Malaysia Terima Vaksin Pertama Berdos Tunggal dari China
2021.04.01
Kuala Lumpur

Malaysia dijangka menerima 3.5 juta vaksin COVID-19 berdos tunggal buatan syarikat CanSino dari China secara berperingkat bermula bulan ini, dengan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan pendalaman dan sukar dikesan, kata Menteri Kesihatan pada Khamis disamping berharap penambahan itu dapat menampung 10.9 peratus kepada populasi negara tersebut.
Adham Baba berkata pembekalan permulaan vaksin jenis Convidecia berdos tunggal adalah yang pertama bagi negara itu dengan penghantaran sebanyak 150,000 dos akan diterima pada bulan ini, manakala 350,000 lagi pada Mei, kedua-dua penghantaran tersebut melibatkan vaksin yang telah siap dibotolkan.
Bagi baki dos seterusnya, kata menteri itu, penghantaran akan dibuat secara pukal dengan pembotolan akan dibuat di dalam negara oleh sebuah syarikat tempatan.
"Vaksin The Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) yang dibangunkan CanSino berpangkalan di Tianjin China, merupakan satu-satunya vaksin yang kita perolehi setakat ini yang menggunakan dos tunggal.
"Melalui perjanjian yang dimeterai pada hari ini, kita dapat beri vaksinasi kepada 3.5 juta penerima mulai April hingga Ogos 2021. Perolehan ini boleh manfaatkan 10.9 peratus penduduk Malaysia dari vaksin 'single-dose' CanSino ini," kata Adham dalam sidang media di Putrajaya pada Khamis.
Menurut Adham, kerajaan juga bercadang untuk memberi tumpuan penggunaan vaksin CanSino kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman serta individu yang sukar dikesan.
Vaksin CanSino kata menteri itu masih perlu menepati semua perkara berkaitan pematuhan di bawah Agensi Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan Agensi Kawalan Dadah (DCA) sebelum ia boleh melaksanakan pembekalan kepada kerajaan.
"Syarikat pembekal vaksi perlu mematuhi peraturan NPRA dan DCA sebelum boleh membekalkan vaksin kepada kerajaan, di mana kerajaan sangat menitikberatkan tiga perkara iaitu keberkesanan, keselamatan dan juga kualiti vaksin itu,” tambah beliau.
Pada masa ini, hanya tiga jenis vaksin telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dari Jerman, AstraZeneca dari Sweden, dan Sinovac dari China.
Dua jenis vaksin iaitu Pfizer-BioNTech dan Sinovac yang memerlukan dua dos untuk melengkapkan imunisasi telah mula divaksinasikan kepada rakyatnya seperti mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaanya sejak 24 Februari lepas.
Program melawan pandemik koronavirus melibatkan tiga fasa itu melibatkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan sehingga April, dengan fasa kedua kepada kumpulan berisiko tinggi bermula April sehingga Ogos manakala fasa terakhir melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula Mei dan dijangka selesai pada Feb tahun hadapan.
Adham berkata sekiranya penggunaan vaksin CanSino berdos tunggal itu berjaya, Malaysia berkemungkinan akan menambah lagi pembelian dos dari semasa ke semasa.
Lebih 7.5 juta mendaftar terima vaksin
Setakat 1 April, program vaksinasi kerajaan telah menyaksikan sejumlah 698,203 dos telah diberikan kepada para penerima dalam fasa pertama, termasuk 482,808 dos pertama dan 215,395 dos kedua manakala 7,501,094 individu atau 30.92 peratus telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Khamis turut berkata rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin akan dibenarkan merentas negeri, dan juga boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.
Katanya kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat tempatan melakukan perjalanan ke negara tersebut, dengan sijil yang bertindak sebagai ‘pasport’ akan dikeluarkan sebagai bukti sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.
"Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini, tanpa halangan pihak berkuasa.
"Malah dengan sijil itu juga, mereka boleh melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta," kata Perdana Menteri itu semasa majlis perjumpaan khas bersama penjawat awam di Kuching, Sarawak.
Berdasarkan statistik terkini mengenai stok vaksin COVID-19, setakat Isnin lepas, Malaysia telah menerima sejumlah 245,275 bebuli vaksin mengandungi 971,650 dos dengan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi bagaimanapun tidak memperincikan bilangan dos yang telah diterima mengikut pengeluar.
Pada Rabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberitahu media bahawa sejumlah 600,000 dos vaksin keluaran syarikat AstraZeneca akan diterima pada bulan Jun ini.
Menurut beliau, bilangan dos berkenaan adalah yang dipesan secara terus daripada syarikat berkenaan, selain daripada yang telah dipesan melalui fasiliti COVAX.
"Saya telah menerima jadual penghantaran daripada AstraZeneca, ini yang secara terus bukan melalui COVAX. Ini adalah vaksin dari kilang pembuatan AstraZeneca di Thailand, iaitu dari mana kita akan mendapatkan vaksin ini.
Saya telah mendapat pengesahan bahawa penghantaran vaksin AstraZeneca secara terus dari syarikat AstraZeneca, iaitu yang dipesan secara terus, akan bermula pada bulan Jun ini di mana kita akan menerima 600,000 dos, dengan penghantaran seterusnya akan menyusul setiap bulan," kata Khairy pada satu sidang media.
Menteri itu yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 negara turut memberikan jaminan bahawa larangan eksport vaksin AstraZeneca oleh negara India tidak akan menjejaskan Malaysia kerana bekalan yang dipesan negara melalui fasiliti COVAX akan datang dari pengeluar di Korea.
Fasa kedua bermula
Sementara itu, Adham dilaporkan berkata pada Khamis bahawa fasa kedua program vaksinasi kerajaan akan bermula 17 April ini, dua hari lebih awal berbanding yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 19 April.
Fasa kedua program itu mensasarkan sebanyak 9.4 juta penerima melibatkan golongan berisiko tinggi, warga emas, orang kurang upaya serta mereka yang mempunyai komorbiditi.
Malaysia merekodkan 1,178 kes baharu COVID-19 pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 346,678 dengan kes kematian keseluruhan yang direkodkan adalah 1,278 kes.