Zunar Cabar Larangan Keluar Negara Di Mahkamah
2016.12.07
Kuala Lumpur

Kartunis satira Zunar pada Rabu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar larangan perjalanan keluar negara yang dikenakan ke atasnya sejak Oktober lepas.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melalui peguamnya Eric Paulsen dan Melissa Sasidaran.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden dalam permohonan Zunar itu, yang juga penyumbang kepada BeritaBenar.
Kartunis itu hanya menyedari mengenai larangan perjalanan keluar negara keatasnya apabila dimaklumkan oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika hendak berlepas ke Singapura untuk menghadiri sebuah forum di negara berkenaan pada 17 Oktober.
Pegawai Imigresen tersebut tidak memberitahu sebab secara lisan atau bertulis bagi larangan perjalanan itu, sebaliknya, hanya memaklumkan bahawa ia adalah perintah Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, dan telah berkuatkuasa sejak 24 Jun.
"Larangan tersebut adalah salah guna kuasa oleh kerajaan dan telah dilakukan dengan niat jahat untuk menghalang saya daripada melakukan kerja-kerja seni saya. Larangan itu juga telah menyebabkan saya tidak dapat menghadiri jemputan pameran seni di Switzerland dan Australia," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Paulsen memberitahu bahawa larangan itu telah melanggar hak perlembagaan Zunar di bawah Perkara 5 (hak untuk kebebasan), Perkara 8 (hak untuk kesaksamaan) dan Perkara 9 (hak untuk kebebasan bergerak).
"Persoalannya sekarang ialah adakah (kerajaan) Malaysia masih mengikuti undang-undang, atau adakah pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk bertindak sesuka hati mereka, dengan cara yang sewenang-wenangnya dan di luar bidang kuasa mereka," kata Paulsen, sambil menambah bahawa beliau berharap mahkamah akan menetapkan tarikh bagi kes berkeanaan secepat mungkin.
Beberapa penyokong dan rakan Zunar turut berkumpul di Kompleks Mahkamah pagi Rabu itu, sambil memegang poster yang antaranya menyebut "Kebebasan Bergerak adalah Hak Perlembagaan Saya."
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar sekatan perjalanan keatas mereka, tetapi Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan itu, dengan mengatakan bahawa ketua pengarah imigresen mempunyai kuasa di bawah Akta Imigresen untuk menyekat perjalanan mana-mana warganegara.
Kartunis kontroversial
Zunar - yang karya seni kartunnya mengetengahkan isu-isu negara dan politik serta sindiran terhadap pemimpin, seperti Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor. Pada bulan lepas Zunar berada di Pulau Pinang untuk mengambil bahagian di dalam acara tahunan Georgetown Literary Festival, dan telah didatangi sekumpulan lelaki yang mendakwa hasil seni kartun beliau itu menggangu keamanan rakyat Malaysia.
Kumpulan itu telah menyerbu tempat pameran lukisan di Komtar dan menuntut Zunar supaya membuang lukisannya. Beberapa hari selepas itu, kartunis itu telah ditangkap dan disiasat di bawah Akta Hasutan manakala pameran seni beliau telah dihentikan dan hasil lukisannya dirampas oleh pihak polis.
Walaubagaimanapun, Zunar dibebaskan dengan ikat jamin sehari selepas beliau ditahan polis.
Pameran hasil karya seni yang sama juga telah diadakan di Petaling Jaya, Selangor selama tujuh hari bermula 3 September lepas, tanpa sebarang insiden.
Pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 itu sudahpun menghadapi sembilan tuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman negara, melalui tweet yang dimuat naik beliau mengenai sabitan kesalahan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015.