Henti subsidi: Rakyat Malaysia resah bakal berdepan kenaikan kadar inflasi ketara
2024.01.04
Kuala Lumpur

Rancangan kerajaan Malaysia untuk menghentikan subsidi secara menyeluruh untuk barangan seperti makanan dan bahan api kenderaan pada tahun ini - dengan tujuan meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan hutang - telah menyebabkan kebimbangan teruk di kalangan rakyat negara itu.
Sabri Hasan seorang penduduk Kuala Lumpur yang mempunyai empat anak dan dua cucu, berasa gusar dengan impak daripada tindakan menghentikan subsidi menyeluruh yang sebelum ini membolehkan semua rakyat membeli barangan keperluan asas dan mendapatkan perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah.
Beliau memberitahu BenarNews bahawa tindakan kerajaan menghentikan subsidi ke atas minyak sebelum ini telah menyebabkan penjual makanan mula mengecilkan saiz hidangan mereka.
"Kini kita perlu membeli dua hidangan untuk mendapatkan kuantiti makanan yang sama [dengan satu hidangan masa dahulu]," kata beliau yang berusia 56 tahun.
Sabri telah membuka gerai menjual mee bagi mencari pendapatan tambahan selepas bersara daripada kerja tetapnya pada tahun lepas. Pada awalnya, beliau bercadang untuk hanya membuka gerai tersebut pada hujung minggu bermula jam 5 petang hingga 9 malam.
Bagaimanapun, disebabkan pengecilan saiz mee kering - daripada 1kg sebelum ini kepada 900 gram sebelum berkurang lagi kepada 750 gram - peniaga itu terpaksa bekerja lebih masa termasuk pada hari Sabtu bagi membolehkannya mendapat keuntungan.
Balwant Singh pula berharap kerajaan akan memastikan bahawa semua orang yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sepatutnya apabila ia beralih kepada sistem subsidi bersasar, di mana barang makanan dan perkhidmatan dengan harga subsidi hanya dapat diperolehi oleh mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
Pesara berusia 60 tahun dari Kuala Lumpur turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes kecurian dan bunuh diri disebabkan peningkatan kos sara hidup.
"Lebih ramai orang berkemungkinan akan mengalami masalah mental disebabkan stres…. Kerajaan perlu merancang program subsidi mereka dengan sebaiknya," kata Balwant.
Pelanggan sedang membeli daging ayam segar yang subsidinya telah dihentikan sejak November di Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur, 28 November 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mempertahankan keputusan kerajaan untuk memotong subsidi dengan beralih kepada sistem subsidi bersasar, di mana beliau menyatakan bahawa subsidi ditanggung kerajaan hanya patut diberikan kepada yang memerlukan bantuan.
Pada Oktober, Anwar yang juga merupakan menteri kewangan berkata subsidi bersasar dijangka membantu Malaysia mengecilkan kekurangan bajetnya kepada 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024, berbanding 5 peratus pada tahun lepas.
Tambah Anwar, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM3.8 bilion (AS$818 juta) untuk ayam dan telur sejak Februari 2022, dan menyaksikan kerajaan bertindak menghentikan subsidi untuk ayam bermula 1 Nov tahun lepas.
Kerajaan bagaimanapun masih memberikan subsidi untuk minyak masak serta beberapa barangan makanan lain.
Perdana Menteri itu berkata, subsidi secara menyeluruh telah menelan belanja RM81 bilion (AS$17.4 bilion) pada 2023, dengan sebahagian daripadanya lesap kepada ketirisan dan pembaziran.
Daripada jumlah keseluruhan belanja subsidi sebanyak RM81 bilion, RM42 bilion (AS$9 bilion) digunakan untuk mengimbangi harga bahan api, termasuk petrol RON95 dan diesel.
Impak penghentian
Jacob George, presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam berkata, kerajaan perlu bersikap telus mengenai impak penghentian subsidi menyeluruh ke atas isi rumah berpendapatan sederhana.
Beliau berkata, menurut Bank Negara hutang isi rumah Malaysia berada pada kadar RM1.4 trilion dan merupakan yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Thailand, serta hampir separas dengan hutang negara iaitu sebanyak RM1.5 trilion.
Menurut Jacob, Malaysia mungkin akan melihat kenaikan kadar inflasi apabila subsidi menyeluruh dihentikan walaupun indeks harga pengguna yang dikeluarkan kerajaan menunjukkan kadar yang paling rendah dalam tempoh dua tahun pada 1.9 peratus pada September 2023.
Pemilik rangkaian pasaraya Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, harga barang dijangka akan meningkat naik selepas subsidi petrol dan bahan api dihentikan kerajaan.
Pada bulan lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata subsidi bersasar untuk minyak petrol RON95 akan diperkenalkan bermula separuh kedua tahun ini.
