Polis: Tidak Tolak Kaitan Pengganas Dalam Serangan Bom Tangan

Haireez Azeem Azizi
2016.06.28
160628-my-nightclub-attack-620 Lokasi di mana sebutir bom tangan meletup di kelab malam Movida, 28 Jun, 2016.
[Haireez Azeem Azizi/BeritaBenar]

Sebutir bom tangan meletup di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada awal Selasa, dan mencederakan lapan pelanggan semasa mereka sedang menonton perlawanan bola sepak Euro 2016, kata pihak berkuasa Malaysia.

Polis tidak menolak kemungkinan keganasan berlaku di kelab malam Movida, di Puchong, sebuah bandar yang terletak di selatan ibu negara Malaysia, namun menganggap serangan itu berkaitan dengan  persaingan perniagaan di antara kumpulan jenayah terancang atau mungkin tindakan membalas dendam.

Sementara itu, seorang lelaki Malaysia yang kini berjuang untuk Negara Islam (IS) di Timur Tengah dengan pantas telah memuat-naik catatan di laman facebooknya, mendakwa rakannya di dalam organisasi yang berada di Malaysia bertanggungjawab melemparkan bom tangan di kelab malam berkenaan.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pengganas bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
"Biarlah polis siasat terlebih dahulu," kata Khalid apabila BeritaBenar berkongsi paparan skrin Facebook  Abu Hamza Al-Fateh, seorang ahli IS Malaysia yang nama sebenarnya adalah  Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.  Lewat tengah malam Selasa, laman Facebook milik Wanndy tidak boleh lagi dilihat.

Dalam pada itu, Abd Rahim Jaafar, Timbalan Ketua Polis Selangor, di mana kejadian letupan itu berlaku berkata, polis negeri itu menolak ianya berkait dengan keganasan, sebaliknya memberi tumpuan siasatan dari aspek persaingan perniagaan dalam kalangan samseng tempatan atau motif tindakan membalas dendam.
Polis sedang memeriksa rakaman dari kamera keselamatan di kelab berkenaan untuk mengenal pasti suspek, katanya.

"Orang ramai diminta supaya tidak membuat spekulasi mengenai andaian berkaitan keganasan, kerana kami masih menjalankan siasatan menyeluruh," kata Abd Rahim kepada BeritaBenar, sambil memberitahu bahawa siasatan awal menunjukkan bom tangan itu dilemparkan dari tepi jalan.

Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, mengingatkan supaya tidak menggunakan sebarang perkataan serta berhati-hati membuat spekulasi sama ada serangan bom tangan itu merupakan satu tindakan keganasan.

"Siasatan kami sedang mengkaji dari semua sudut ... Pada masa ini, siasatan masih berjalan," akhbar tempatan Berita Harian memetik Ayub sebagai berkata.

‘Serangan terkutuk’

 

 


Letupan itu berlaku kira-kira pukul 2:15 pagi apabila peminat bola sepak berkumpul di teres luar kelab Movida itu, untuk menonton Pusingan 16 perlawanan antara Itali dan Sepanyol, kata polis.

"Dua pejuang dari wilayat Malaysia  telah memulakan serangan pertama yang  diberkati itu  dengan menggunakan bom tangan di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan menyasarkan kelab malam yang dipenuhi dengan pelanggan kafir," catat Wanndy dalam  Facebook, yang kemudian dikeluarkan daripada laman sosial itu.

"Serangan itu menyebabkan beberapa mangsa cedera dan membawa  kerosakan kepada kelab malam itu yang tidak menghormati bulan Ramadan apabila membenarkan aktiviti tersebut diadakan...Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhkan diri daripada tempat-tempat maksiat atau menjadi tidak beriman jika mereka tidak mahu menjadi sasaran. " tambahnya lagi.

Jika serangan itu sahkan dilakukan oleh IS, berkemungkinan besar ia dilaksanakan oleh "mereka yang bersimpati berbanding dengan mereka yang tegar IS,” kata Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, seorang profesor pelawat bagi sains politik di Universiti Utara Malaysia.
Wanndy  sememangnya sangat diketahui oleh pihak berkuasa Malaysia. Tahun lepas, beliau dan rakannya yang juga seorang lagi anggota IS, Mohd Faris Anuar dilaporkan mengambil bahagian merekod dan muncul dalam sebuah video mengenai pembunuhan gaya IS yang dilakukan terhadap seorang lelaki Syria. Faris dilaporkan terbunuh semasa pertempuran di Anbar, Iraq.

Sekurang-kurangnya tiga individu yang bersimpati dengan IS di Malaysia telah didakwa kerana membiayai aktiviti jihad Wanndy dan lain-lain.

Polis Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 193 suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dengan 64 orang daripada mereka telah didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.

Kelab dibuka semula

Seorang pekerja kelab malam Movida memberitahu BeritaBenar bahawa beliau bernasib baik kerana selamat.
"Letupan itu berlaku sejurus selepas saya meninggalkan pelanggan dan menuju ke tempat juruwang," kata beliau yang meminta namanya tidak digunakan.
Beliau berkata kerosakan yang berlaku adalah kecil dengan beberapa "penghadang cermin dan papan iklan pecah berkecai." Kelab malam itu dijangka dibuka semula seperti biasa pada Rabu.

Tapak di mana bom tangan meletup di kelab malam Movida, 28 Jun 2016. [Haireez Azeem Azizi/BeritaBenar]

Pelanggan yang cedera, empat lelaki dan empat wanita termasuk seorang wanita warga China, telah dihantar ke dua buah hospital - hospital kerajaan di Serdang dan hospital swasta di Sunway untuk merawat kecederaan yang dialami akibat terkena  serpihan kaca, menurut pihak berkuasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.