Malaysia Hantar Permohonan Rasmi Kepada Myanmar Bantu Misi Flotila

Hata Wahari
2017.01.04
Kuala Lumpur
170104-my-flotila-rohingya-620.jpg Warga Islam Rohingya dari Myanmar, yang cuba menyeberangi Sungai Naf yang bersempadanan antara Myanmar dan Bangladesh dalam usaha untuk melarikan diri daripada keganasan etnik di negara itu, berada di bawah pengawasan pihak berkuasa Bangladesh di Teknaf, Bangladesh, 25 Disember 2016.
AFP

Kerajaan Malaysia akan mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Kerajaan Myanmar dalam usaha untuk membantu  misi menghantar Flotila bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya di Myanmar oleh lebih 25 badan bukan kerajaan Malaysia dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar Malaysia Reezal Merican Naina Merican ketika dihubungi BeritaBenar memberitahu, Kementerian Luar akan menghantar permohonan rasmi misi berkenaan setelah menerima butiran lengkap dari pihak penganjur.

''Kementerian difahamkan Kerajaan Myanmar akan mempertimbangkan permohonan mana-mana negara dan pihak yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan sekiranya permohonan rasmi dibuat dalam tempoh masa tertentu,'' katanya semasa dihubungi di Kuala Lumpur, selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil misi Flotila tersebut pada Rabu.

Tambah beliau, misi Flotila itu diterajui oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) yang turut di sertai oleh NGO dari Turki, Indonesia, China dan Thailand, bersama lebih 150 orang sukarelawan yang akan menyertai pelayaran Flotilla tersebut

Sebelum ini, BeritaBenar melaporkan satu mesyuarat akan diadakan diantara wakil-wakil misi itu dengan pegawai-pegawai Kementerian Luar Malaysia untuk mendapatkan nasihat dan bantuan bagi menyelesaikan masalah dengan kerajaan Myanmar.

Setiausaha Agung MAPIM Zulhasni Zainol mengesahkan mesyuarat itu telah diadakan. Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butir-butir perbincangan.

Manakala itu, Presiden KP1M Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dihubungi juga enggan memberi maklum balas dan meminta supaya menunggu sidang akhbar yang akan diadakan pada Khamis.

Minggu lalu, Lt. Jen. Kyaw Swe, Menteri Hal-Ehwal Sempadan dilaporkan Radio Free Asia, sebuah entiti BeritaBenar, sebagai berkata, “Adalah mustahil untuk menerima bantuan itu, kerana perkara berkenaan tidak masuk akal. Misi sebegitu perlulah dilakukan secara diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan bukannya terus ke negeri Rakhine.

“Ini adalah satu penghinaan.  Kami tidak boleh menerimanya. Kami minta maaf,” tambah menteri itu lagi.

Jurucakap kerajaan Myanmar turut menegaskan bahawa flotila berkenaan akan dipaksa  berpatah balik sekiranya ia memasuki perairan negara itu.

Misi Flotila itu yang dijangka berlepas pada Jan 10 hampir 70 peratus siap untuk pelayaran terutamanya dari segi mengatur perjalanan dan rundingan mengenai cara menghantar barang-barang. Ia dijangka mengambil masa minima 12 hari tetapi boleh mencecah 19 hari bergantung kepada keadaan di laut.

Perdana Menteri Najib Razak yang mengetuai perhimpunan 4 Disember di ibu negara Kuala Lumpur, mengutuk penindasan terhadap umat Islam Rohingya sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa negara-negara Asia supaya meningkatkan tekanan terhadap Myanmar dalam usaha untuk menghentikan keganasan.

Langkah itu mendorong Menteri Hal Ehwal Luar Negara Myanmar  Kyaw Tin memanggil Duta Besar Malaysia Mohd Haniff Abd Rahman mengadap dan menyatakan rasa kesal atas kenyataan Najib.

Malaysia kemudian mempertahankan kedudukan Najib, dan menyatakan bahawa  jika tidak ditangani segera keganasan yang berterusan akan memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan tidak hanya menjadi satu "urusan dalaman."

Kedua-dua negara Islam di Asia Tenggara, Malaysia dan Indonesia, telah menggesa Aung San Suu Kyi, pemimpin de fakto Kerajaan Myanmar untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terlibat ketika pertemuan Menteri-menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 19 Disember lepas, yang membincangkan isu berkenaan.

Kerajaan Indonesia juga dilaporkan telah menghantar 10 kontena kapal dengan barangan makanan, makanan bayi dan pakaian untuk warga Rohingya yang terhimpit oleh  aktiviti keganasan yang berlaku di utara Rakhine.

Pada tahun 2012, misi yang sama dalam usaha menghantar ‘Flotila Makanan ke Myanmar’ telah gagal kerana tidak mempunyai kapal untuk menghantar bantuan  tersebut.

PBB dalam laporannya berkata, adalah dianggarkan lebih 27,000 warga Rohingya telah melarikan diri daripada wilayah Rakhine dan berlindung di negara jiran Bangladesh selepas pihak tentera Myanmar melancarkan beberapa serangan maut sejak 9 Okt lepas.

Myanmar pula dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 93 orang terbunuh, 17 anggota polis dan tentera dengan 76 lagi yang dipercayai ‘penyerang’ [termasuk enam yang dilaporkan mati semasa disoal siasat] terbunuh dalam kejadian serangan berkenaan.

Lebih 575 orang suspek telah ditahan kerana terlibat dalam serangan pada 9 Okt itu, selepas pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan keras.

Beberapa NGO yang memperjuangkan nasib etnik Rohingya, bagaimanapun mendakwa sekurang-kurangnya 400 orang warga itu, yang disifatkan oleh PBB sebagai antara kumpulan paling teraniaya di dunia,  telah terbunuh dalam operasi ketenteraan, sementara ramai kaum wanita dirogol dan kampung-kampung dibakar.

Konflik kemanusiaan yang berlaku di Maungdaw awal Oktober lepas telah menyebabkan puluhan ribu pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan anggaran pelarian baru yang sampai di Bangladesh adalah seramai 10,000 keluarga dan hampir 50,000 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.