'Kerajaan Tidak Boleh Haramkan Ketawa' - Zunar
2015.11.23

Kemaskini pada 11.30 petang, ET - 2015-11-24
Ketawa boleh menjadi satu bentuk protes, kata kartunis Malaysia Zulkiflee Anwar Ulhaque - yang lebih dikenali sebagai Zunar. Kritikan visual beliau yang berani terhadap kerajaan telah membawa pada kepada hasil kerjanya.
"Jika anda tidak sukakan mereka, ketawakan mereka. Kerajaan tidak boleh membuat undang-undang untuk mengharamkan ketawa, " kata Zunar kepada BeritaBenar dalam satu temu bual di Washington DC.
Kartunis berusia 53 tahun itu bakal menerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa minggu ini daripada Jawatankuasa bagi Melindungi Wartawan, sebuah pertubuhan antarabangsa yang menggalakkan kebebasan akhbar. Anugerah itu mengiktiraf keberanian wartawan dalam menghadapi ancaman.
Zunar didakwa dengan sembilan pertuduhan hasutan dan kini menghadapi hukuman penjara selama 43 tahun kerana menulis tweet yang mengecam tindakan memenjarakan ketua pembangkang Anwar Ibrahim atas pertuduhan liwat.
Ramai yang melihat perbicaraan itu sebagai helah untuk menghapuskan saingan politik yang kuat bagi gabungan parti Barisan Nasional, yang berkuasa sejak 1957. Tetapi, perbicaraan kes hasutan Zunar kini ditangguhkan. Pasukan peguam Zunar telah mencabar Akta Hasutan Malaysia dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan negara, yang menjamin kebebasan bersuara. Mahkamah dijadual mendengar permohonan untuk mencabar pada 15 Disember.
Zunar - yang kartunnya disiarkan setiap hari dalam portal berita Malaysiakini – menganggap sembilan tuduhan hasutan itu sebagai cubaan untuk menutup mulut beliau buat "selama-lamanya" selepas kempen bertahun-tahun yang dilancarkan terhadapnya.
Sejak 2008, beliau telah dua kali ditangkap dan ditahan sementara waktu. Buku-buku beliau telah diharamkan. Kilang cetakan dan kedai buku diberi amaran supaya tidak bekerja dengannya. Dan, menurut Zunar, webmaster yang menguruskan jualan hasil kerjanya dalam talian telah disiasat kerana hasutan.
Dalam temu bual dengan BeritaBenar di Washington, Zunar menjelaskan mengapa beliau akan kembali menghadapi tuduhan di mahkamah, walaupun berdepan dengan risiko.
BB: Adakah kebebasan bersuara semakin terhad di Malaysia sejak 2008?
Zunar: Saya fikir ruang kebebasan bersuara semakin sempit dari hari ke hari di Malaysia. Ini dikaitkan dengan penurunan sokongan untuk kerajaan... semakin ramai rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, semakin sempitlah ruang itu. Kerajaan sedang mengambil langkah-langkah untuk memastikan ia masih berkuasa.
Pada pilihan raya umum lepas, pada tahun 2013, parti yang memerintah, , Barisan Nasional, mendapat hanya 47 peratus undi popular, dan pembangkang mendapat 52 peratus. Ini bermakna kerajaan kini di pihak minoriti, walaupun dari segi kerusi, berdasarkan terma perundangan, mereka masih berkuasa, tetapi dari segi undi popular, mereka adalah minoriti. Jadi, kita lihat bahawa 50 peratus daripada rakyat tidak berpuas hati.
Rakyat akan menggunakan apa sahaja kaedah yang boleh jika mereka ditekan. Jika mereka tidak dapat meluahkan hati dalam media arus perdana, atau di tempat-tempat lain. Rakyat memang kreatif, mereka akan membuat video yang menyindir, sebagai contoh, mereka membuat poster, kartun, jenaka, dan sebagainya dalam internet. Dan kerana ini, kerajaan terpaksa mengambil langkah-langkah untuk memastikan ia tidak berlaku.
BB: Apakah kuasa khas atau peranan kartun?
Zunar: Kartun adalah medium komunikasi yang sangat berkesan. Pertama, ia lucu, ia mempunyai humor. Kedua, ia meringkaskan masalah yang rumit dalam bentuk lukisan yang mesejnya mudah difahami dengan cepat. Selain itu, ia universal. Ia boleh difahami di mana sahaja. Dan keempat, ia mempunyai apa yang dipanggil imej bergambar, imej yang melekat di fikiran anda, lebih baik daripada sesuatu yang anda baca.
Dan selain daripada itu, ia boleh merentasi halangan sosial. Sebagai contoh, seseorang yang tidak boleh membaca masih boleh memahami kartun.
Saya mahu mesej saya mencapai jangkauan yang luas. Oleh itu, saya telah memperkenalkan apa yang saya panggil kartun untuk rakyat. Ini bukan kartun politik. Ini adalah kartun untuk rakyat. Saya tidak melukis tentang ahli-ahli politik di sini ... tetapi mengenai isu-isu politik yang memberi kesan kepada rakyat. Rasuah adalah masalah negara, bukan masalah politik, kerana akhirnya rakyat yang terpaksa memikul beban.
