Malaysia Tahan Dua Rakyat Turki Atas Alasan Keselamatan Negara
2017.05.03
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dua rakyat Turki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara pada Rabu ketika Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan kedua-dua lelaki mungkin ditahan dan diseksa jika dihantar pulang ke negara asal mereka.
Kedua-dua rakyat Turki terbabit, Turgay Karaman, seorang pengetua sekolah antarabangsa di sebuah negeri di Malaysia iaitu Perak, dan ahli perniagaan Ihsan Aslan, telah dilaporkan hilang semalaman oleh anggota keluarga masing-masing.
Satu rakaman CCTV menunjukkan Karaman, 43, dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta oleh lima lelaki tidak dikenali di tingkat bawah tanah sebuah bangunan di Kuala Lumpur ketika beliau ingin bertemu peguamnya pada Selasa, menurut laporan. Bahan visual itu telah tersebar di media sosial dan sesalinan laporan polis berkaitan insiden itu juga telah dilihat oleh BeritaBenar.
“Polis Malaysia ingin mengesahkan bahawa T. Karaman dan I.Aslan telah ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara Malaysia di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan,” umum Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitter beliau pada Rabu.
Mesej beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut.
Setiausaha Pertama Kedutaan Turki di Kuala Lumpur Ahmet Dogan enggan mengulas kepada BeritaBenar sama ada penahanan itu dilakukan atas permintaan Ankara, atau memberikan maklumat lanjut berhubung kes kedua-dua lelaki itu.
Hubungan Pengganas?
Mengikut laporan agensi berita Turki Anadolu yang disiarkan pada Rabu, kedua-dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan ulama Turki, Fetullah Gulen, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Beliau tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat dan pergerakannya dilabel sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan Presiden Reccep Tayyip Erdogan yang mendakwa Gulen menjadi dalang dalam satu percubaan rampasan kuasa di Turki pada Julai 2016.
Pasukan keselamatan yang setia kepada Erdogan telah berjaya mematahkan rampasan kuasa itu, yang menyaksikan 265 mangsa terbunuh, termasuk 161 orang awam.
Ketika kedua-dua lelaki diberkas di Malaysia, Karaman dan Aslan dijadualkan memberi keterangan dalam sebuah mahkamah di Malaysia sebagai saksi pembelaan dalam kes terhadap seorang rakyat Turki Ismet Ozcelik, menurut Anadolu.
Ozcelik telah ditahan pada 13 Dis 2016 selepas dia didakwa menghalang pegawai imigresen berpakaian awam daripada memeriksa pasportnya di rumah anak lelakinya di Kuala Lumpur, lapor agensi berita itu. Pihak berkuasa Malaysia telah menahannya selama 50 hari namun dia dibebaskan pada 31 Jan selepas Ozcelik memperoleh status pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Laporan Anadolu itu bagaimanapun tidak menyatakan pertuduhan yang dihadapi Ozcelik di Malaysia.
Turgay Karaman [BeritaBenar]
Seorang rakan Karaman, Suheyl Ozcelik, telah membuat laporan orang hilang kepada pihak polis dan berkata beliau khuatir pengetua sekolah itu akan menerima nasib yang sama seperti dua lagi rakan mereka yang telah dihantar pulang ke Turki tahun lepas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pergerakan yang menyokong ideologi Gulen.
Rakyat Turki terbabit, Alettin Duman dan Tamer Tibik, telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dan diekstradisi oleh Turki pada Oktober.
Pergerakan Gulen, yang dikenali sebagai “hizmet” atau “berkhidmat” dalam Bahasa Turki, mengendalikan sekolah serta organisasi bukan kerajaan di Eropah, Afrika dan Asia.
Sementara itu, isteri Aslan, Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar, yang merupakan rakyat Malaysia berusia 38 tahun, memberitahu pemberita bahawa sistem GPS telah mengesan kedudukan terakhir telefon bimbit suaminya di Kementerian Pertahanan Malaysia.
“Berdasarkan bacaan GPS itu, kami mengesan pergerakannya dan kali terakhir dia dilihat adalah berhampiran bangunan kementerian itu. Sejak itu, telefon bimbitnya telah dimatikan,” katanya sambil menambah bahawa visual CCTV menunjukkan Aslan telah meninggalkan bangunan itu pukul 9 malam pada Selasa.
“Saya akan terus berusaha untuk memastikan bahawa dia akan dibicarakan dengan adil. Saya mahu dia dibebaskan,” katanya sambil menambah bahawa Aslan telah menetap di Malaysia selama 15 tahun.
Sementara itu, Phil Robertson, seorang timbalan pengarah Human Rights Watch yang berpangkalan di New York, telah mengutuk insiden kehilangan Karaman dan Aslan.
“Semua insiden kehilangan ini perlu disiasat segera, dengan keutamaan hendaklah diberikan bagi memastikan kedua-duanya ditemui dan tidak boleh, dalam apa jua keadaan, dikeluarkan secara paksa dari Malaysia serta dihantar ke Turki,” kata Robertson dalam satu kenyataan pada Rabu.
“Tiada sebarang keraguan bahawa jika mereka dihantar pulang ke Turki, mereka bakal berdepan seksaan ketika dalam tahanan, dan jika didakwa atas pertuduhan jenayah di sana, mereka terpaksa berdepan dengan perbicaraan yang tidak akan memenuhi standard perbicaraan yang adil.”
Kenyataan beliau jelas sekali dibuat sebelum Khalid mengumumkan penahanan kedua-dua lelaki.
“Jika didapati kedua-dua lelaki kini ditahan oleh mana-mana cawangan dalam kerajaan Malaysia, agensi yang relevan perlu mengumumkan segera di mana mereka ditahan dan alasan penahanan mereka dari segi perundangan, dan sebagai permulaan, memberikan akses yang tidak terbatas kepada anggota keluarga mahupun peguam mereka,” kata Robertson.
Ihsan Aslan [Berita Benar]
Hata Wahari telah menyumbang kepada laporan ini.