Nurul Izzah Nafi Tawar Kontrak Kepada Justo

Hata Wahari
2015.09.08
150908-MY-IZZAH620 Nurul Izzah, anak perempuan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, dan juga ahli Parlimen Lembah Pantai bersama penyokong beliau pasa kempen Parti Keadilan Rakyat sebelum Pilihan raya Umum ke-13 di Kuala Lumpur. 4 Mei 2013.
AFP

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan beliau pernah menawarkan kontrak kerajaan kepada bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo, sebagai bayaran untuk memperolehi data mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen pembangkang itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap New Straits Times (NST) and Berita Harian (BH) yang membuat laporan berdasarkan pengakuan bertulis oleh Justo atas kehendaknya sendiri.

“Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah menawarkan US$2 juta kepada Justo dalam bentuk kontrak kerajaan sekiranya Parti Pembangkang memegang kuasa. Saya tidak pernah berjumpa dengan Justo,

“Hari ini (Selasa) NST dan BH telah menjadikan pembohongan ini sebagai tajuk utama, tanpa mengendahkan sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan tersebut. Saya dengan ini telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua akhbar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dalam laporan yang disiarkan oleh kedua-dua akhbar itu pada Selasa, ia mendedahkan, butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk pengakuan bertulis yang dibuat atas kerelaannya sendiri, yang antara lain mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai lMDB yang dicurinya pada tahun 2011.

Menurut laporan yang disiarkan akhbar-akhbar tempatan tersebut, Justo mendakwa editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown adalah orang tengah di dalam urusan di antara Nurul Izzah dan dirinya.

Andre Xavier Justo, seorang lelaki warga Switzerland, sedang menerima hukuman penjara di Bangkok, Thailand selepas beliau mengaku bersalah cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International bulan lepas.

Bekas eksekutif IT berumur 49 tahun itu mengaku menyerahkan dokumen yang dicuri berkaitan urus niaga antara bekas majikannya dengan 1MDB kepada 'seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia' telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Thailand pada 17 Ogos lepas.

Perintah itu bermula pada hari beliau ditahan di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand, pada 22 Jun lepas.

Justo ditahan selepas PetroSaudi memfailkan aduan, dan kemudian dibawa ke Bangkok dan semasa berada di dalam tahanan, lelaki berkenaan mengaku cuba memeras ugut dengan menggunakan maklumat yang diperolehi daripada PetroSaudi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga sepuluh tahun dan denda antara 2,000 baht (AS$56) dan 20,000 baht (AS$562).

Bayar 2 Juta

Pengakuan Justo itu berbunyi, “sekitar September 2014, Clare menghubungi saya dan mengundang saya ke Bangkok. Dia berkata anak perempuan Anwar Ibrahim berminat membeli data itu,”

Tambah Justo, beliau menolak kerana Nurul mahu membayar US$2 juta (RM8.6 jua) dalam bentuk kontrak kerajaan apabila mereka berkuasa, bukan dalam bentuk wang tunai. Beliau menolak tawaran itu kerana tidak melihat faedahnya

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut berkata, persoalan yang utama bukanlah mengenai dokumen yang dicuri oleh Justo, tetapi mengenai kandungan dokumen tersebut, termasuk laporan-laporan oleh Wall Street Journal, Sarawak Report dan The Edge.

Pada Julai lepas, WSJ, Sarawak Report dan The Edge telah menyiarkan laporan berdasarkan penyiasatan, yang mendakwa hampir RM2.64 bilion (AS$700 juta) telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara 1MDB, yang dibebani hutang lebih RM41.5 bilion (AS$11 bilion).

Najib yang juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan itu adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Pejabat Perdana Menteri yang memberi maklum balas berhubung perkara itu berkata, laporan berkenaan adalah sabotaj politik, manakala 1MDB pula menegaskan tiada dana yang dipindahkan ke akaun Najib.

Najib yang juga Presiden UMNO, parti utama di dalam kerajaan, turut mendapat tekanan dari pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menjelaskan dakwaan deposit di dalam akaun peribadi beliau daripada 1MDB.

Beliau kemudian secara mendadak memecat Timbalannya Muhyiddin Yassin yang lantang bersuara mengenai skandal berkenaan, manakala Abdul Gani Patail diturun pangkat secara tergesa-gesa sebagai peguam negara Malaysia.

Tindakan Najib telah menimbulkan tuduhan wujudnya "teori konspirasi" bagi memastikan Najib, yang disiasat berhubung skandal 1MDB, boleh terus mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Gani ketika itu merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan skandal itu.

Turut dinamakan di dalam laporan kedua-dua akhbar berkenaan ialah Ahli Parlimen Petaling Utara, Tony Pua yang didakwa telah mengatur penjualan data itu kepada pemilik The Edge Media Group (The Edge), Tong Kooi Ong bersama Rewcastle-Brown (Sarawak Report).

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengakuan bertulis yang dibuat atas kerelaan sendiri Justo, menunjukkan terdapat 'usaha-usaha secara terperinci' untuk menggulingkan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh membuka kertas siasatan terhadap individu yang dinamakan oleh Justo dalam pengakuan bertulisnya.

"PDRM mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa Thailand bagi melakukan tindakan-tindakan selanjutnya terutama dalam membuka kertas siasatan sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses pendakwaan

“Semua dokumen yang menjadi sumber berita yang disiarkan dalam akhbar (NST) adalah dokumen yang diperolehi daripada pihak berkuasa Thailand di mana butir dan bahan dicatatkan dalam pengakuan bertulis Justo,’’ katanya pada Selasa.

Sementara itu, Pua sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak mengenali individu bernama "Xavier Andre Justo", sehinggalah penangkapan warga Switzerland tersebut di Thailand menjadi berita utama.

Pua juga berkata beliau hanya menerima dokumen 1MDB yang bocor dari laman web Sarawak Report.

Tambahnya, beliau tiada niat jahat dalam menghubungi Rewcastle-Brown, kerana ia adalah tugasnya sebagai seorang ahli parlimen untuk mencari kebenaran di sebalik artikelnya.

“Sejak beberapa tahun yang lalu, saya telah berkongsi banyak maklumat kenalan dengan Clare dan membincangkan pelbagai subjek berkaitan politik di Malaysia. Antara maklumat kenalan yang dikongsi termasuk Tong Kooi Ong dari The Edge Media Publications.

"Bagaimanapun, jika perkongsian maklumat kenalan dengan wartawan dan media bermakna mengambil bahagian dalam 'konspirasi', saya mesti telah berkomplot dengan setiap organisasi media di Malaysia yang telah meminta maklumat kenalan dari saya,” katanya.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.