Kedua, dalam kartun saya untuk rakyat, saya tidak mengenakan hak cipta. Sesiapa yang mahu menggunakannya, sila teruskan. Anda tidak perlu meminta kebenaran. Ini kerana saya rasa bakat yang saya ada bukanlah satu hadiah, tetapi sebagai satu tanggungjawab. Bakat bukan sesuatu yang digunakan untuk kepentingan diri saya, tetapi untuk kepentingan semua orang ... saya tahu ramai rakyat Malaysia tidak berpuas hati, ramai yang mahu meluahkan perasaan, tetapi mungkin mereka tidak berani menyertai demonstrasi. Ada yang bekerja, sebahagian daripada mereka tidak berani berdepan dengan polis. Saya faham. Oleh itu, saya menawarkan bantahan melalui ketawa ... Hanya tertawakan mereka. Jika anda tidak sukakan mereka, ketawakan mereka ... Kerajaan tidak boleh membuat undang-undang untuk mengharamkan ketawa.
BB: Adakah anda menulis tentang agama, dan peranan agama dalam politik?
Zunar: Menegur agama bukan agenda saya.... saya tidak mengkritik Islam. Dan saya tidak mengkritik agama Kristian, atau mana-mana agama, oleh kerana saya menghormati agama. Tetapi pengikut agama, ya, saya mengkritik mereka ... Saya telah menghasilkan kartun yang mengkritik penganut agama kerana mengeksploitasikan agama. Sebagai contoh, baru-baru ini saya menghasilkan kartun tentang perbezaan haram.
Di Malaysia, terdapat makanan haram. Ia adalah satu isu besar. Daging babi adalah haram. Tetapi 2.6 b [bilion] adalah halal. Rasuah 2.6b yang diambil oleh Perdana Menteri; 2.6 b itu adalah halal. Jadi, itulah yang saya maksudkan dengan tidak mengkritik agama, tetapi mengkritik pengikut agama. Saya tidak akan menegur agama dalam kartun saya, kerana pada pendapat saya, musuh pertama manusia bukan agama, tetapi rejim yang korup dan menindas.
BB: Apabila serangan berlaku terhadap Charlie Hebdo di Paris, adakah anda diminta memberi komen? Dan apa yang anda katakan?
Zunar: Saya kartunis pertama yang membuat kenyataan, dan secara kebetulan saya kartunis Islam, maka ia telah dimainkan dengan meluas. Pendapat saya adalah sangat jelas. Pertama sekali, kita mesti menghormati hak kartunis. Hak perlu dihormati. Kita tidak boleh melanggar hak itu. Tetapi Islam juga mempunyai hak, untuk tidak menyukai kartun itu. Kita mungkin tidak suka, tetapi kita tidak mempunyai lesen untuk membunuh ...
Jika kita tidak suka, ada banyak benda yang boleh kita lakukan. Kita boleh berdebat dengan mereka. Kita boleh membuat kartun yang baik tentang Nabi Muhammad. Umat Islam terlalu asyik dengan penghinaan terhadap mereka menerusi kartun tidak baik. Di manakah kartun yang baik? Ia tidak pernah dihasilkan….
Hak kartunis mesti dihormati, tetapi kandungannya tertakluk kepada perbahasan. Dan kartunis perlu menjawabnya. Jika mereka menghina agama, mereka mesti memberi respon kepada orang yang menghina. Itulah tugas mereka. Tetapi tiada orang di dunia ini, termasuk Nabi Muhammad, yang mempunyai lesen untuk membunuh.
BB: Apa perasaan anda tentang perbicaraan mahkamah yang akan datang?
Zunar: Pertama sekali, seperti sesiapa yang akan rasa, saya rasa takut. Tetapi rasa tanggungjawab saya adalah lebih besar daripada rasa takut. Ini adalah tanggungjawab saya, dan saya mesti menghadapinya. Ada orang yang bertanya kepada saya, mengapa tidak minta suaka politik, di negara lain, di Eropah, atau di Amerika? Jika saya berbuat demikian, ia adalah baik buat saya tetapi tidak baik untuk negara.
Jika saya mengambil suaka di negara lain, saya tidak perlu berdepan mahkamah. Dan kerajaan sukakan itu, kerana mereka tidak perlu menjelaskan apa-apa.... Saya mahu pergi ke mahkamah, kerana selepas mereka menahan dan mendakwa saya, mereka mempunyai tanggungjawab secara terbuka untuk menjelaskan mengapa ia dilakukan.
Saya tahu kes saya akan mendapat liputan meluas di media antarabangsa. Dan kerana itu, saya perlu dedahkan wajah sebenar kerajaan Malaysia. Sekurang-kurangnya demi kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Ini adalah peluang saya. .. atas sebab itu saya akan kembali, walaupun saya tahu risikonya amat besar.
BB: Adakah anda terus menghasilkan kartun sekarang?
Zunar: Saya melukis lebih banyak berbanding sebelum ini. Selepas saya ditahan, selepas saya didakwa, saya melukis lebih banyak kartun daripada sebelum ini. Setiap hari saya melukis, di mana sahaja saya berada.... jika kita melihatnya dari sudut pandangan positif, ia telah memberikan saya motivasi.