Pendidikan Awal Dan Hubungan Masyarakat Cegah IS

S. Adie Zul
2015.10.28
151028-MY-CHANDRA620 Kepulan asap pada jarak jauh berlatarbelakang bendera kumpulan militan Ngara Islam (IS) di daerah Daquq, berhampiran bandar Kirkuk, Iraq. 11 September 2015.
AFP

Pendidikan awal adalah intipati utama untuk mewujudkan pemahaman yang jelas tentang apa itu Islam supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan dakyah gerakan militan, kata Pensyarah Kajian Global Universiti Sains Malaysia Prof Dr Chandra Muzaffar kepada BeritaBenar pada Rabu.

Chandra berkata demikian semasa diminta mengulas saranan Pengarah Kajian Inisiatif Keganasan, Prof Emeritus Alex Peter Schmid yang berkata, pendidikan dan hubungan rapat dengan masyarakat adalah dua elemen yang penting untuk mengekang pengaruh IS.

Perkara itu ditekankan oleh Schmid ketika berkongsi pandangannya pada bengkel 'Counter and Alternative Narratives for a Comprehensive Strategy to Effectively Combat ISIS Propaganda' anjuran Global Movement of Moderates Foundation di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut beliau, usaha memerangi ideologi militan IS perlu bermula di peringkat generasi muda dan pada masa sama, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang risiko penyebaran ideologi IS juga penting.

Schmid, yang mempunyai 33 tahun pengalaman dalam kajian keganasan berkata, walaupun kerajaan bertanggungjawab untuk mewujudkan jaringan rapat dengan orang ramai, semua masyarakat dari segenap lapisan juga perlu memainkan peranan.

"Melalui pendidikan, golongan muda akan dapat melihat bahawa ideologi militan IS hanyalah janji kosong manakala masyarakat perlu memainkan peranan untuk memastikan mereka tidak terpengaruh dengan ideologi IS," kata pakar itu.

Chandra yang pada prinsipnya bersetuju dengan saranan Schmid berkata, “pemahaman interpretasi yang lebih mencerminkan intipati Al-Quran perlu diberi penekanan supaya tidak terperangkap dalam tafsiran cetek dan dangkal yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu atas kepentingan politik sempit mereka,"

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan hubungan rapat dengan komuniti supaya kumpulan berisiko dapat dikenalpasti, dan maklumat mengenai keganasan dapat dikongsi dan disalurkan dengan agensi-agensi risikan.

Katanya, kerajaan juga perlu bertindak tegas untuk mengenalpasti dan membanteras aliran dana yang membiayai gerakan militan, disamping meminta pakar yang mengkaji isu keganasan memberi perhatian yang serius terhadap punca masalah sehingga ke akar umbi sambil mencari penyelesaian bagi masalah yang timbul daripada gerakan militan global.

"Dalam mencari penyelesaian, kita juga perlu memahami ... pencerobohan negara lain oleh Barat adalah antara satu dari sebabnya mengapa ia berlaku,” tambah beliau.

Chandra berkata, media perlu memberi gambaran yang jelas tentang faktor geo-politik dunia dan bukannya mencuba menggunakan isu militan Islam untuk mengalihkan perhatian masyarakat dunia.

"Akhirnya perbuatan segelintir masyarakat Islam sendiri yang mencemarkan imej Islam, sehingga agama ini dilabel sebagai agama yang menggalakkan keganasan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Schmid turut mengakui IS sememangnya menggunakan media sosial untuk mempengaruhi dan merekrut ahli-ahli baru khususnya generasi muda.

Sambil berkongsi pengalaman beliau mengenai perkara berkaitan keganasan, beliau berkata cara lain untuk memerangi ideologi IS ialah mengamalkan pendekatan naratif sanggahan terutamanya dalam media sosial.

Katanya ancaman IS di Malaysia masih terkawal dan hanya segelintir kecil golongan belia yang menyertai militan IS berbanding negara-negara lain.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.