Rasuah: Isa Samad Didapati Bersalah, Dijatuhi Enam Tahun Penjara, Denda RM15 Juta

Hadi Azmi
2021.02.03
Kuala Lumpur
Rasuah: Isa Samad Didapati Bersalah, Dijatuhi Enam Tahun Penjara, Denda RM15 Juta Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Mohd Isa Abdul Samad hadir untuk mendengar keputusan pertuduhan rasuah terhadapnya di Mahkamah Kuala Lumpur, 3 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan(FELDA), Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan rasuah berhubung pembelian sebuah hotel pada 2014, dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda lima kali daripada jumlah suapan yang diterima iaitu RM15.45 juta (AS$3.82 juta).

Hukuman terhadap Isa itu adalah atas sembilan pertuduhan kerana menerima rasuah RM3 juta (AS$750,000) bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak atas kapasitinya sebagai Pengerusi FELDA, yang menurut mahkamah beliau telah penyalahgunaan kuasa dan kepercayaan masyarakat.

Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali berkata hukuman yang dikenakan adalah bertujuan sebagai pencegahan kepada orang lain dari menyalahgunakan kuasa dan mengambil tindakan yang sama.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

"Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan," kata Hakim Nazlan semasa membacakan keputusannya.

Hakim itu berkata, hukuman dibuat mahkamah itu turut mengambil maklum latar belakang tertuduh, rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik dan juga pernah menjawat jawatan menteri besar selama dua dekad termasuk menteri kabinet.

"Tetapi, kesalahan berkaitan rasuah adalah serius, yang mengugat ekonomi negara dan merupakan barah serta menjejaskan sistem demokrasi negara,” kata Nazlan lagi.

Hakim itu menambah Isa yang didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 telah gagal membuktikan sebarang keraguan dalam peringkat pembelaan di dalam perbicaraan kes itu dan pembelaan beliau cumalah dalam bentuk penafian.

Isa, 72 yang merupakan ahli politik veteran dalam Parti Pertubuhan Melayu Bersatu (UMNO) mengetuai FELDA pada 2011, juga pernah digantung jawatan dan keahliannya dalam parti itu selama dua penggal atau enam tahun pada 2004, selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Beliau yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, dan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan pembelian hotel di Sarawak tanpa kebenaran dari Lembaga Pengarah FELDA pada 29 April, 2014.

FELDA basmi kemiskinan

FELDA yang ditubuhkan untuk mengagihkan tanah ladang kepada etnik Melayu di bawah program pembasmian kemiskinan adalah hasil cetusan idea Abdul Razak Hussein, bapa kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga perdana menteri kedua Malaysia pada tahun 1956.

Sebagai pengeluar kelapa sawit ketiga terbesar di dunia, FELDA berkembang menjadi sebuah syarikat perniagaan mega yang menjadi pengeluar terbesar minyak kelapa sawit di dunia menerusi unitnya yang disenaraikan sebagai Felda Global Ventures (FGV).

Felda juga menubuhkan FIC pada 2013 sebagai cabang pelaburan Felda untuk sektor hartanah, minyak dan gas.

FIC membeli hotel bertaraf empat bintang, Grand Plaza Kensington di London dengan kemudahan 62 bilik dan terletak di Lexham Gardens, pada 16 Disember 2014 pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian.

Manakala Hotel Istana Merdeka di Kuching adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang memiliki 213 bilik, dibeli oleh FIC dengan harga RM160 juta meskipun nilai sepatutnya yang direkodkan adalah RM110 juta.

Tangguh hukuman

Dalam pada itu, Hakim Nazlan turut membenarkan perintah penangguhan perlaksanaan sementera menunggu keputusan rayuan oleh Isa di Mahkamah Rayuan dan membenarkan beliau dibebaskan dengan bon sebanyak RM1.5 juta (AS$370,278) termasuk perlu melaporkan diri di balai polis pada hari pertama setiap bulan sehinggalah proses rayuan selesai.

Perintah itu ditetapkan selepas proses mitigasi dari pihak peguam bela dan pendakwaraya tentang bentuk hukuman yang setimpal buat Isa.

Pendakwaraya Afzainizam Abdul Aziz dalam mitigasi itu meminta supaya Isa dikenakan hukuman maksimum 12 tahun penjara bagi setiap kesalahan bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan.

“Ini mengambil kira keseriusan jenayah yang dilakukan,” kata Afzainizam

Namun begitu peguam bela Salehuddin Saidin meminta hakim untuk memberikan sedikit kelonggaran dalam hukuman dengan mengambilkira sumbangan Isa kepada negara, umur serta kesihatan beliau. Salehuddin turut berkata ianya adalah kesalahan pertama buat Isa.

Isa telah dilantik ke jawatan Pengerusi FELDA oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak pada 2010.

Najib sendiri dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta oleh hakim yang sama pada 28 Julai, 2020 setelah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah dalam kes berkaitan skandal 1MDB.

Dana kerajaan

Pada penghujung tahun 2018, iaitu semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Kementerian Kewangan telah mengumumkan dana khas berjumlah RM77 juta (AS$18.4 juta) bagi membantu peneroka tanah FELDA untuk melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada masa itu berkata, peruntukan khas tersebut diberi bagi membantu golongan peneroka membayar kerja-kerja operasi pembangunan ladang mereka dan kos sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula ekoran masalah aliran tunai FELDA yang agak tenat.

“Kementerian Kewangan mengambil serius masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun 2018. Masalah ini mendapat perhatian Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang baru-baru ini telah mengarahkan bantuan diberikan,” kata Lim ringkas.

Dana tersebut akan disalurkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal badan milik kerajaan berkenaan.

Dari jumlah yang dinyatakan, sebanyak RM43 juta (AS$10.28 juta) akan dibayar kepada FELDA Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka manakala RM32.8 juta (AS$7.84 juta) adalah untuk bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula 38,000 peneroka.

“Selebihnya, RM1.2 juta (AS$287,000) adalah untuk bayaran khairat kematian melibatkan waris kepada 120 peneroka,” tambahnya lagi.

Kes Isa merupakan kes jenayah berprofil tinggi yang terakhir didengari oleh Nazlan berikutan arahan pertukaran yang dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang memindahkan Nazlan ke Mahkamah Tinggi Sivil bermula 1 Mac.

Pertukaran Hakim

Ketua Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan menjelaskan bahawa arahan pertukaran Nazlan adalah urusan pemindahan yang biasa berlaku di kalangan hakim seluruh negara.

“Pemindahan Hakim Nazlan ke Mahkamah Sivil adalah untuk menggantikan Hakim Wong Chee Lin yang akan bersara.

Hakim Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi (Bahagian Komersil) sebelum beliau dipindahkan ke bahagian jenayah dan beliau turut mempunyai pengalaman yang luas dan kepakaran yang berkaitan kes sivil dan komersil.

“Selain dari itu, hanya 30 kes jenayah sahaja lagi yang masih tertangguh di Mahkamah Tinggi Jenayah.

“Kes-kes jenayah yang didengari oleh Hakim Nazlan akan terus didengari oleh beliau sehingga ianya selesai walaupun selepas perpindahan,” kata satu kenyataan pada 23 Januari lalu.

Antara kes berprofil tinggi yang sedang didengari oleh Hakim Nazlan termasuklah kes pecah amanah Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Mohd Irwan Serigar Abdullah melibatkan dana kerajaan berjumlah RM6.6 juta (AS$1.62 juta) yang dijangka disambung pada September selain kes saman perampasan hak kerajaan Malaysia untuk mendapatkan lebih dari AS$340 juta wang 1MDB dari PetroSaudi International (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.