RON95 merupakan jenis minyak petrol yang popular di Malaysia dan satu-satunya yang disubsidi oleh kerajaan bagi mengimbangkan harga produk tersebut di pasaran.
"Syarikat pengangkutan mungkin akan meningkatkan harga perkhidmatan mereka, dan ini akan menyebabkan harga barang lain juga meningkat," kata Ameer kepada BenarNews.
Disebabkan itu, kata beliau, inisiatif teguh oleh kerajaan adalah diperlukan untuk melindungi pengguna daripada kenaikan kos sara hidup. Ini termasuk pelaksanaan pemberian bantuan wang tunai Rahmah oleh kerajaan serta Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang efisyen untuk mengenalpasti rakyat yang memerlukan bantuan.
Program 'Rahmah' merujuk kepada inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim bagi membantu mengurangkan beban kewangan kepada mereka yang memerlukan.
PADU pula merupakan sistem pangkalan data berpusat yang baru dilancarkan oleh kerajaan pada minggu ini bagi membantu dalam melaksanakan subsidi bersasar berdasarkan maklumat komprehensif rakyat.
Bagaimanapun PADU berdepan dengan beberapa masalah berkaitan keselamatan data sejak hari pertama dilancarkan sehingga menyaksikan beberapa pihak menggesa kerajaan supaya menggantung penggunaan PADU sehingga semua isu berjaya ditangani.
Menurut Ameer lagi, walaupun pelaksanaan subsidi bersasar akan dapat menjimatkan wang kerajaan serta mengelakkan ketirisan, termasuk ketirisan yang disebabkan penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran, perancangan dan pelaksanaan yang teratur adalah kunci utama bagi mengelakkan kenaikan harga barang.
Seorang penjual bunga di Pasar Basah Petaling Jaya, Selangor, yang turut terkesan dengan penghentian subsidi oleh kerajaan, 28 November 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh memberitahu BenarNews yang kenaikan harga sesetengah barangan adalah dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran, selain faktor global terutamanya harga barangan import dan kadar tukaran ringgit berbanding Dolar AS.
"Kementerian ini akan terus memantau sebarang kenaikan harga mendadak melalui pengawasan secara langsung dan pemeriksaan di premis-premis," kata beliau.
Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 juga akan turut diperkasakan bagi mengawal cubaan peniaga untuk mengaut keuntungan berlebihan.
Tambah Fuziah, subsidi bersasar untuk diesel akan diberikan kepada industri pengangkutan terpilih bagi membendung harga perkhidmatan itu apabila kerajaan menghentikan subsidi menyeluruh.
Industri yang terlibat kebanyakannya adalah daripada sektor komersil, termasuk kargo, botol dan minuman, barangan sejuk beku, penggerak utama penghantaran barangan, lori air dan tepung, serta van yang membawa tingkap.
"Mereka akan menggunakan sistem kad subsidi," kata Fuziah sambil menambah setiap kenderaan yang layak akan diberikan satu kad bagi mengelakkan berlakunya ketirisan, penyeludupan dan penjualan bahan api secara haram.
Shah Azalina Albert, 22 tersenyum ketika bercakap kepada BenarNews di Pasar Basah Petaling Jaya, Kuala Lumpur, 28 Nov. 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Perancangan rapi
Pakar ekonomi Yeah Kim Ling berkata tindakan kerajaan memperkenalkan sistem subsidi bersasar merupakan langkah yang betul, namun menegaskan bahawa ia memerlukan perancangan rapi.
Kata beliau, golongan pendapatan sederhana perlu dilindungi daripada sebarang kenaikan mendadak harga makanan dan perkhidmatan.
"Jika tidak, kita akan melihat lebih ramai daripada golongan ini akan jatuh kepada kategori pendapatan rendah, kerana harga makanan masih meningkat naik disebabkan oleh kekurangan bekalan global, cuaca buruk serta kejatuhan nilai ringgit," kata Yeah.
"Terdapat ketidaktentuan dalam bekalan global dan ini mungkin akan menyebabkan harga terus meningkat lagi."
Harga makanan bagaimanapun sememang telah naik.
Shah Azalina Albert, seorang jururawat berusia 22 tahun di Kuala Lumpur berkata, gajinya tidak bertambah sejak dua tahun yang lepas.
"Gaji yang saya dapat tidak mengikut kadar perbelanjaan saya," kata beliau kepada BenarNews.
Menurut wanita itu, perbelanjaan barangan dapurnya pada Disember lalu telah meningkat sebanyak 30 peratus berbanding Januari 2023.
Oleh itu, beliau berharap untuk dapat bekerja lebih masa atau mencari kerja sampingan bagi menambah pendapatan.
"Akan tetapi, ini akan mempunyai kesan kepada masa dan kesihatan mental saya. Itu tidak bagus," katanya.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.