Pihak Berkuasa Malaysia Tembak Mati Militan Selatan Filipina
2017.12.04
Kota Kinabalu, Sabah

Pasukan keselamatan Malaysia telah menembak mati seorang anggota dari puak militan kumpulan Filipina, Abu Sayyaf pada Isnin di perairan di timur Sabah, kata Ketua Polis Negeri itu.
Abu Paliyak atau Komander Paliyak (alias Yusof), 31, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa Malaysia di daerah Lahad Datu, Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din memberitahu sidang media.
Paliyak adalah pemberi maklumat kepada kumpulan Remy, satu lagi kumpulan serpihan Abu Sayyaf yang terlibat dalam penculikan dan jenayah rentas sempadan di pantai timur negeri itu, kata Ramli.
"Kami percaya Paliyak berada di laut untuk mengintai operasi dan pergerakan anggota keselamatan kami dan kemudiannya menyampaikan maklumat kepada kumpulan penculik untuk tebusan," kata Ramli di Lahad Datu, iaitu kira-kira 251 batu [402 km] dari ibunegeri Sabah, Kota Kinabalu.
Abu Sayyaf, atau maksud namanya Pembawa Pedang, adalah kumpulan pemberontak Islam yang paling ganas di selatan Filipina dan sering terlibat dalam penculikan untuk mendapatkan wang tebusan. Kumpulan berkenaan juga mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian pengeboman feri di Teluk Manila yang membunuh lebih daripada 100 orang pada tahun 2004.
Selain itu, kumpulan berkenaan juga turut dipersalahkan terhadap beberapa kejadian penculikan di laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana pelaut Malaysia dan Indonesia telah menjadi tebusan.
Paliyak, menurut Ramli, terlibat dalam beberapa rampasan dan penculikan maritim di perairan sekitar Lahad Datu dan bandar Kunak di Sabah pada 2014 dan 2015. Dengan kematian Paliyak, pihak berkuasa Malaysia percaya bahawa mereka telah menyelesaikan banyak kes berkaitan, kata Ramli tanpa mengulas lanjut.
Tembak menembak berlaku apabila pasukan rondaan pihak berkuasa Malaysia mendekati sebuah bot yang dinaiki Paliyak selepas dilihat beroperasi dalam keadaan yang mencurigakan, kata polis. Suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan, sehingga memaksa pihak berkuasa berbalas tembakan.
Pihak polis berkata, pasukan itu telah mendapatkan senapang patah yang diubah suai dari bot Paliyak.
Paliyak dipercayai menganggotai kumpulan Remy, yang menjalankan kegiatan jenayah mereka sejak 11 tahun lepas, dengan terlibat dalam kegiatan penculikan untuk tebusan di selatan Filipina dan pantai timur Sabah, kata Ramli.
Pihak berkuasa Filipina baru-baru ini telah menahan lima anggota kumpulan itu serta menembak mati empat lagi suspek lain, katanya, sambil menambah bahawa anggota terakhir kumpulan yang terlibat dalam kegiatan jenayah dipercayai masih lagi berada di selatan Filipina.