Sarawak Merancang Buru, Bunuh Buaya

Dennis Wong
2016.11.08
Kuching, Sarawak
161108-MY-crocs-620.jpg Buaya air masin yang terdapat di hutan bakau di sepanjang Sungai Salak di Sarawak, 28 Mac, 2015.
[AFP/BIOSPHOTO]

Mulai tahun hadapan rakyat Sarawak akan dibenarkan untuk memburu buaya dalam usaha kerajaan negeri mengawal populasi reptilia yang semakin berleluasa melancarkan serangan maut terhadap rakyat negeri itu, kata pegawai perhutanan.

Pihak berkuasa negeri akan membenarkan pemburuan dan pemusnahan buaya di sepuluh batang sungai di Sarawak, berikutan keputusan oleh sebuah badan pemuliharaan hidupan liar antarabangsa untuk membolehkan kawalan buaya air masin (Crocodylus porosus), yang populasinya telah berkembang kepada 12,000 ekor di 45 buah batang sungai di Sarawak.

Pemburuan dan pemusnahan buaya juga dibenarkan jika reptilia itu dilihat sebagai pengancam utama terhadap keselamatan rakyat, mengikut undang-undang negeri itu. Antara tahun 2000 dan 2009, seramai 19 orang maut dalam 43 serangan buaya.

Dasar baru itu terhasil daripada perubahan terhadap status pemuliharaan populasi spesies tersebut di Sarawak,  yang kini jatuh di bawah protokol yang dikenali sebagai Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna (CITES).

Pada mesyuarat  peringkat negeri yang berlangsung di Johannesburg, Afrika Selatan dua bulan lalu, pihak-pihak yang menyertai persidangan itu – badan tertinggi yang membuat keputusan protokol -  telah memutuskan untuk mengurangkan bilangan serta membenarkan pemburuan buaya air masin di Sarawak. Tetapi memburu spesies itu dilarang di tempat lain di Malaysia.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sarawak Sapuan Ahmad memberitahu BeritaBenar, mulai 2017,  memburu, membunuh, dan memperdagangkan serta mengeksport buaya akan dibenarkan di sepuluh batang sungai di negeri itu – Sungai Sadong, Tuang, Batang Kerian, Seblak, Linga, Sebuyau, Batang Lupar, Batang Saribas, Batang Baram dan Bakong.

"Kami jangka dapat menyelesaikan masalah ini, tahun depan," kata Sapuan, sambil menambah bahawa jabatan itu sedang memuktamadkan butiran mengenainya serta permit untuk memburu, membunuh dan memperdagangkan buaya yang terdapat di negeri itu.

Di Sarawak, Crocodylus porosus dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998. Usaha-usaha pemuliharaan sejak tiga dekad yang lalu dianggap sebagai punca peningkatan jumlah buaya-buaya.

Buaya betina boleh menghasilkan 800 biji telur, Sapuan berkata, sambil menambah bahawa spesies itu boleh hidup lama, kadang-kadang sehingga berusia 100 tahun.

"Tinjauan yang dijalankan selama dua tahun sejak 2012 menunjukkan bahawa sungai di negeri itu mempunyai antara lapan dan 14 ekor buaya untuk setiap kilometer, dengan Batang Lupar mempunyai jumlah yang besar," kata Sapuan.

Pantang, kepercayaan tempatan

Ruhana Hassan, Pengarah Jabatan Sains Akuatik, Universiti Malaysia Sarawak, berkata langkah untuk memburu buaya adalah satu tindakan positif, tetapi pihak berkuasa perlu mengambil kira adat tempatan yang menganggap "membunuh buaya adalah pantang bagi rakyat tempatan. "

"Banyak... apabila ia mengenai buaya ... akan menjauhkan diri dari membunuh buaya, dan mereka percaya bahawa kehidupan mereka akan berada dalam bahaya apabila mereka memasuki sungai tersebut," Ruhana memberitahu BeritaBenar.

"Ini mungkin tidak logik tetapi, ramai yang masih berpegang kepada kepercayaan itu, dan sebab itulah kebanyakan masyarakat yang tinggal di sepanjang sungai di Sarawak tidak pernah berfikir untuk membunuh atau memakan daging buaya," tambah Ruhana.

WWF: Pelan memburu diperlukan

Dalam pada itu, Tabung Hidupan Liar Sedunia cawangan Malaysia menggesa pegawai di Sarawak untuk mengemukakan pelan untuk mengawal pemerdagangan kulit buaya dan bahagiannya untuk memastikan bahawa hasil buruan tidak menjejas survival spesies dan ekosistemnya.

Sistem tagging universal yang ditetapkan oleh CITES dalam mengenal pasti kulit buaya mesti diperincikan dan dipatuhi. Sebelum apa-apa pemerdagangan dibenarkan, kuota yang harus ditetapkan dan dibuat secara terbuka, dalam membolehkan ketelusan dan akauntabiliti, "kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Dionysius Sharma dalam satu kenyataan.

Penyelidik Buaya Mohd Izwanzulaini Abd Ghani berharap perkara itu dapat ditangani sebelum pemburuan dibenarkan.

"Sesungguhnya kita boleh membunuh buaya liar, tetapi di mana kita akan pergi untuk menjual mereka? Adakah penduduk tempatan akan melanggar pantang larang dan memburu buaya ini? " tanya beliau.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.