Wakil Thailand, Pemberontak BRN Adakan Rundingan Secara Maya

Usaha mengadakan rundingan damai yang dipermudahkan oleh Malaysia tergendala tahun lalu akibat COVID-19.
Mariyam Ahmad & Noah Lee
2021.02.03
Pattani, Thailand & Kuala Lumpur
Wakil Thailand, Pemberontak BRN Adakan Rundingan Secara Maya Pihak berkuasa memeriksa lokasi pengeboman yang menyasarkan trak polis hingga menyebabkan lima pegawainya cedera di Sri Sakhon, sebuah daerah di wilayah selatan Narathiwat yang dilanda pergolakan, 31 Januari 2021.
[Matahari Ismail/BeritaBenar]

Thailand pada Rabu mengadakan perbincangan secara dalam talian dengan wakil kumpulan pemberontak utama di selatan negara itu menerusi mesyuarat yang dipermudahkan oleh Malaysia, kata para pegawai mengenai apa yang dikatakan sebagai perbincangan peringkat tertinggi pertama dalam masa hampir setahun susulan usaha membawa perdamaian ke wilayah sempadan.

Abdul Rahim Noor, fasilitator Malaysia bagi perbincangan antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Barisan Revolusi Nasional (BRN), mengesahkan bahawa mesyuarat dalam talian itu yang diaturkan beliau.

"Ya, benar. Pihak Thailand tidak dapat datang ke Kuala Lumpur kerana COVID-19, ”katanya kepada BeritaBenar pada lewat Rabu ketika dihubungi untuk mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat itu.

"Kumpulan BRN bagi rundingan damai itu datang ke KL (Kuala Lumpur) tetapi pihak Thailand berada di Bangkok. [Oleh itu, mesyuarat] diadakan secara dalam talian tanpa sebarang masalah, ” kata Abdul Rahim melalui pesanan teks.

Di Bangkok pada awal malam Rabu, pegawai kerajaan Thailand mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa mesyuarat itu telah diadakan. Tetapi, mereka menyifatkan perbincangan itu adalah pada tahap teknikal - yang bermaksud bahawa tiada perwakilan penuh daripada kedua-dua pihak dalam rundingan damai rasmi itu.

"Pasukan rundingan damai peringkat teknikal Thailand mengadakan sidang video dengan wakil BRN serta Tan Sri Abdul Rahim bin Mohammad Noor selaku fasilitator," kata Pejabat Sekretariat Panel Dialog Rundingan Damai, yang berada di bawah Majlis Keselamatan Negara.

"Intipati mesyuarat itu adalah [mengenai] merancang pendekatan bagi menangani rundingan damai semasa COVID-19 dan tentang topik perbincangan berikutnya, seperti mengurangkan keganasan dan menggalakkan penyertaan dalam menyelesaikan masalah Selatan Thailand."

Pada awal 2020, Abdul Rahim mengadakan dua pertemuan di ibu negara Malaysia itu bagi pihak kerajaan Thailand dan BRN - kumpulan bersenjata terbesar dan paling kuat yang melakukan pemberontakan pemisah sejak puluhan tahun lalu di wilayah sempadan berdekatan Malaysia itu, yang kebanyakannya dihuni oleh penduduk beragama Islam dan berketurunan Melayu.

Ia merupakan pertemuan langsung pertama antara Thailand dan BRN sejak bertahun-tahun lalu, tetapi tergendala dan ditangguhkan selepas mesyuarat kedua diadakan di Kuala Lumpur pada Mac ketika pandemik koronavirus melanda negara itu.

"Mesyuarat ini diadakan selaras dengan hasrat kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan damai di Selatan Thailand. Mesyuarat ini berjalan dengan lancar, ” kata sekretariat Thailand mengenai pertemuan pada Rabu. "Kedua-dua pihak sepakat untuk konsisten mengadakan pertemuan secara maya dalam usaha menjalinkan kerjasama, yang akan membuka laluan kepada penyelesaian mapan bagi masalah yang ada."

Mesyuarat pada Rabu itu diadakan tiga hari selepas berlakunya pengeboman tepi jalan di Si Sakhon, sebuah daerah di wilayah selatan Narathiwat, yang mencederakan lima pegawai yang menaiki sebuah trak polis, kata para pegawai. Insiden itu berlaku semasa mereka sedang menuju ke lokasi kejadian kebakaran khianat yang dilaporkan menyasarkan menara komunikasi telefon selular di daerah itu.

Pengeboman itu adalah serangan pertama yang dipersalahkan terhadap pemberontak selatan sejak 7 Disember di mana seorang penyiasat polis ditembak mati di wilayah Pattani.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Sejak keganasan kembali tercetus pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh di semua wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.