Malaysia Keluarkan Senarai Dalang Kegiatan Penculikan di Perairan Sabah
2020.05.06
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu

Malaysia pada Rabu mengeluarkan senarai 21 warga asing yang dipercayai mendalangi kegiatan penculikan di pantai timur negeri Sabah selain turut mengumumkan tiada sebarang jenayah yang dilaporkan berlaku dalam tempoh wabak COVID-19 di sekitar perairan yang sering berlakunya kes penculikan.
Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Malaysia sebelum ini pernah mengeluarkan senarai nama yang sama pada Januari 2019, turut menyenarikan tiga nama baru suspek dalang bagi kumpulan penculikan di perairan Sabah yang terletak di bahagian timur kepulauan Borneo, yang bersempadanan dengan Filipina serta Kalimantan, Indonesia.
Komander ESSCOM Hazani Ghazali berkata tiga suspek baru itu ialah Mamay Aburi, Basaron Arok dan Alvin Yusof @ Arab Puti dengan kesemua 21 suspek terbabit dalam kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan turut aktif merancang kegiatan jenayah di Sabah sejak tahun lalu.
"Senarai terbaru ini dikeluarkan hasil siasatan terperinci dengan mendapat pengesahan daripada pihak keselamatan Filipina… Kesemua mereka adalah warganegara Filipina dan dipercayai sedang bersembunyi…., kami menunggu masa saja untuk melancarkan operasi," kata Hazani semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai tiga nama terbaru dalam senarai, Komander ESSCOM itu berkata, Mamay adalah ketua sebuah kumpulan di Zamboanga, Filipina yang terbabit dalam kejadian tembakan keatas pegawai kastam di Lahad Datu pada 20 Dec tahun lalu, manakala Basaron mengetuai sebuah kumpulan penculikan untuk wang tebusan bernama Ajang-Ajang.
Sementara itu, katanya, Arab Puti adalah ahli kumpulan penculikan untuk wang tebusan yang diketuai Apo Mike, yang terbabit dalam kejadian penculikan di Tambisan, Januari tahun ini.
Pada 16 Januari lalu enam lelaki bertopeng dan bersenjata menceroboh masuk keatas sebuah bot dinaiki lapan lelaki berdekatan dengan Pulau Tambisan yang kemudiannya menculik lima daripada mereka sebelum melarikan diri ke perairan Filipina, manakala tiga lagi dibiarkan di atas bot nelayan.
Hazani berkata, turut termasuk dalam senarai yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia itu, ialah pemimpin Abu Sayyaf, Salip Mura dan Hatip Hajan Sawadjan.
Selain itu, Idang Susukan, yang dipercayai mendalangi kejadian penggal kepala rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang diculik dari sebuah restoran makanan laut pada Mei 2015, turut berada dalam senarai antara yang dikehendaki itu.
Mereka yang berada dalam senarai pihak berkuasa keselamatan Malaysia adalah Apo Mike @ Majan Sahidjuan; Al Munjir Yadah; Raden Abuh; Marajam @ Manajan Asiri; Sangbas @ Anjang; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Ben Tatoh Quirino; Titing Alihasan @ Iyot Panday; Jul @ Jun Hasan; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Tampi @ Bunju; Long Sahirin; Halip Ibrahim dan Haibin Mubin @ Apo Kuhambo.
ESSCOM yang bertanggungjawab mengawasi keselamatan dari utara Kudat ke tenggara Tawau di Sabah turut meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kesemua suspek yang disenaraikan itu untuk menghubungi pusat operasinya dengan segera.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pertempuran antara tentera Filipina dan kumpulan pemberontak di selatan negara itu telah menyebabkan penjenayah menyeberang ke Sabah, di mana mereka telah merancang kegiatan jenayah, termasuk perlanunan dan penculikan, kata pihak berkuasa.
