Singapura: Bekas Pengarah Goldman Sachs Tulis Surat Palsu Untuk Suspek 1MDB

Hadi Azmi
2016.12.02
Kuala Lumpur
161202-MY-1mdb-1000.jpg Falcon Bank yang terletak di Menara Centennial telah diarahkan ditutup oleh pihak berkuasa Singapura atas dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 11 Oktober, 2016.
AFP

Seorang bekas eksekutif Goldman Sachs yang didakwa menulis surat palsu bagi salah seorang utama di dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dihalang daripada menjalankan sebarang urusan perkhidmatan kewangan di Singapura selama satu dekad.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) pada Jumaat mengumumkan bahawa ia merancang untuk mengeluarkan  perintah larangan terhadap bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner. Bekas pengarah itu meletak jawatan di syarikat berkenaan pada Februari lepas.

Notis perintah larangan  itu menyatakan bahawa Leissner telah mengeluarkan surat rujukan palsu yang menggunakan kertas tulis rasmi syarikat berkenaan dan dihantar kepada sebuah institusi kewangan di Luxembourg pada Jun 2015.

"Surat berkenaan menyatakan bahawa Goldman Sachs telah menjalankan usaha wajar terhadap Low Taek Jho dan keluarganya, dan tidak timbul sebarang kebimbangan berhubung pengubahan wang haram yang melibatkan Low atau keluarganya," kata kenyataan tersebut, sambil menambah keterangan palsu itu dibuat tanpa pengetahuan atau mendapat izin daripada syarikat Goldman Sachs.

Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali  lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Aduan rampasan sivil dikemukakan oleh Jabatan Keadilan itu yang tidak menamakan Najib tetapi mengaitkannya dengan skandal 1MDB. Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ini merupakan "konspirasi antarabangsa" untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi Amerika.

Usaha untuk merampas aset-aset itu adalah tindakan pertama oleh kerajaan AS berhubung dengan siasatan 1MDB bagi pengubahan wang haram yang melibatkan sekurang-kurangnya lima negara lain termasuk Singapura dan Switzerland.

Skandal itu membelenggui Najib sejak tahun lepas setelah Wall Street Journal (WSJ) melaporkan mengenainya pada Julai 2015 bahawa hampir $700 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya menjelang pilihan raya umum  Malaysia pada 2013.

Sehari selepas pengumuman AS, pihak berkuasa di Singapura mengumumkan bahawa mereka telah merampas aset berjumlah $ 240 juta  (AS $ 177 juta) - di mana $120 juta (AS $ 88.5 juta ) adalah daripada Jho, sekutu rapat Najib, dan juga keluarga Jho.

Najib dan 1MDB menafikan sebarang salah laku.

Kenyataan Goldman Sachs

Goldman Sachs mengeluarkan kenyataan yang memisahkan Leissner, kelahiran Jerman, daripada syarikat itu, menurut Bloomberg News.

"Pengumuman hari ini merujuk kepada perkara yang kami ditemui pada Januari tahun ini dan telah mengenal pasti bahawa beberapa pencabulan terhadap standard syarikat jelas telah berlaku," kata Goldman Sachs dalam satu kenyataan e-mel seperti dilaporkan oleh Bloomberg.

"Pada masa itu, syarikat telah mengambil langkah segera untuk memisahkan Leissner daripada firma ini serta melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa di beberapa bidang kuasa, termasuk Singapura. Kami akan terus bekerjasama dengan MAS. "

Sementara itu, seorang peguam yang mewakili Leissner berkata beliau berharap dapat menjelaskan dakwaan daripada MAS.

"Sebelum hari ini, Encik Leissner belum lagi diberitahu apa-apa tindakan kawal selia yang dicadangkan oleh MAS dan belum lagi dihubungi oleh MAS atau diberi peluang untuk bertindak balas terhadap MAS mengenai dakwaan yang dibangkitkan dalam notis itu," kata peguam Marc S. Harris  dalam satu kenyataan e-mel, menurut Bloomberg.

Bank didenda

MAS pada Jumaat juga telah mengumumkan mengenai penalti hukuman terhadap cawangan Standard Chartered Bank (SCB) dan Coutts & Co Ltd. kerana melanggar syarat pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Penalti terhadap SCB dan Coutts cawangan Singapura masing-masing berjumlah $5.2 juta (AS$3.66 juta) dan $2.4 juta (AS $ 1.69 juta), kata MAS dalam satu kenyataan.

Penalti itu dikenakan ketika dua buah bank Swiss kehilangan lesen untuk meneruskan operasi di Singapura – Bank Persendirian Falcon yang berpangkalan di Zurich pada Oktober dan Bank BSI pada Mei lepas kerana aktiviti pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.

Juga pada Oktober, Bank DBS dan Bank UBS telah didenda sebanyak $1 juta (AS $703,000) dan $ 1.3 juta (AS $ 844,000) kerana melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang Singapura, yang berkaitan dengan 1MDB.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.