Lagi Pelarian Rohingya Mendarat di Malaysia

Ali Nufael & Hadi Azmi
2019.04.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190408-MY-Rohingya-1000.jpg Sekumpulan lelaki Rohingya yang terdampar di kawasan persisir pantai Sungai Baru di negeri utara Malaysia, Perlis selepas tiba dengan sebuah bot, 8 April, 2019.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia menahan sekurang-kurangnya 41 etnik Rohingya dari Myanmar, yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, selepas mereka mendarat di pantai barat laut negeri Perlis pada Isnin, dengan sebuah bot yang dipercayai dikendalikan sindiket penyeludupan manusia, kata polis.

Kesemua kanak-kanak, remaja dan dewasa lelaki itu ditemui d beberapa tempat di sekitar pantai Kuala Sungai Baru, dan pihak berkuasa sedang mencari enam orang lagi yang dikatakan tiba dengan bot sama, kata ketua polis negeri.

Perlis ialah negeri paling utara di Semenanjung Malaysia dan terletak bersempadan dengan Thailand.

Kumpulan itu mendarat di kawasan yang sama di mana kira-kira 26 wanita dan sembilan kanak-kanak etnik itu diselamatkan oleh penduduk kampung selepas ditemui dalam keadaan kelaparan dan berlumpur pada awal Mac lepas.

Pada Isnin, pihak berkuasa Malaysia yang memetik seorang saksi  berkata terdapat 200 lagi etnik Rohingya dipercayai berada di tengah lautan di sekitar perairan Thailand.

"Kami diberitahu bahawa mereka mendarat kira-kira 4 pagi. Laporan pertama diterima pada 7 pagi dan pasukan polis diarah ke tempat kejadian," kata Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd sambil menyatakan bahawa seorang penduduk tempatan melihat etnik Rohingya itu ketika dia bersedia untuk ke laut pada awal pagi.

"Kami menemui 10 etnik Rohingya di tepi pantai, seramai 10 lagi di tepi jalan di Kampung Belati, manakala 10 orang lagi berhampiran sebuah sekolah dan beberapa orang lagi di sekitar kawasan itu.

“Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen selepas mereka ditinggalkan di kawasan itu, dan mereka dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.

Nor Mushar berkata: "Mereka yang diselamatkan berusia antara 14 dan 30 tahun, dan kesemua 41 etnik itu telah dipindahkan ke Depot Jabatan Imigresen.”

Seorang etnik Rohingya itu, Abd Hussin Nor Hussin, memberitahu dia beliau dan penumpang lain telah membayar sebanyak RM4,000 (AS$976) seorang kepada penyeludup untuk membawa mereka melalui jalan laut ke Malaysia, kata ketua polis negeri itu.

Polis tidak dapat memastikan sama ada kesemua etnik Rohingya itu menaiki bot dari Myanmar atau tenggara Bangladesh, di mana kira-kira 1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar diberi perlindungan di kem sementara selepas melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, sebuah negeri Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh.

"Lelaki itu memberitahu pihak polis bahawa mereka terpaksa berjalan melalui kawasan berlumpur selama kira-kira satu jam untuk sampai ke pantai. Jarak antara bot dan pantai adalah kira-kira satu kilometer (0.62 batu)," kata Noor Mushar sambil memberitahu kesemua etnik tu dalam keadaan berlumpur ketika tiba di kawasan perkampungan itu di Perlis.

"Mereka juga memberitahu pihak berkuasa bahawa terdapat kira-kira 200 lagi yang tidak mempunyai dokumen berada di tengah laut di perairan Thailand," katanya.

Menurut sumber yang enggan dikenali, kesemua pelarian Rohingya itu dibawa dari Myanmar ke perairan Thailand sebelum mendarat di Malaysia pada awal pagi Isnin, dan dipaksa melompat keluar dari bot yang membawa mereka itu.

"Daripada maklumat yang kami peroleh, mereka berada di laut selama lapan hari dan tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Mereka hanya diberi beberapa botol air mineral, kek dan sebungkus nasi," kata sumber itu kepada BeritaBenar.

"Nasib baik kesemua mereka selamat dan diperiksa pihak berkuasa untuk mengesan sebarang kecederaan. Tidak ada yang serius dan mereka juga diberi makanan," kata sumber itu.

Sindiket penyeludupan yang membawa etnik Rohingya itu ke Perlis  mungkin merupakan sindiket sama yang membawa kira-kira 34 wanita dan kanak-kanak Rohingya di kawasan pantai tersebut bulan lalu, menurut sumber itu.

"Modus operandi mereka serupa," kata sumber itu lagi.

‘Tidak banyak yang boleh dilakukan’


Mohamad Sadek, seorang etnik Rohingya yang menetap di Malaysia sejak 11 tahun lalu, berkata, penduduk tanpa kerakyatan dan kaum minoriti yang ditindas di Myanmar tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri dari negara itu dan berdepan risiko ditipu oleh sindiket penyeludupan manusia.

“Tidak banyak yang boleh kami lakukan. Ramai daripada mereka mahu meninggalkan Myanmar dan mencari tempat yang aman untuk hidup. Ramai yang berpendapat Malaysia sebagai tempat terbaik kerana ia adalah negara Islam," katanya kepada BeritaBenar.

"Berikutan itu, mereka terdedah kepada penganiayaan. Ramai penyeludup menjadikannya sebagai umpan untuk memancing mereka ke Malaysia. Mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima tanpa mengetahui yang mereka sedang ditipu," kata Sadek, yang mengendalikan sebuah badan bukan kerajaan di Kuala Lumpur.

Data terkini Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur menunjukkan hampir 89,000 etnik Rohingya kini berdaftar dengan badan dunia itu sebagai pelarian yang tinggal di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.