Undang-undang Ketat Belum Cukup Untuk Memerangi Pedofilia, Kata Doktor

Haireez Azeem Azizi
2016.06.10
160610-my-huckle620 Pedofilia rakyat British Richard Huckle yang telah dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London, didakwa mengambil gambar kanak-kanak di kejiranan di Kuala Lumpur, 3 Jun 2016.
AFP

Pakar kanak-kanak di Malaysia menggesa supaya dilaksanakan langkah pencegahan yang lebih berkesan bagi membendung penderaan seksual terhadap kanak-kanak, selepas seorang pedofilia Britain yang mencabuli sehingga 200 kanak-kanak Malaysia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London minggu ini.

Berikutan sabitan terhadap Richard Huckle, yang telah mengaku melakukan 71 pertuduhan penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berumur di antara enam bulan hingga 12 tahun, pegawai-pegawai Malaysia memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Parlimen sedang mempertimbangkan undang-undang yang lebih ketat terhadap penderaan kanak-kanak.

Tetapi pakar kanak-kanak di negara itu berkata, tindakan undang-undang dan hukuman sahaja tidak mencukupi.

"Kita perlukan langkah-langkah pencegahan dalam bentuk kemahiran keibubapaan mengenai keselamatan kanak-kanak, pendidikan seks di sekolah-sekolah, mendidik kanak-kanak tentang melindungi diri mereka daripada potensi menjadi pemangsa seksual," kata Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia N. Thiyagar kepada BeritaBenar.

Huckle dipercayai telah menyasarkan sehingga 200 kanak-kanak sepanjang tempoh sembilan tahun dia menyamar sebagai jurugambar, guru Bahasa Inggeris dan dermawan barat untuk mendapat akses kepada keluarga miskin, yang kebanyakannya di Malaysia, menurut laporan.

Menurut para pegawai Malaysia, sebahagian besar mangsa Huckle adalah daripada kalangan masyarakat Kristian yang miskin di ibu negara Kuala Lumpur, di mana beliau bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris dan pekerja kebajikan Kristian.

Thiyagar berkata kes Huckle menunjukkan perlunya  "tapisan dan kaedah saringan yang ketat dalam merekrut sukarelawan" manakala ibu bapa perlu diingatkan dan dididik tentang keselamatan kanak-kanak.

"Kita perlu mengadakan kempen kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak daripada terjebak dengan pesalah seksual untuk orang ramai. Kanak-kanak perlu diajar peraturan asas tentang bahaya orang asing seperti jangan menerima hadiah daripada orang yang tidak dikenali atau pergi ke mana-mana dengan orang yang tidak dikenali, "katanya.

Beliau mencadangkan keselamatan kanak-kanak menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan seks di pra-sekolah dan sekolah.

Malaysia tidak mempunyai pendidikan seks di sekolah.

Minggu ini, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) bersama-sama dengan Kolej Pediatrik Malaysia  dalam satu kenyataan bersama  berkata,  bahawa dua pertiga daripada pedofilia dikenali oleh kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, pedofilia sering menyamar sebagai sukarelawan bagi agensi yang berkhidmat untuk kanak-kanak.

"Mereka akan memperlihatkan diri mereka dalam sebagai orang yang boleh dipercayai agar sentiasa dapat mendampingi mangsa mereka, iaitu kanak-kanak. Statistik menunjukkan bahawa anak anda boleh menjadi lebih berisiko dengan seseorang yang mereka kenali berbanding  dengan orang yang langsung tidak mereka kenali. Berhubung dengan pedofilia,  dua per tiga daripada pedofilia dikenali oleh kanak-kanak,” kata kenyataan itu.

Kes Huckle telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia di media sosial. Malah, Perdana Menteri Najib Razak yang menulis dalam Facebook tentang kemarahan dan kesedihan beliau mengenai kes itu, berkata "Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar” daripadanya.

Kerajaan Malaysia berkata ia bercadang untuk menggubal undang-undang baru khusus bagi menangani pedofilia.

"Ini bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap pedofilia pesalah seksual walaupun mereka melakukan jenayah itu di negara-negara lain," Timbakan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed dipetik sebagai berkata demikian oleh agensi berita nasional, Bernama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri juga mengumumkan bahawa pindaan sedang dibuat terhadap undang-undang sedia ada mengenai penderaan kanak-kanak.

Tetapi, Lee Lam Thye, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, berkata kelulusan dan laluan pindaan Akta Kanak-kanak itu hendaklah dibuat pada siding Parlimen yang sedang berlangsung "supaya kita boleh menjaga keperluan kanak-kanak, melindungi hak-hak mereka dan menghentikan penderaan kanak-kanak dan kecuaian keibubapaan. "

Rang undang-undang memohon pindaan itu telah dibentangkan untuk perbahasan pada Disember.

Pindaan itu  akan mengenakan  tindakan tegas terhadap mereka yang mendera atau mengabaikan kanak-kanak, kata Lee.

Cadangan pindaan itu membawa hukuman yang lebih berat dengan mengenakan denda sehingga RM50,000 (AS$12,252) dan penjara maksimum 20 tahun bagi mereka yang disabitkan dengan penderaan kanak-kanak. Di bawah Akta sedia ada, penderaan kanak-kanak boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM10,000 (AS2,450) dan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Cadangan itu juga termasuk penubuhan Daftar Pelaku Jenayah  terhadap kanak-kanak dan penubuhan Majlis Kebangsaan untuk Kanak-kanak bagi menasihati dan membuat syor kepada kerajaan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Daftar itu antaranya akan mengandungi butiran tentang pedofilia asing yang telah melakukan kesalahan di Malaysia, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Azizah Mohd Dun menurut The New Straits Times.

Seorang pegawai kementerian itu berkata satu pasukan petugas sedang ditubuhkan untuk meneliti butiran dan mekanisme Daftar berkenaan. Pada masa ini, rekod sabitan dan kesalahan pesalah disimpan oleh pihak polis, kata laporan itu

 

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.