Hukuman Gantung Rakyat Malaysia Kurang Upaya Mental di Singapura Ditangguhkan

Kes rayuan Nagaenthran K. Dharmalingam akan didengari di Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2021.11.08
Kuala Lumpur
Hukuman Gantung Rakyat Malaysia Kurang Upaya Mental di Singapura Ditangguhkan Aktivis memegang sepanduk menghadiri upacara menyalakan lilin menentang pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran K. Dharmalingam, yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar heroin di Singapura, di luar pejabat Kedutaan Singapura di Kuala Lumpur, 8 November 2021.
[AFP]

Mahkamah Tinggi Singapura pada Isnin membenarkan penangguhan dalam pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan minggu ini ke atas seorang lelaki Malaysia yang juga orang kurang upaya mental, di atas kesalahan mengedar dadah, demikian menurut peguamnya, susulan rayuan oleh kumpulan hak asasi antarabangsa dan Perdana Menteri Malaysia supaya hukuman itu diringankan.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas menangguhkan pelaksanaan hukuman gantung ke atas Nagaenthran K. Dharmalingam, mahkamah negara tersebut telah menjadualkan pendengaran rayuan dan penilaian psiakitri pada Selasa, tindakan yang dianggap oleh kumpulan hak asasi dan reformasi undang-undang sebagai keputusan yang ‘sangat mengarut’, kerana masa yang terlalu singkat diberikan kepada pihak pembelaan untuk menyiapkan hujah bertulis.

N. Surendran, penasihat undang-undang Lawyers for Liberty menyifatkan keputusan untuk menyegerakan pendengaran rayuan ke atas pengangguhan hukuman itu sebagai perbuatan menafikan proses undang-undang daripada dilaksanakan.

“Kami berdukacita kerana hanya dalam beberapa jam selepas pengangguhan pelaksanaan hukuman dibenarkan, mahkamah telah menetapkan pada 2.30 petang 9 November, 2021, untuk pendengaran rayuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Satu lagi permohonan yang difailkan hari ini oleh peguam Nagaenthran bagi menjalankan penilaian psikitri ke atas kesihatan mental tertuduh yang semakin merosot juga ditetapkan pada jam 2.30 petang pada 9 November.

“Sekiranya kedua-dua perkara ini ditolak, maka keputusan penangguhan pelaksanaan hukuman tidak lagi terpakai,” katanya dalam kenyataan itu.

Surendran turut membidas langkah Mahkamah Rayuan Singapura mengarahkan peguam Nagaenthran untuk menyerahkan semua dokumen bertulis dan affidavit pada jam 10 pagi Selasa – empat jam setengah sebelum pendengaran rayuan dijadualkan bermula.

“Mengejutkan dan tidak munasabah mahkamah rayuan telah mengarahkan lewat petang tadi supaya hujah bertulis dan semua afidavit mesti difailkan sebelum 10 pagi pada 9 November.

“Tiada peguam yang berupaya untuk memfailkan hujah bertulis dan menyediakan file afidavit dalam satu malam.

“Ia adalah perintah yang mengarut oleh mahkamah yang kelihatannya seperti berniat untuk mengetepikan kedua-dua pendengaran pada 9 November,” soalnya lagi.

Surendren menegaskan pasukan pembela seharusnya diberikan masa yang mencukupi untuk menyiapkan kes mereka, yang melibatkan isu-isu kompleks dan nyawa seorang individu yang kurang upaya mental.

“Arahan mahkamah yang tidak munasabah dan ketergesaan mengadakan kedua-dua pendengaran dalam tempoh kurang 24 jam adalah menjurus kepada penafian mentah kepada proses yang seharusnya berlangsung kepada Nagaenthran, bertentangan dengan Perkara 9 Perlembagaan Singapura.

“Tidak ada sistem keadilan jenayah di mana-mana negara yang mendaulatkan undang-undang, mempercepatkan rayuan jenayah dalam keadaan begini; apatah lagi melibatkan kes hukuman mati,” ujarnya lagi.

Terdahulu pada Isnin, M. Ravi, peguam dari Singapura yang mewakili Nagaenthran memaklumkan BenarNews yang beliau telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi sebelum ini bagi mendapatkan deklarasi yang pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaentharan adalah bertentangan dengan perlembagaan.

“Permohonan ini ditolak, tetapi Nagaenthran masih boleh merayu keputusan ini di Mahkamah Rayuan, oleh itu penangguhan pelaksanaan hukuman dibenarkan sehingga proses rayuan,” ujarnya.

“...dan selepas itu kita perlu menanti tarikh pendengaran rayuan ditetapkan. Pengangguhan itu akan kekal sehingga Mahkamah Rayuan mendengar rayuan dan membuat keputusan,” katanya kepada BenarNews.

