Laporan GIF: Lebih RM195 Bilion Wang Haram Keluar Dari Malaysia

Hata Wahari
2017.05.02
Kuala Lumpur
170502-MY-GFI-1000.jpg Sekumpulan pegawai Jabatan Kastam Malaysia sedang memeriksa gading gajah yang diseludup menggunakan Pelabuhan Klang di luar Kuala Lumpur, 11 Disember 2012.
AFP

Sebuah organisasi penyelidikan kewangan yang berpusat di Washington, ibu negara Amerika Syarikat, menganggarkan wang haram yang mengalir keluar dari Malaysia adalah antara 6 hingga 10 peratus daripada jumlah perdagangan negara bagi 2014.

Menurut laporan Global Finance Intergrity (GFI), anggaran itu membabitkan antara AS$26.6 bilion (RM117.04 billion) dan AS$44.3 bilion (RM194.92 bilion) berdasarkan kepada jumlah perdagangan Malaysia sebanyak AS$443.2 bilion pada tahun tersebut.

“Untuk 2014 sahaja, jumlah pengaliran keluar wang haram ialah 6 peratus hingga 10 peratus daripada jumlah perdagangan iaitu sebanyak AS$443.2 bilion (RM1.95 trilion),” menurut laporan itu, yang dikeluarkan pada Isnin.

Laporan itu juga menyatakan aliran masuk wang haram ke Malaysia pula dianggarkan antara AS$31 bilion (RM136.4 bilion) hingga AS$57.6 bilion (RM253.44 bilion) daripada jumlah perdagangan pada 2014, yang melibatkan antara 7 hingga 13 peratus dari jumlah perdagangan bagi tahun itu.

GIF, yang merupakan badan bukan kerajaan, turut mengkaji aliran keluar masuk wang haram di 183 negara lain di seluruh dunia di antara 2005 hingga 2014.

Bagi tempoh itu, Malaysia mencatatkan pengaliran keluar wang haram antara 8 peratus hingga 12 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan kira-kira AS$3.6 trilion (RM15.84 trilion). Ia membabitkan antara AS$287 bilion (RM1.2 trilion) hingga AS$430.6 bilion (RM1.9 trilion).

Sementara itu, pengaliran masuk wang haram pula mencatatkan angka hampir sama iaitu antara 8 hingga 13 peratus bagi tempoh yang sama.

Presiden GFI Raymond Baker berkata, aliran masuk haram sering membabitkan pengelakan pembayaran cukai dan perkara berkenaan perlu diambil perhatian serius oleh setiap negara.

“Negara-negara membangun perlu mengambil perhatian serius terhadap perkara ini kerana anggaran yang dibuat ini pada dasarnya adalah lebih kecil berbanding jumlah sebenar wang haram yang dibawa keluar,’’ katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama-sama dengan laporan itu.

Selain itu, laporan berkenaan menyatakan bahawa pemalsuan invois perdagangan adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada perpindahan wang merentas sempadan secara haram, apabila dengan sengaja membuat penipuan dalam lapor nilai transaksi komersial pada invois yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam.

GFI, yang ditubuhkan pada 2006, juga menyatakan bahawa aliran keluar wang haram itu dilakukan melalui perdagangan yang sah bagi ‘menutup’ pemindahan dana di luar negara.

Memberi invois perdagangan yang tidak betul adalah antara kesalahan lazim yang selalunya dilakukan, kata GFI yang berpendapat ia menyebabkan pengaliran keluar wang haram antara AS$22.2 bilion dan AS$39.9 bilion di Malaysia sepanjang 2014.

GFI turut mengsyorkan kerajaan setiap negara supaya menubuhkan pusat pendaftaran pengesahan maklumat pemilikan bagi semua pemegang entiti yang sah, dengan pihak bank harus mengetahui pemilik sebenar akaun-akaun berkenaan.

"Pembuat dasar juga perlu meminta syarikat multinasional untuk mendedahkan kepada umum mengenai pendapatan, keuntungan, kerugian, jualan, cukai yang dibayar, anak-anak syarikat yang dimiliki dan status kakitangan di setiap negara,” kata GIF.

Untuk menyekat penyalahgunaan invois perdagangan, GFI mencadangkan supaya Jabatan Kastam setiap negara mengenakan tahap pengawasam tertinggi dalam urus niaga perdagangan yang melibatkan cukai.

Negara yang terlibat perlu meningkatkan keupayaan Jabatan Kastam masing-masing dengan menyediakan kelengkapan yang terkini serta latihan kepada pegawainya dalam mengesan salah guna invois perdagangan terutama melalui akses kepada maklumat waktu sebenar harga pasaran dunia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.