Peningkatan Pekerja Asing Positif COVID-19 Punca Kes Harian Melonjak

Noah Lee
2020.05.29
Kuala Lumpur, Malaysia
200529-MY-NoorHisham1000.jpg Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah semasa bercakap kepada wartawan pada sidang media di Putrajaya, 13 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Jangkitan COVID-19 di kalangan pekerja asing sekali lagi meningkatkan statistik penularan harian virus berkenaan di Malaysia, dengan 84 daripada 103 kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat datangnya dari kumpulan tersebut, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah berkata kebanyakan daripada kes baru berkenaan didapati datang dari ‘Kluster Pedas’ yang melibatkan 53 pekerja sebuah syarikat penyembelihan ayam di Negeri Sembilan, dan satu kluster baru membabitkan 24 pekerja sebuah syarikat pembersihan.

"Ingin dimaklumkan daripada 103 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

"Oleh itu, kes penularan tempatan di kalangan warnanegara Malaysia adalah 12 kes sahaja," kata Noor Hisham semasa sidang media harian mengenai COVID-19 di Putrajaya, petang Jumaat yang merujuk kepada jangkitan dalam negara.

KKM turut merekodkan tujuh jangkitan kes import yang melibatkan rakyat Malaysia yang disahkan positif selepas kembali dari luar negara.

‘Kluster Pedas’, pertama kali dikesan adalah pada 2 Mei lalu selepas seorang pekerja kilang pemprosesan ayam itu menjalani ujian COVID-19 selepas mengadu tidak sihat.

Dengan pertambahan 53 kes baru pada Selasa, ia menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah didapati positif dari kluster tersebut meningkat kepada 217 orang termasuk 205 adalah bukan warganegara.

Menyentuh mengenai kluster baru, Noor Hisham berkata 24 pekerja syarikat pembersihan yang positif adalah warganegara Bangladesh dan kesemua mereka dikesan melalui inisiatif majikan yang menghantar mereka untuk saringan COVID-19 bagi memenuhi syarat sebelum dibenarkan bekerja.

Mereka adalah di antara 150 pekerja bukan warganegara Malaysia yang telah dihantar syarikat itu bagi menjalani ujian pengesanan koronavirus di sebuah klinik swasta manakala baki 126 disahkan negatif.

Noor Hisham memberitahu yang KKM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca jangkitan untuk kluster syarikat pembersihan yang beroperasi di kawasan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.

Namun, tambah beliau, faktor tempat tinggal pekerja asing yang sempit dan sesak dipercayai turut menjadi sebab virus itu merebak di kalangan kumpulan berkenaan yang mana 20 daripada mereka menetap di sebuah asrama di Kuala Langat sementara empat lagi di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan.

"Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain.

Setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenalpasti dan akan disaring," kata Noor Hisham.

Beliau berkata, isu tempat tinggal untuk pekerja asing adalah sesuatu yang amat penting untuk diselesaikan dengan segera bagi menghalang penularan virus di kalangan kumpulan tersebut.

"Sekiranya kita dapat menyelesaikan isu tempat tinggal pekerja asing ini, saya percaya kita akan dapat menyelesaikan masalah jangkitan virus bukan sahaja COVID-19 tetapi juga penyakit-penyakit berjangkit lain seperti Tibi (tuberculosis)," kata Noor Hisham.

Majikan hantar pekerja

Dalam masa yang sama, ketua pengarah kesihatan itu turut memuji tindakan majikan yang menghantar pekerja-pekerja mereka untuk menjalani ujian COVID-19, dan menyifatkan tindakan itu sebagai membantu KKM dalam mengesan lebih banyak kes positif dan seterusnya dapat membuat pengasingan untuk rawatan serta mengurangkan risiko penularan.

Menurut Noor Hisham, kesemua 24 pekerja yang didapati positif itu langsung tidak menunjukkan sebarang simptom, dan mereka berisiko menjangkiti orang lain sekiranya tidak dikesan.

Sehingga kini Malaysia telah melakukan saringan terhadap 31,603 bukan warganegara di mana 1,863 daripada mereka dijangkiti COVID-19 dan daripada jumlah itu, 715 masih lagi dirawat di hospital manakala selebihnya sudah pulih sepenuhnya.

Noor Hisham juga berkata masih terlalu awal bagi pihak berkuasa kesihatan itu membuat sebarang keputusan berkenaan penarikan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat secara total.

Tegasnya, jumlah kes yang dikesan sejak PKPB diperkenalkan pada 4 Mei lalu kebanyakannya membabitkan warga asing manakala hanya sebilangan kecil berlaku penularan di kalangan rakyat tempatan.

Setakat jam 12 tengah hari Jumaat, jumlah kes keseluruhan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,732 dan lebih 80 peratus dari pesakit telahpun pulih sepenuhnya dengan jumlah kematian akibat virus berkenaan pula kekal sebanyak 115 kes. Tiada kes kematian dilaporkan sepanjang minggu ini.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.