Masa suntuk

Perjuangan selama satu dekad oleh peguam dan pejuang hak asasi untuk menyelamatkan Nagaenthran, 33, semakin suntuk menjelang tarikh pelaksanaan hukuman matinya yang dijadualkan pada Rabu.

Pemuda berasal dari Ipoh, negeri utara Malaysia di Perak ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 - ketika berusia 21 tahun, atas kesalahan menyeludup dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram.

Pada 22 November 2010, Nagaenthran, yang didakwa peguamnya merupakan orang kurang upaya mental, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.

Akta itu memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram di negara itu.

Proses rayuan sehingga ke peringkat terakhir menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura telah ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020, di mana hukuman mati ke atas Nagaentharan dikekalkan.

Dalam rayuannya, peguam Nagaentharan memaklumkan tertuduh memiliki IQ serendah 69 serta menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian, tidak wajar dihukum dengan hukuman mati memandangkan statusnya sebagai orang kurang upaya, selain hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah.

Tertuduh sedar

Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan pada 3 November bagaimanapun berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati tanggungjawab mental Nagaentharan ke atas kesalahan yang dilakukannya tidak menunjukkan kecacatan yang jelas.

“Nagaenthran didapati memahami perbuatannya dengan jelas, dan dia tidak kehilangan pertimbangan di antara yang benar dan salah di atas apa yang dilakukannya.

“Dia menyedari adalah menjadi kesalahan baginya untuk mengedar dadah, yang disembunyikan bagi mengelakkan daripada dikesan. Disebalik mengetahui jenayah di atas perbuatannya, dia menjalankan perbuatan jenayah bagi membayar sebahagian daripada hutangnya.

“Nagaetharan telah diberikan peluang sepenuhnya melalui proses undang-undang, dan telah diwakili oleh peguam sepanjang proses berlangsung,” jelas kementerian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Perkhidmatan Penjara Singapura telah berhubung dengan keluarga Nagaentharan bagi membantu urusan perjalanan mereka ke negara itu bagi bertemu dengan tertuduh.

Desakan batal hukuman

Kes Nagaenthran telah mendapat perhatian meluas masyarakat antarabangsa termasuk Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID).

Pada Ahad, agensi berita nasional Bernama melaporkan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong merayu supaya hukuman ke atas Nagaenthran diringankan.

“Bernama difahamkan Ismail Sabri telah meminta kerajaan Singapura untuk mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan memohon permohonan baru untuk pengampunan presiden dalam kes D. Nagaenthran,” lapor agensi itu.

Nasib Nagaenthran turut mendapat perhatian hartawan antarabangsa, Richard Bronson.

“Ramai aktivis hak asasi manusia telah menerangkan hukuman mati ke atasnya adalah tidak selari dengan Konvensyen PBB mengenai Hak Asasi Individu Kurang Upaya, yang mana Singapura adalah negara yang menandatanganinya.

“Pelaksanaan hukuman ke atas lelaki yang berkemungkinan tidak memahami sepenuhnya kesan akibat perbuatannya, mahupun haknya di mahkanah, akan menimbulkan kesangsian yang serius ke atas kesungguhan Singapura untuk mendaulatkan undang-undang antarabangsa, jelas sekali langkah ke belakang bagi sebuah negara yang berbangga dengan komitmennya kepada kedaulatan undang-undang,” ujar jutawan berpengaruh itu dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman blognya pada Isnin.

Sementara itu, pakar-pakar hak asasi PBB pada Isnin merayu kepada kerajaan Singapura untuk mengangguhkan terus pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaeethran.

“Kami sedia maklum yang penangguhan sementara telah dibenarkan hari ini (Isnin) sehingga rayuan akhir didengari esok (Selasa). Bagaimanapun, kami amat bimbang sekiranya rayuan ini ditolak, dia masih akan tetap dihukum mati,” para pakar PBB berkata dalam satu kenyataan.

“Kami bimbang yang Nagaethran tidak mendapat akses kepada bantuan prosedur untuk kecacatan yang dialaminya semasa proses soal siasat. Kami ingin tegaskan hukuman mati tidak seharusnya dilaksanakan ke atas mereka yang kurang upaya psikologi dan intelektual.

“Kami juga khuatir yang tempoh 11 tahun lepas sebagai tahanan hukuman mati telah menyebabkan kemerosotan kepada kesihatan mental beliau,” ujar mereka dalam kenyataan berkenaan.

Para pakar tersebut telah menulis kepada kerajaan Singapura bagi menyatakan kebimbangan merekan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.