Jurutera Wanita Terima Hukuman Lapan Tahun Penjara Selepas Tukar Pengakuan

Ray Sherman
2017.11.29
Kuala Lumpur
171129-my-jurutera-is-620.jpg Sepasukan anggota polis Malaysia sedang berkawal di luar bangunan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur, 10 Februari 2015.
AFP

Seorang jurutera wanita dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun oleh sebuah mahkamah Malaysia selepas menukar pengakuannya kepada bersalah pada Rabu atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) melalui aplikasi media sosial Google+ awal tahun ini.

Irma Julyanti Buang, 32, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah apabila didakwa atas kesalahan tersebut pada 14 November lalu, telah menukar pengakuannya di hadapan Hakim Mohd Sofian Abd Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Dengan penukaran pengakuan itu, Hakim Mohd Sofian telah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula tarikh beliau ditangkap iaitu pada 20 April lepas.

Menurut kertas pertuduhan, Irma yang merupakan seorang penolong jurutera teknikal, didakwa menyokong kumpulan pengganas IS atas nama Celestica-Irma Julyanti Binti Buang dengan menggunakan aplikasi media Google+ miliknya di bilik kejuruteraan Kilang Celestica (AMS),  Jalan Seelong, Johor antara Januari 2016 hingga 20 April 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau yang diniat untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Sofian berkata kesalahan yang dilakukan oleh ibu kepada seorang anak itu adalah serius kerana mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

Beliau berkata sebagai seorang yang terpelajar, tertuduh tidak sepatutnya menyatakan sokongan dan simpati kepada kumpulan IS, yang kegiatan keganasannya semakin memuncak di Timur Tengah.

“Mahkamah juga tidak faham mengapa tertuduh boleh terpengaruh dengan ideologi kumpulan IS dan sanggup memberi sokongan kepada kumpulan itu,” kata Mohd Sofian, yang turut menasihati tertuduh supaya menggunakan masa terluang di dalam penjara untuk belajar bagi mencapai hasratnya menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee meminta tertuduh dijatuhkan hukuman berat untuk menjadi pengajaran bukan sahaja untuk tertuduh tetapi juga masyarakat, berikutan peningkatan kes berkaitan keganasan kumpulan IS.

Irma, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman yang ringan kerana beliau telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya. Menurutnya, dia juga adalah ibu tunggal dan kini menyara ibu bapa serta nenek yang menghadapi penyakit strok.

Irma juga berkata dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan bagi meningkatkan pendapatan untuk membantu keluarga.

Agensi berita nasional Bernama melaporkan tertuduh telah ditangkap berikutan maklumat daripada seorang pegawai keselamatan Kilang Celestica yang memaklumkan kepada pihak keselamatan Kilang Celestica di Kanada yang telah mengesan salah laku penggunaan aplikasi melalui Google+ atas nama Celestica-Irma Julyanti Binti Buang.

Akaun Google+ itu telah memuat naik banyak artikel dan gambar berkaitan perang di Timur Tengah dan kumpulan IS.

Menurut laporan itu, siasatan juga mendapati aplikasi media sosial Google+ telah didaftarkan menggunakan alamat emel ibuang@celestica .com yang dibekalkan oleh pihak kilang Celestica kepada tertuduh.

Dalam tempoh empat tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk IS. Enam puluh enam orang daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 34 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 53 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.

Pihak berkuasa Malaysia telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.