Malaysia: Pengarang Digantung Tugas Selepas Laporan Muka Depan Akhbar
2017.05.31
Kuala Lumpur

Dua pengarang kanan akhbar harian Bahasa Inggeris terkemuka di Malaysia telah digantung tugas manakala beberapa wartawan dan jurugambar telah disoal siasat oleh polis berhubung laporan muka depan akhbar berkenaan yang disifatkan menyinggung perasaan umat Islam di negara itu yang diterbitkan pada hari pertama bulan Ramadan.
Pada 27 Mei lalu, halaman depan akhbar The Star telah menerbitkan gambar umat Islam bersolat Terawih secara berjemaah pada permulaan bulan Ramadan. Gambar itu diapit di antara maklumat utama mengenai pemimpin keganasan di bahagian atas dan iklan spa menunjukkan bahu seorang wanita yang terdedah di bahagian bawah halaman depan itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim berkata tajuk utama muka hadapan yang tidak menyenangkan itu memberi gambaran buruk mengenai orang Islam sebagai pengganas.
"Akhbar The Star telah diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, termasuk penggantungan permit penerbitan, tidak boleh diambil," kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.
Di bawah akta itu, kementerian boleh membatalkan atau menggantung sesuatu permit untuk sesuatu tempoh yang difikirkan wajar.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa akhbar itu sedang disiasat kerana dipercayai cuba menghasut permusuhan agama.
Antara yang tersinggung dengan penerbitan halaman depan akhbar berkenaan ialah Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia [PAS] Hassan Tantawi, yang menganggap tindakan akhbar itu sebagai melampau dan kurang ajar dan berkata ia mengejek umat Islam di Malaysia.
Tindak balas The Star
Pada Selasa, pengurusan akhbar berkenaan telah mengantung tugas Ketua Pengarang Kumpulan Leanne Goh dan Pengarang Eksekutif Dorairaj Nadason. Butir-butir mengenai penggantungan tidak dimaklumkan.
Sehingga Rabu, enam pekerja telah disoal siasat oleh polis mengenai penerbitan pada Sabtu itu. Kesemua mereka diiringi oleh peguam syarikat, lima pengarang kanan dan seorang jurugambar telah disoal di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman.
Akhbar yang mempunyai peredaran sekitar 250,000 naskah itu, dimiliki oleh Persatuan Cina Malaysia, sebuah parti komponen untuk bangsa Cina yang bersama dalam pakatan pemerintah Barisan Nasional (BN), telah memohon maaf pada Ahad lalu kerana membuat pertimbangan yang kurang tepat mengenai muka depan akhbarnya dalam menandakan permulaan bulan Ramadan.
"Telah menjadi amalan The Star untuk menghormati hari pertama bulan Ramadan setiap tahun dengan meletakkan gambar umat Islam menunaikan solat terawih pada hari pertama di muka depan akhbar. Ini telah dilakukan sepanjang dekad yang lalu, " kata akhbar bekenaan. "Pada pengalaman yang lalu, The Star sepatutnya lebih arif dan sensitif terhadap perasaan pembaca Islam."
Seorang penolong pengarang yang bercakap kepada BeritaBenar dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata, tindakan kerajaan terhadap penerbitan itu jelas satu tindak balas yang agak keterlaluan, kerana jelas sekali gambar dan tajuk yang terpampang di muka depan itu tidak mempunyai kaitan.
"Terdapat kata-kata 'lihat laporan di muka 3' telah dinyatakan dengan jelas di bawah tajuk Pemimpin Pengganas Rakyat Malaysia di halaman depan dan gambar utmat Islam sedang menunaikan solat turut mempunyai kapsyennya – jadi bagaimanakah seseorang dapat membuat kesilapan yang kedua-dua artikel itu mempunyai hubung-kait?
"Walaupun langkah buruk telah dibuat, sekurang-kurangnya kerajaan patut membiarkan akhbar berkenaan mengambil tindakan dalaman terhadap mereka yang bertanggungjawab," pekerja berkenaan memberitahu BeritaBenar.
Badan Kewartawanan persoal kerajaan
Institut Wartawan Malaysia (IOJ) berkata tindakan yang diambil kerajaan amat membimbangkan, dan ia meminta media supaya mengawal selia tindakan mereka sendiri.
"IOJ berpendapat bahawa tindakan berat (pihak kerajaan) tidak seimbang dengan kesalahan yang dilakukan. Kesilapan disebabkan oleh ketiadaan pengawasan editorial dan bukan percubaan sengaja untuk menyemai benih perpecahan kaum dan agama seperti yang didakwa oleh pengkritik," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
"IOJ mengulangi pendiriannya bahawa satu-satunya cara untuk maju ke hadapan dalam mempromosikan akhbar yang bebas adalah dengan membiarkan organisasi media membuat keputusan sendiri bagaimana untuk menangani isu-isu itu dan untuk menentukan hala tuju editorial mereka, tanpa tekanan yang tidak wajar dan kena pada tempatnya daripada pihak berkuasa."
Kumpulan media lain juga menawarkan sokongan yang sama terhadap akhbar berkenaan.
Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA) Jawatankuasa Kebebasan Malaysia bersetuju dengan gesaan bagi wartawan untuk menubuhkan badan pemantau mereka sendiri.
"Ini boleh dilakukan melalui pembentukan majlis media, dengan wakil-wakil dari media cetak, atas talian dan media penyiaran, yang akan bertindak sebagai badan kawal selia terhadap aduan awam kepada media," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Satu lagi kumpulan media advokasi, Gerakan Media Merdeka (Geramm), menyahut panggilan bagi penwujudan majlis itu sambil berkata ia akan "mencegah pihak ketiga menggunakan isu-isu untuk mengisi agenda mereka sendiri."
Sementara itu, seorang pegawai dari sayap Pemuda, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu UMNO, parti utama dan terbesar dalam perikatan BN, berkata isu itu tidak harus berpanjangan.
"Satu amaran keras kepada pengarang untuk lebih peka dan berhati-hati dengan penerbitan masa depan sudah mencukupi. Lagi pun bulan ini adalah bulan Ramadhan, bulan pengampunan, " kata Raja Azraff Raja Azmil kepada BeritaBenar.
Hadi Azmi turut menyumbang kepada laporan ini.