Rangkaian Orang Asal Serah Memorandum Minta Ketelusan Isu Tanah
2016.08.09
Kuching, Sarawak

Rangkaian terbesar orang asal Malaysia pada Selasa telah menyerahkan satu memorandum enam perkara kepada Kerajaan Malaysia yang menuntut ketelusan kerajaan terhadap pelbagai isu berkaitan hak tanah, wilayah dan sumber orang asal di negara itu.
Memorandum yang ditandatangani oleh Presiden Jariangan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) Yusri Ahon diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low oleh Setiausaha Agung jaringan itu, Jannie Lasimbang di pejabat Menteri di Putrajaya.
Jannie berkata, enam perkara yang dituntut dalam memorandum itu ialah jawatankuasa kabinet mengenai Tanah Orang Asal segera dilaksanakan serta memberi perkembangan mengenainya secara telus.
“Penubuhan sebuah Suruhanjaya Kebangsaan Orang Asal yang bebas dan melindungi hak masyarakat orang asal di Malaysia; menyemak/meminda dan memansuhkan undang-undang tidak jelas serta tidak melindungi hak orang asal; kerajaan perlu memberhentikan proses pewartaan semasa mengambil alih tanah adat.
“Segala perundingan dengan orang asal perlu menggunakan prinsip Izin-Makluman Awal, Bebas dan Telus (Izin-MABT) sebelum melaksanakan sebarang projek pembangunan oleh semua pihak terlibat termasuk kerajaan dengan pemantauan mekanisme perundingan perlu diwujudkan.
“Kami mahu kerajaan menghormati hak asasi orang asal dan menghentikan tindakan penangkapan yang tidak berasas terhadap pemimpin orang asal di seluruh Malaysia,” tambah Jannie.
Beliau berkata,memorandum itu digubal selepas rundingan dengan orang-orang asal di seluruh negara yang dilakukan sejak empat hari lalu seiring dengan sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos setiap tahun.
Mengenai Jawatankuasa Kabinet Orang Asal yang ditubuhkan pada 13 Jun tahun lepas, Jannie berkata, mereka berada di dalam dilema kerana sehingga kini tidak mendapat sebarang maklumbalas dan perkembangan mengenainya daripada kerajaan.
“Kami mempersoalkan keikhlasan kerajaan kerana sehingga kini kami tidak menerima sebarang berita lanjut daripada mereka. Memorandum hari ini juga turut merujuk kepada laporan Inkuiri Nasional Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang mengesyorkan 18 cadangan kepada kerajaan Malaysia berhubung hak tanah orang asal yang dikeluarkan pada tahun 2013,” tambah beliau.
Laporan SUHAKAM dengan 187 mukasurat itu antara lain mahu dikaji semula nilai pampasan tanah kepada orang asal, menubuhkan suruhanjaya bebas untuk orang asal, melibatkan orang asal dalam pembangunan serta penglibatan aktif masyarakat asal dalam pengurusan hutan.
Tambah Jannie lagi, berikutan laporan itu, Kerajaaan Malaysia telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kabinet yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada masa itu dan sehingga kini tiada sebarang berita mengenainya.
Percubaan BeritaBenar untuk mendapatkan maklumbalas menteri mengenai memorandum itu, bagaimanapun gagal, kerana pesanan dan panggilan tidak berjawab.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menggesa dunia untuk meningkatkan akses pendidikan untuk orang asal dengan mencerminkan pengalaman dan budaya mereka di tempat-tempat pengajian.
“Marilah kita memastikan orang asal tidak ketinggalan sementara kita meneruskan wawasan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia pada tahun ini memberi tumpuan kepada usaha untuk mendapatkan hak pendidikan memandangkan terdapat jurang yang lebar antara pelajar orang asal dan bukan asal dari segi akses pendidikan serta kuantiti penerimaan ijazah dikalangan mayarakat itu di seluruh dunia, kata kenyataan PBB itu.
Ia disambut setiap tahun pada 9 Ogos dengan mengiktiraf mesyuarat pertama Kumpulan Kerja PBB mengenai Populasi Orang Asal yang diadakan di Geneva pada tahun 1982.
Haireez Azeem Azizi turut menyumbang kepada laporan ini.