Gerak hati pantas pengasuh Malaysia selamatnya dari diperdagang ke Myanmar

Menurut data kerajaan lebih 500 rakyat Malaysia jadi mangsa penipuan pekerjaan diselamatkan dari Kemboja dan Myanmar sejak 2022.
Muzliza Mustafa
2024.10.23
Kuala Lumpur
Gerak hati pantas pengasuh Malaysia selamatnya dari diperdagang ke Myanmar Nurul Huda Ahmad yang nyaris menjadi mangsa pemerdagangan manusia bercakap kepada pemberita sambil mendukung bayinya pada sidang media yang diadakan oleh Malaysia International Humanitarian Organisation di Kuala Lumpur, 22 Oktober 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang ibu anak empat, Nurul Huda Ahmad, 41, nyaris menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan mungkin terpaksa bekerja di pusat penipuan di Myanmar jika dia menyerahkan pasportnya dan melintasi sempadan seperti yang diminta oleh ‘Kent’, seorang dalang yang telah menipunya untuk terbang ke Bangkok, Thailand bagi bekerja sebagai pengasuh.

Nurul Huda menyatakan helah telah dibuat dengan begitu teliti tanpa menimbulkan syak wasangka sehingga dia sampai ke Bangkok sebelum terperangkap dalam perjalanan jauh selama enam jam ke sempadan Thailand-Myanmar.

“Saya terbaca tentang orang yang diculik, menjadi mangsa sindiket dan diseludup ke Myanmar tetapi tidak pernah terfikir saya akan turut terjebak dengan helah mereka dan meninggalkan keluarga untuk menerima tawaran pekerjaan yang tidak pernah wujud,” cerita Nurul Huda kepada BenarNews.

Masih trauma dengan pengalaman itu, Nurul Huda berkongsi dengan BenarNews bagaimana kisah menakutkan itu bermula.

BN: Bolehkah anda ceritakan bagaimana segala-galanya bermula?

NH: Pada mulanya ada seorang lelaki menghantar mesej kepada saya dengan memperkenalkan dirinya sebagai Kent. Katanya, dia memerlukan pengasuh untuk menemani isteri dan dua anak mereka apabila ahli keluarganya itu datang melawatnya di Thailand.

Lelaki itu memberitahu saya yang dia bekerja dengan seorang diplomat di Bangkok. Dia bertanya sama ada saya berminat dan jika ya, dia ingin membuat temu bual ringkas melalui panggilan video.

BN: Jadi, apa yang berlaku selepas itu?

NH: Kami membuat panggilan video. Saya melihat sepasang suami isteri yang mungkin berumur 30-an. Kedua-duanya berwajah Cina dengan latar belakang seperti suasana pejabat. Dia bercakap dalam bahasa Indonesia tetapi saya masih dapat faham kata-katanya. Kami membincangkan tentang gaji saya dan memberitahu saya bahawa mereka bersedia membayar lebih.

Saya fikir mengapa tidak ambil peluang itu kerana ia akan menjadi tugas pertama saya di luar negara selepas melahirkan anak bongsu pada Julai lalu. Kami menamatkan perbualan setelah mereka bersetuju dengan syarat yang saya tetapkan termasuk menanggung tiket penerbangan pergi balik.

BN: Sebelum pergi ke Thailand, anda pernah bekerja sebagai pengasuh di negara mana?

NH: Sebelum ini saya pernah ke Indonesia, Jepun dan Dubai bagi membantu ekspatriat dan ahli perniagaan untuk menjaga anak-anak mereka semasa mereka pergi mesyuarat atau melancong.

BN: Berapakah bayaran yang diberikan dan apakah yang ditawarkan pasangan berbahasa Indonesia itu kepada anda?

NH: Kadar bayaran saya ialah sebanyak RM240 (AS$55) sehari. Saya meletakkan syarat bahawa saya hanya boleh menjaga maksimum dua orang kanak-kanak. Tidak lebih. Mereka mahu membayar saya RM500 (AS$115) sehari.

BN: Bilakah perjalanan anda ke Bangkok dan apa yang terjadi di sana?

NH: Pada pagi 13 Oktober, seorang pegawai kastam datang membantu selepas saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok. Dia memakai baju Kastam Thai dan tanda pengenalan diri. Dia membawa saya ke laluan pantas dan mendapatkan pasport saya untuk dicop dengan serta-merta.

Seorang pemandu datang menjemput saya tidak lama kemudian. Saya langsung tidak ada peluang hendak menukar mata wang ringgit saya kepada baht atau membeli kad sim Thai.

BN: Ketika itu adakah timbul rasa curiga?

NH: Tidak. Tetapi ia bermula apabila Kent menghantar mesej kepada saya dan mengatakan lokasi telah ditukar tetapi tidak menyatakan butiran lain.

Tempoh pemanduan semakin lama. Saya menjejaki pergerakan pada peta kerana saya menyambung ke ‘hotspot’ pemandu dan mendapati saya berada berhampiran sempadan.

Kami berhenti tidak jauh dari pusat daftar keluar Imigresen di wilayah bernama Tak di sempadan Thailand-Myanmar.

Pemandu itu memberitahu saya agar menyerahkan pasport kepada polis tetapi saya menolak. Lalu saya bertindak keluar dari kereta dan meminta pertolongan.

BN: Apa yang anda beritahu kepada polis Thailand?

NH: Saya memberitahu seorang pegawai polis bahawa saya telah ditipu tetapi bahasa Inggerisnya sangat lemah sehingga dia terpaksa menghubungi isterinya, seorang guru sekolah untuk membantu menterjemahkan apa yang saya katakan.

BN: Adakah pemandu itu ditangkap?

NH: Tidak. Mereka membiarkan dia pergi kerana dia hanya pemandu tetapi Kent terus menghubungi saya melalui telefon, cuba bersungguh-sungguh memujuk saya untuk menyeberang sempadan dan berjanji mahu membayar saya lebih atas semua masalah yang timbul.

BN: Jadi bagaimana anda pulang ke Malaysia?

NH: Pegawai polis itu baik hati membeli tiket bas ke Bangkok dan dari situ saya menaiki kereta api ke Hat Yai-Padang Besar, Malaysia. Dari Padang Besar, Perlis, saya naik kereta api untuk balik ke Kuala Lumpur.

Saya sampai pada 15 Oktober. Saya tidak tahu di mana saya dapat keberanian untuk mengatakan tidak kepada pemandu itu apabila dia mendesak saya agar menyerahkan pasport kepada polis. Apa yang saya fikirkan ialah empat anak kecil saya di rumah dan suami saya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.