Dua saudara lelaki defendan Malaysia tiba di Guantanamo untuk beri keterangan

Mereka akan memberi keterangan untuk Mohammed Farik bin Amin yang telah mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan konspirasi dalam insiden pengeboman Bali 2002.
John Bechtel
2024.01.23
Teluk Guantanamo, Cuba
Dua saudara lelaki defendan Malaysia tiba di Guantanamo untuk beri keterangan Menara kawalan fasiliti tahanan Kem VI kelihatan dalam foto ini yang telah disemak oleh pegawai tentera AS di Pangkalan Tentera Laut di Teluk Guantanamo, Cuba, 17 April 2019.
[Alex Brandon/AP]

Pada hari pertama prosiding jatuh hukum terhadap dua rakyat Malaysia di Guantanamo yang telah mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dalam insiden yang dikaitkan dengan pengeboman Bali 2002, peguam Mohammed Farik bin Amin memaklumkan pada Selasa bahawa dua saudara lelaki tertuduh akan memberi keterangan bagi pihaknya.

Kemudian pada 1.22 tengah hari, Faizal dan Fadil bin Amin memasuki kamar perbicaraan di Kem Keadilan iaitu mahkamah tentera di Pangkalan Tentera Laut AS di sini.

Kedua-dua beradik itu, yang memakai jaket musim sejuk meskipun suhu di luar bilik yang dipasang dengan pendingin hawa itu ialah 88 darjah Fahrenheit (31.1 darjah Celsius), berkata mereka seolah-olah tidak percaya sudah berada di Cuba untuk memberi keterangan bagi Mohammed Farik.

“Kami tidak pernah menyangka untuk berada di sini hari ini,” kata seorang daripada mereka kepada pegawai tentera AS.

Meskipun keseluruhan kamar mahkamah itu boleh dilihat dengan jelas oleh para wartawan yang membuat liputan kes tersebut di sebalik dinding kaca, skrin TV menyiarkan prosiding yang dirakam oleh kamera litar tertutup itu pada kelewatan 40 saat atas alasan keselamatan. Pegawai tentera juga melarang pengambilan gambar di kamar mahkamah.

Minggu lepas, Mohammed Farik dan seorang lagi rakyat Malaysia iaitu Mohammed Nazir bin Lep mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh, konspirasi dan tiga lagi yang dikaitkan dengan serangan pengganas terburuk di Indonesia dalam insiden pengeboman pada Oktober 2002 yang meragut nyawa 202 di Bali.

Hakim Wesley Braun, seorang pegawai Tentera Udara AS, telah mencadangkan agar mereka menjalani hukuman penjara antara 20 dan 25 tahun serta dihantar pulang ke tanah air atau dibebaskan di negara ketiga.

Pada Selasa, Braun mengendali prosiding yang menyaksikan pemilihan panel juri terdiri daripada lima pegawai tentera dan tiga ahli bergilir bagi menentukan nasib kedua-dua lelaki. Panel itu tidak semestinya bersetuju dengan cadangan Braun.

Selepas mereka ditahan di Thailand pada 2003, Mohammed Nazir dan Mohammed Amin telah dihantar ke tapak hitam CIA di lokasi yang tidak diketahui sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada 2006 di mana mereka telah ditahan selama lebih 17 tahun.

Kedua-dua lelaki telah dibawa ke Pangkalan Tentera Laut AS di sini pada tahun yang sama dengan Encep Nurjaman, seorang rakyat Indonesia, juga dikenali sebagai Hambali, yang turut dihantar ke tapak hitam itu selepas ditahan di Thailand pada 2003.

Dia disyaki menjadi dalang utama pengeboman Bali. Ketiga-tiga rakyat negara Asia Tenggara itu pada awalnya didakwa bersama-sama di Guantanamo namun kes Hambali telah diasingkan daripada kes kedua-dua rakyat Malaysia itu pada 2023.

Kehadiran mengejut

Pada 18 Jan, seorang timbalan pendakwa raya memaklumkan Braun bahawa adik-beradik Mohammed Farik gagal memperoleh visa untuk melakukan perjalanan ke AS dari Malaysia dan berkata usaha berterusan sedang dilakukan bagi mendapatkan dokumentasi yang lengkap dan teratur atau mengambil langkah lain untuk merakam pernyataan mereka.

Peguam utama Mohammed Farik iaitu Christine Funk melahirkan kekecewaan dan berkata pasukan pembelaan telah bertungkus-lumus selama berbulan-bulan untuk mendapatkan pelepasan bagi saksi terbabit.

“Bukan mudah untuk seseorang itu menaiki kapal terbang dan berlepas ke Guantanamo,” kata peguam itu. “Kami terus berharap dan berasa kecewa.”

Pada Selasa, kekecewaan bertukar menjadi kegembiraan apabila Mohammed Farik menyedari bahawa adik-beradik lelakinya ada bersama beliau – meskipun mereka dipisahkan oleh dinding kaca di kamar mahkamah itu.

Defendan dilihat mengukir senyuman ketika berpaling beberapa kali ke arah adik-beradiknya. Mohammed Nazir turut berpaling ke arah mereka dan tersenyum.

Sebelum pemilihan ahli panel itu, Funk memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan mengemukakan 25 muka surat keterangan termasuk pernyataan lima halaman Mohammed Farik, gambar dan beberapa pernyataan mengenai karektor beliau daripada mereka yang rapat dengannya.

Peguam utama Mohammed Nazir iaitu Brian Bouffard pula memaklumkan bahawa beliau hanya akan mengemukakan pernyataan anak guamnya.

Sementara itu, pihak pendakwaan berkata mereka bercadang untuk memanggil 11 saksi untuk mengemukakan pernyataan impak pada Rabu bersama berpuluh-puluh lagi kenyataan bertulis.

Mengikut kertas pertuduhan terhadap ketiga-tiga individu, pada akhir tahun 2001, “termasuk tempoh sebelumnya, semasa dan selepas 12 Okt 2002 insiden pengeboman Bali,” Mohammed Nazir dan Mohammed Farik telah membantu Nurjaman “memindahkan wang untuk operasi dan mendapatkan serta menyimpan barangan seperti dokumen pengenalan palsu, senjata dan arahan bagaimana untuk membuat bom.”

Dokumen pertuduhan itu menyatakan bahawa seorang pengebom bunuh diri telah berjalan masuk ke Paddy's Bar di Bali pada 12 Okt 2002 sebelum meletupkan jaket dipasang bom yang dipakainya manakala pengebom bunuh diri kedua memandu sebuah van yang sarat dengan bahan letupan ke lokasi berhampiran Kelab Sari sebelum meledakkanya.

Bom ketiga pula diledakkan dari jarak jauh berhampiran Konsulat AS. Tujuh rakyat AS terbunuh dalam serangan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.