melihat ekonomi jatuh seperti yang berlaku dalam PKP 1.0,” katanya.

Beliau berkata sekarang ia bergantung kepada rakyat untuk bertindak sewajarnya.

“Jika semua mengikut, sudah tentu kita dapat melengkungkan graf dan tiada lagi PKP, tiada lagi COVID-19 bila sampai hujung tahun,” kata Kuljit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Webtech
May 16, 2021 10:59 PM

Testing comment email notification. Please ignore.