Mahkamah Akan Dengar Kes Kartunis Cabar Akta Hasutan
2016.04.13
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Malaysia dijadual pada Khamis untuk mendengar kes yang mencabar Akta Hasutan oleh seorang kartunis sindiran dan pasukan peguamnya atas alasan ia bercanggah dengan perlembagaan negara, yang menjamin kebebasan bersuara.
Zulkiflee Anwar Ulhaque - lebih dikenali sebagai Zunar – serta peguam Eric Paulsen dan N. Surendran telah memfailkan cabaran itu pada Oktober 2015, selepas Zunar didakwa dengan sembilan pertuduhan hasutan kerana posting yang dimuat naik dalam Twitternya yang mengkritik penahanan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat pada Februari 2015.
Mahkamah Tinggi mungkin memutuskan perkara itu pada pendengaran pertama Khamis, kata Eric kepada BeritaBenar.
Penolakan kes itu akan memberi laluan kepada Mahkamah Sesyen yang lebih rendah untuk menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes hasutan Zunar.
"Walaupun kita mungkin membuat rayuan lanjut kepada Mahkamah Rayuan, kami akan berusaha memohon penangguhan dalam mendengar kes Zunar di Mahkamah Sesyen," kata Eric.
Keputusan bersalah pada semua sembilan tuduhan hasutan boleh membawa hukuman penjara 43 tahun.
Selepas Zunar memuat naik tweet itu pada Februari 2015, polis merampas satu ringkasan kartun beliau, yang memberi tumpuan terhadap Anwar, dakwaan rasuah kerajaan, dan gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor.
Zunar disabitkan dengan sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan "taktik baru untuk memastikan bahawa saya disenyapkan selama-lamanya." Sejak tahun 2008, beliau telah dua kali ditangkap dan ditahan sementara waktu. Buku-buku beliau telah diharamkan. Kilang cetakan dan kedai buku diberi amaran supaya tidak bekerjasama dengannya.
"Mereka tidak perlu sembilan. Secara logiknya, satu adalah mencukupi, "katanya kepada BeritaBenar dalam satu temubual pada November lepas.
Pada tahun 2014 dan 2015, kira-kira 200 orang telah disiasat, ditangkap atau didakwa di bawah Akta Hasutan, kata beliau.
"Kami mencabar undang-undang kerana pada pandangan kami, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di mana dalam Perkara 10 menyatakan bahawa setiap rakyat mempunyai hak untuk bebas memberi pandangan mereka," kata Zunar.
MY-
Zunar, 53, menerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa pada November 2015 dari Committee to Protect Journalist, sebuah organisasi bukan untung antarabangsa yang menggalakkan kebebasan akhbar.
Nota Pengarang: Zunar adalah penyumbang kepada BeritaBenar.