Malaysia-Thailand Bakal Buka Sempadan 24 Jam Sehari

Fairuz Mazlan
2017.04.14
Alor Setar, Kedah
170414-TH-checkpoint-sadao-1000.jpg Orang ramai berbaris menunggu giliran di Pusat Pemeriksaan Kastam Sadao, di sempadan Thailand-Malaysia di Wilayah Songkhla, Thailand, 14 April 2017.
(BeritaBenar)

Kerajaan Malaysia dan Thailand bercadang membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi kedua-dua negara, dan kedua pihak secara dasarnya telah bersetuju dengan perlaksanaan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan itu masih tertakluk kepada perjanjian Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) serta rangka kerja bersama Malaysia-Thailand yang diadakan setiap tahun.

"Saya telah bertemu delegasi Thailand yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanannya (Jeneral Udomdej Sitabutr), di mana isu itu dibincangkan dalam menentukan dasar perlaksanaan operasi pintu sempadan 24 jam sehari berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Jeneral Udomdej Sitabutr berkata perbincangan awal pembukaan operasi 24 jam di pusat pemeriksaan sempadan itu adalah untuk memenuhi pertumbuhan pembangunan masa depan kedua-dua negara.

"Mengikut perancangan kerajaan kedua-dua negara akan membangunkan pusat pemeriksaan dilengkapi kemudahan terbaru dan termoden. Jika perkara yang dirancangkan itu dapat dilaksanakan, ia sekaligus akan memberi kemudahan kepada Pusat Pemeriksaan Sadao (Sadao Customs House) dalam mengendalikan kargo dan penghartaran barang serta pelancong dengan lebih baik, " kata Jen.Udomdej

"Perbincangan dengan kerajaan Malaysia masih belum jelas untuk membuat kesimpulan tentang bagaimana perlaksanaan operasi 24 jam itu dapat diteruskan walaupun ia bakal menjadi pembangunan bersama.

Pembangunan itu perlulah berdasarkan kepada bagaimana Thailand mendapat manfaat daripada perjanjian itu. Kami juga akan mempertimbangkan kebaikan dan keburukannya terlebih dahulu,” tambah beliau .

Ancaman penyeludupan

Sementara itu, semasa mengulas mengenai kebimbangan peningkatan ancaman aktiviti penyeludupan apabila operasi pintu sempadan dilanjutkan kepada 24 jam, Ahmad Zahid berkata pihahknya akan meningkatkan jumlah anggota penguatkuasa dari 19 agensi terlibat.

“Kita tidak akan menggerakkan semua anggota sedia ada tanpa melibatkan pengambilan anggota baru ataupun tambahan peruntukan, serta penubuhan satu lagi agensi baru.

“Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menggerakkan usaha mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baru untuk digunakan bagi operasi 24 jam tersebut,” ujarnya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan Malaysia berhasrat mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai hub untuk wilayah Asia Tenggara, khususnya dalam kawasan Segitiga Pembangunan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) melalui pembinaan kompleks ICQS baru tersebut, selari dengan Dasar Pengangkutan Negara.

Beliau berkata, kerajaan kini berjaya mengutip cukai berjumlah RM600 juta setahun melalui pintu sempadan dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat dengan penambahbaikan sistem dan laluan pergerakan kenderaan dan manusia.

"Kerajaan juga turut berharap kemudahan terbaru kompleks itu nanti akan melonjakkan kemasukan pelancong yang lebih tinggi memandangkan ketika ini jumlah keluar masuk pelancong merekodkan seramai 3 juta setahun," katanya.

Terdahulu itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan kompleks imigresen di sempadan negara dengan Thailand di Bukit Kayu Hitam dipersiapkan sebelum Ogos depan bagi membolehkan operasi 24 jam pintu sempadan dapat diteruskan.

Projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin Dan Keselamatan (ICQS) yang lewat dibina lebih setahun itu perlu disiapkan sebelum Ogos memandangkan kerajaan Thailand telah menyiapkan kemudahan yang sama di sempadannya.

"Hari ini dalam usaha pelaksanaan dasar baharu bagi operasi 24 jam di pintu sempadan Malaysia-Thailand, saya melakukan lawatan ke tapak projek ICQS Bukit Kayu Hitam yang sudah terlewat 576 hari berbanding jadual asal.

"Justeru saya sudah arahkan dua syarikat kontraktor terbabit mempercepatkan projek menelan kos RM425 juta itu melalui dua fasa dengan jangkaan kemudahan ICQS Bukit Kayu Hitam dijadual menjalani ujian pada Ogos ini, sebelum mula beroperasi pada September," Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kepada pemberita ketika melawat kompleks itu pada Khamis.

Ahmad Zahid juga membuat tinjauan projek ICQS itu yang sudah siap sebanyak 27 peratus,  selain melawat kompleks sedia ada yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Kedua-dua syarikat tempatan itu dilantik berdasarkan konsep Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) di mana mereka akan diberikan konsesi untuk mengendalikan kompleks tersebut untuk ganti kepada pelaburan RM425 juta tersebut.

Berdasarkan perancangan, Fasa Pertama kompleks tersebut akan digunakan sebagai laluan masuk untuk kenderaan perdagangan dan persendirian dari Thailand manakala Fasa Kedua adalah bagi laluan khusus pergerakan kenderaan dari Malaysia ke selatan Thai.

Disebabkan kelewatan tersebut, kerajaan menimbangkan akan menggunakan kompleks yang akan disiapkan untuk kegunaan kedua-dua laluan masuk dan keluar dari Thailand dan Malaysia, sementara kompleks Fasa Kedua akan disiapkan menjelang Disember 2018.

Kompleks sedia ada yang beroperasi selama 18 jam sehari kini mengalami kesesakan, khususnya pada waktu puncak dan musim perayaan serta cuti panjang.

"Kerajaan juga turut berharap kemudahan terbaru kompleks itu nanti akan melonjakkan kemasukan pelancong yang lebih tinggi memandangkan ketika ini jumlah keluar masuk pelancong merekodkan seramai 3 juta setahun," katanya.

Pusat Pemeriksaan Kastam yang terletak di wilayah Songkhla, yang berhubung dengan Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kedah, Malaysia, dibuka pada tahun 1922. Pada masa ini kedua-dua pusat pemeriksaan itu beroperasi dari 5 pagi hingga 11 malam setiap hari.

 

Staf BeritaBenar di Songkhla, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Zmee
Dec 14, 2021 07:41 PM

Benar ke