Malaysia Akan Hantar Bantahan Diplomatik Kepada China Susulan 'Pencerobohan' Ruang Udara Maritim
2021.06.01
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
Malaysia pada Selasa berkata bahawa Putrajaya akan menghantar nota bantahan diplomatik kepada Beijing selepas 16 buah pesawat tentera udara republik itu 'menceroboh' ruang udara maritimnya di kawasan tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan di perairan Kepulauan Borneo, sehari selepas kejadian itu berlaku.
Para pegawai Malaysia berkata bahawa pesawat China itu dilihat terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautikal antara satu sama lain di sekitar kawasan yang ditadbir Kuala Lumpur, Beting Patinggi Ali, juga dikenali sebagai Luconia Shoals, di mana turut dituntut oleh Beijing sebagai sebahagian wilayah maritimnya.
Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) berkata pihak berkuasa udara itu terpaksa menghantar jet Hawk 208 bagi memintas pesawat tentera China di perairan Sarawak setelah enggan berkomunikasi dengan menara kawalan udara Malaysia, dalam satu kejadian yang "mengancam kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.
"Berdasarkan laporan yang diterima daripada TUDM, Kementerian Luar akan menghantar nota protes diplomatik terhadap pencerobohan yang berlaku kepada kerajaan Republik China," kata Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kementerian itu akan turut memanggil duta China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan tersebut.
“Pendirian Malaysia sangat jelas - mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tetapi tidak sekali kali bermaksud bahawa kita boleh berkompromi tentang keselamatan negara kita. Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan lewat Selasa.
TUDM juga berkata bahawa pesawat tentera China hampir mencabuli ruang udara nasional Malaysia dalam kejadian tersebut.
"TUDM telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu Flight Information Region dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021," kata TUDM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Ruang udara Zon Maritim adalah ruangan udara yang berada di atas perairan sesebuah negara. Di bawah undang-undang lazim antarabangsa, negara di pesisir pantai mempunyai hak kedaulatan penuh terhadap ruang udara tersebut.
Menurut TUDM, pesawat yang dihantar oleh China ke ruang udara Zon Maritimnya telah dikenalpasti sebagai Ilyushin Il-76, buatan Rusia dan Xian Y-20, buatan China - pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.
Kedutaan China di Malaysia pula berkata bahawa pesawat tersebut sedang melaksanakan "latihan penerbangan rutin", di mana mereka telah "mengikut undang-undang antarabangsa yang relevan".
"Mengikut undang-undang antarabangsa yang relevan, pesawat tentera China bebas untuk melaksanakan penerbangan di ruangan udara yang relevan," kata seorang jurucakap kedutaan.
Pada tahun lalu, Amerika Syarikat berkata bahawa ia sedang memantau rapat laporan bahawa Beijing sedang merancang untuk mengisytiharkan apa yang dipanggil mereka sebagai 'Zon Identifikasi Pertahanan Udara' di ruang udara kawasan tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan, di mana China mempunyai pertikaian dengan Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.
Sementara itu, pada Isnin, Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Wendy Sherman telah mengadakan lawatan ke negara jiran Malaysia, Indonesia, di mana beliau berkata bahawa Washington komited kepada "rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, termasuk komitmen terhadap kebebasan berlayar dan terbang, serta kegunaan lain lautan yang mengikut undang-undang."
Tentera Udara Diraja Malaysia berkata bahawa peta ini menunjukkan arah perjalanan yang dibuat 16 pesawat China ketika mereka melintasi kawasan Laut Cina Selatan yang berada di bawah tanggungjawab Singapura, sebelum memasuki Zon Maritim Malaysia di Borneo dan kemudian membuat pusingan-U selepas dipintas jet Hawk milik Malaysia. (Grafik sumbangan Tentera Udara Diraja Malaysia)
'Intimidasi terang-terangan terhadap Malaysia'
Sementara itu, penganalisa keselamatan maritim Collin Koh yang berpusat di Singapura berkata tindakan Beijing itu adalah satu niat untuk mengancam Malaysia, ketika ia sedang bergelut dengan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 dan baru memulakan perintah berkurung di seluruh negara pada Selasa.
"Beijing mengetahui sepenuhnya mengenai kesukaran yang dihadapi Malaysia dalam menangani wabak COVID-19 pada masa ini, termasuk perintah berkurung Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang baru saja dikuatkuasakan," kata Collin Koh dalam satu muatnaik di Twitter.
"Tindakan seperti ini bukan sahaja satu intimidasi yang terang-terangan terhadap Malaysia, tetapi juga bersifat oportunis (mengambil kesempatan) dan pemangsa."
Seorang pesara pegawai tentera udara Malaysia pula berkata bahawa Beijing menghantar pesawatnya itu sebagai satu langkah menguji.
"Tindakan China itu sebenarnya untuk menguji tindakbalas TUDM terhadap pencerobohan oleh pesawat mereka," Abdul Rahmat Omar memberitahu BenarNews.
Seorang lagi penganalisis, Ramli Dollah memberitahu BenarNews bahawa beliau menjangkakan akan ada lebih banyak pencerobohan oleh China, yang sedang menuntut hampir keseluruhan kawasan yang menjadi pertikaian di Laut Cina Selatan.
Tambah beliau, ini bermakna Malaysia perlu mempertingkatkan lagi kebolehan ketenteraannya.
"Selain itu, terdapat juga pilihan lain bagi Malaysia, terutamanya dalam menjalin hubungan dan kerjasama baik dengan kuasa-kuasa besar lain, terutamanya Amerika Syarikat," kata Dollah, yang merupakan pakar keselamatan serantau dan seorang profesor di Universiti Malaysia Sabah.
Pada tahun 2016, Malaysia berkata kira-kira 100 bot dan kapal dari China dikesan berada di kawasan Luconia Shoals di Sarawak.
Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa Pengawal Pantai China telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali di antara tahun 2016 dan 2019.
"Laporan serupa oleh Inisiatif Ketelusan Maritim Asia 2019 mendedahkan bahawa pengawal pantai China menghabiskan 70 peratus masanya (pada tahun 2018), atau 258 hari, untuk meronda di kawasan Laut Cina Selatan yang dituntut Malaysia," kata Dollah.
Pada bulan April 2020, China didakwa telah cuba meletakkan tekanan kepada Malaysia supaya menghentikan eksplorasi minyak di perairan yang dituntut Beijing -- walaupun aktiviti itu dilakukan dalam kawasan 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.
Dizhwar Bukhari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.