Perbicaraan 90 Suspek Kes Pemerdagangan Manusia Bermula Di Thailand
2016.03.15
Bangkok

Perbicaraan kes pemerdagangan manusia yang terbesar dalam sejarah Thailand bermula pada Selasa dengan keterangan seorang lelaki Rohingya, yang memberitahu tentang kisah menakutkan membabitkan penipuan dan kesengsaraan semasa berada dalam kawalan penyeludup manusia.
Bekas pegawai tentera Thailand, Leftenan Jeneral Manas Kongpaen, dan 89 defendan lain dibicarakan di mahkamah jenayah di Bangkok atas pertuduhan terlibat dalam kes pemerdagangan manusia merentasi sempadan dari Myanmar ke Malaysia melalui Thailand.
"Kedua-dua tangan diikat dengan tali dan kami dipaksa menaiki kapal, berjalan ke dek kedua dan duduk di atas lantai yang sempit," kata Roshiduila, saksi dan mangsa pemerdagangan Rohingya, semasa memberi keterangan yang menggambarkan permulaan lima hari perjalanan lautnya dari Myanmar ke Ranong – sebuah pelabuhan di pantai laut Andaman Thailand – pada awal tahun lepas.
Perbicaraan kesemua defendan itu termasuk Manas dan pegawai-pegawai tentera, anggota polis dan pegawai kerajaan dari beberapa wilayah di selatan Thailand, dijangka berterusan sehingga pertengahan Disember.
Pertuduhan utama terhadap defendan termasuklah pemerdagangan manusia melibatkan jenayah antarabangsa, menahan manusia secara haram dan menyembunyikan mayat. Pertuduhan pemerdagangan manusia itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga 1 juta baht (US$28,469), jika sabit kesalahan.
Manas dan kesemua defendan lain dirantai di buku lali semasa mereka duduk bersama-sama di bangku kamar mahkamah pada hari pertama perbicaraan mereka.
Manas dan defendan lain ditangkap pada tahun lepas sebagai sebahagian daripada tindakan keras Thailand terhadap migran tanpa izin. Tindakan keras itu dimulakan pada Mei 2015 selepas mayat 32 suspek migran tanpa izin tidak berdaftar ditemui di kem penyeludup terbiar di dalam hutan di wilayah Songkhla, berhampiran sempadan Thailand dan Malaysia.
Selatan Thailand sudah lama menjadi destinasi persinggahan migran Rohingya Islam dari Myanmar dan Bangladesh yang cuba memasuki Malaysia secara haram menerusi laut dan darat.
Penemuan kubur-kubur itu juga menyebabkan Thailand mengenakan sekatan maritim terhadap bot-bot penyeludup yang cuba mendarat di pantainya. Sekatan itu mencetuskan krisis kemanusiaan di Asia Tenggara apabila beribu-ribu migran Rohingya dan Bangladesh yang terdesak mendarat berhampiran Malaysia dan Indonesia.
Ditipu
Roshiduila, yang berasal dari kampung Hisuritha di negeri Rakhine di Myanmar, adalah saksi pertama dipanggil untuk memberi keterangan dan satu-satunya saksi yang memberi keterangan pada Selasa.
Melalui seorang jurubahasa, beliau memberi keterangan bahawa seorang konstabel tempatan, Hashimyuila, berkhidmat sebagai broker utama yang memujuk Rohingya Islam untuk terperangkap dalam cengkaman sindiket pemerdagangan manusia.
Menurut Roshiduila, Hashimyuila menjanjikan orang sepertinya bahawa mereka akan mempunyai kehidupan yang lebih baik di Malaysia, jauh daripada penindasan di Myanmar yang majoriti penduduknya Buddha.
"Hashimyuila memberitahu saya dan tiga rakan lain tentang pekerjaan dalam sektor pembinaan, dan masing-masing akan mendapat gaji RM1,500 sebulan (US$361)," kata Roshiduila, sambil menambah bahawa broker itu menjanjikan perjalanan menaiki sebuah kruiser berhawa dingin.
Roshiduila berkata, beliau dan beberapa penduduk kampung lain percaya yang konstabel itu tidak akan menipu mereka, menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk merebut peluang itu. Satu malam pada awal tahun lalu, beliau dan 20 orang penduduk kampung itu menaiki sebuah bot kecil dari jeti berhampiran.
Bot itu belayar ke lokasi berkumpul di Laut Andaman, di mana ramai lagi mangsa pemerdagangan dipaksa menaiki bot nelayan, katanya semasa memberi keterangan.
Sesetengah daripada mereka cuba untuk melawan, tetapi mereka ditendang dan dipaksa menaiki kapal itu oleh 10 lelaki berbahasa Burma yang bersenjata.
Roshiduila, yang memahami beberapa perkataan Burma berkata, beliau mendengar pengawal menyebut bahawa bilangan penumpang telah mencecah 270 orang. Kapal itu bersedia untuk belayar pada petang berikutnya.
Beliau berkata pengawal-pengawal memberitahu mereka supaya berdiam diri, dan mereka akan menerima satu hidangan sehari bersama-sama dengan sejumlah kecil air sebanyak dua kali sehari, dan boleh menggunakan bilik air sekali sehari.
Pada akhir keterangannya, Roshiduila mengenal pasti gambar tujuh penyeludup Thailand dan asing yang beliau temui di kem pemerdagangan manusia di Ranong. Beliau merujuk kepada mereka sebagai "bos besar."
Perbicaraan itu dijadualkan disambung semula pada Rabu dan berterusan sehingga Jumaat.
Semasa pendakwaan mereka pada November lalu, seramai 88 suspek mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, manakala dua lagi berbuat demikian pada Selasa. Dua suspek lain ditahan tetapi belum didakwa. Penyiasat berkata, seramai 61 suspek lagi masih bebas.
Pada November lalu, hakim berkata, mahkamah dijangka mendengar keterangan daripada lebih 400 saksi serta defendan itu.
Bimbangkan perbicaraan
Sementara itu, kumpulan pejuang hak asasi manusia yang berpejabat di Amerika Syarikat mengingatkan bahawa perbicaraan itu mungkin goyah.
Amy Smith, pengarah eksekutif Fortify Rights, berkata, bakal saksi utama iaitu bekas pegawai polis Thailand Mejar Jeneral Paween Pongsirin, yang mengetuai siasatan terhadap sindiket merentasi sempadan itu, telah melarikan diri ke Australia pada Disember lalu kerana bimbangkan keselamatan dirinya selepas pihak berkuasa Thailand mengarahkan supaya siasatan itu dihentikan.
"Pongsirin adalah saksi utama dalam kes ini, dan hakikatnya, beliau telah melarikan diri dari Thailand sebelum bermulanya perbicaraan ini, kerana takut tentang nyawanya, adalah amat membimbangkan," kata Amy.
"Kami telah berbincang dengan saksi-saksi lain yang juga menyatakan rasa takut - dan untuk sebab yang baik. Saksi-saksi kes ini akan memberi keterangan terhadap anggota Tentera Darat, Tentera Laut, Polis, Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand dan lain-lain, "katanya.
Selain itu, kata Fortify Rights, Thailand "telah gagal menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk saksi-saksi."
"Daripada beratus-ratus saksi yang dijadualkan memberi keterangan, kami sedar hanya 12 orang sahaja yang menerima perlindungan rasmi di bawah Kementerian Kehakiman. Jika Thailand mahu melihat keadilan dilaksanakan dalam kes ini, perlindungan untuk saksi perlulah diutamakan," kata Amy.