Sabah telah diletakkan di bawah perintah berkurung hingga subuh selama beberapa bulan lalu ketika pihak berkuasa mengambil langkah-langkah untuk mengekang pergerakan kumpulan bersenjata yang terlibat dalam kegiatan penculikan untuk tebusan.
Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Filipina dan Indonesia pada 2017 untuk melancarkan rondaan tiga hala di rantau ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penculikan dan tindakan keganasan lain.
Kes penculikan yang berlaku di Sabah dan mendapat liputan meluas adalah pada tahun 2000 di mana 21 orang yang kebanyakannya pelancong asing telah diculik dari pulau Sipadan, oleh kumpulan militan Abu Sayyaf.
Kebanyakan kumpulan Abu Sayyaf berasal daripada beberapa kepulauan di perairan Sulu yang bersempadan dengan Malaysia, Indonesia dan Filipina dan telah disenarai hitam oleh Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas asing.
Pada September tahun lalu, tiga nelayan Indonesia diculik dari kapal mereka di perairan pantai timur Sabah berhampiran sempadan dengan Filipina manakala pada bukan yang sama juga, pasukan keselamatan Malaysia menembak mati dua lelaki dipercayai anggota Abu Sayyaf perairan negeri itu.
Langkah baik ESSCOM
Sementara itu, Pensyarah kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Penganalisis Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ramli Dollah berkata, secara psikologi, senarai yang baru dikeluarkan ESSCOM adalah langkah yang tepat.
"Ini kerana ia memberi peringatan kepada tentera Filipina untuk terus memburu kumpulan-kumpulan ini dan pada masa yang sama menunjukkan bahawa ESSCOM sedang berusaha keras untuk menyelesaikan masalah jenayah penculikan ini.
"Ancaman di Sabah terutama di pantai timur Sabah bukanlah fenomena baru. Ia dapat dikesan sejak berzaman, bahkan sebelum kedatangan penjajah di wilayah itu dan berterusan hingga hari ini. Bukan hanya kerana sempadan, tetapi faktor lain terutama ketidakstabilan di selatan Filipina, elemen kewangan, kemiskinan dan lain-lain. Oleh itu, kita hanya dapat meminimumkan tetapi tidak mampu menghapuskan ancaman," katanya kepada BeritaBenar.
Menurutnya, sudah tentu mereka yang tersenarai adalah penjenayah paling dikehendaki oleh pihak berkuasa, di Malaysia dan Filipina kerana mempunyai kaitan dengan Abu Sayaff.
"Hajan Sawadjaan misalnya sangat berbahaya kerana kumpulannya telah terlibat dalam beberapa kejadian penculikan di Sabah dan juga di Sulu. Hatib Sawadjaan dan rakan memang sudah lama dikehendaki oleh pemerintah Filipina. Hakikatnya, beliau dan rakannya bersembunyi dan tidak aktif selepas tentera Filipina (AFP) menumpukan operasi menjejakinya anggota kumpulan beliua," kata beliau.
Menurut Ramli, langkah-langkah yang diambil mesti berjalan seiring di mana yang pertama melalui langkah-langkah unilateral, termasuk mengukuhkan ESSCOM selain langkah bukan ketenteraan dengan melibatkan masyarakat sempadan atau laut.
"Tetapi sekali lagi kekangan utama adalah kewangan. Sebagai contoh, dalam dua ke tiga tahun kebelakangan ini, ESSCOM tidak menganjurkan acara besar terutama aktiviti dengan komuniti yang menjadi acara utama sebelum ini. Dan saya percaya ini kerana faktor kewangan.
"Bagi ESSCOM, saya mengatakan pasukan itu perlu diperkukuhkan terutama bahagian risikan kerana ia adalah tulang belakang kejayaan ESSCOM. Kedua melalui dua hala atau pelbagai hala termasuk kerjasama dengan negara-negara jiran, iaitu Filipina dan Indonesia, terutama dalam bidang perkongsian perisikan," katanya.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.