Ketua Junta Thailand Minta Pemberontak Kemuka Permintaan Baru Kepada Malaysia
2017.04.11
Bangkok & Pattani

Ketua junta Tentera Thailand Prayuth Chan-o-cha pada Selasa meminta kumpulan pemberontak Islam paling berkuasa, yang berjuang bagi mendapatkan negeri berasingan di Selatan Thailand, supaya mengemukakan permintaannya untuk menyusun semula mekanisme bagi membentuk keamanan kepada Malaysia, yang merupakan fasilitator bagi proses damai itu.
Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah mencadangkan pada Isnin bahawa ia mahukan peranan langsung dalam rundingan baru itu, yang telah diadakan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, sejak 2015 sebagai usaha untuk menamatkan pemberontakan berpuluh tahun itu.
Ia juga menyarankan supaya pihak ketiga yang neutral menjadi pengantara dan mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa dalam perbincangan itu.
"Sesiapa yang mahu bercakap tentang keamanan dengan kami, kerana kami mempunyai Malaysia sebagai fasilitator, [ia] mestilah mengusulkan perkara itu menerusi fasilitator itu," kata Prayuth, Perdana Menteri Thailand, semasa menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan BRN yang nampaknya menolak usaha damai semasa dengan MARA Patani, iaitu panel induk pemberontak yang merangkumi BRN.
Beliau juga menyatakan dengan jelas bahawa pihak junta tidak akan mengadakan sebarang perbincangan langsung dengan pemberontak di Thailand dan menolak penyertaan pihak ketiga dalam perbincangan itu.
"Mengenai penyertaan pihak ketiga dalam perbincangan damai ini, mengapa kita perlukan mereka?," soal Prayuth.
"Kita boleh menyelesaikan masalah kita sendiri. Mengapa kita perlukan orang lain? Bagaimana mereka boleh faham isu-isu itu?"
Sambil menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menyelesaikan konflik itu, beliau berkata, ia "mahu situasi itu berakhir dengan secepat mungkin" dan ia akan "menyelesaikan masalah-masalah itu di mana sahaja ia berada."
Sesetengah penganalisis mentafsirkan kenyataan BRN sebagai isyarat bahawa ia mahu untuk berunding secara langsung dengan junta Thai, menolak peranan utama MARA Patani dan mempersoalkan ketidakberpihakan Malaysia sebagai orang tengah dalam proses damai itu.
Rangka kerja
Pada Februari lalu, MARA Patani dan kerajaan Thailand telah bersetuju dengan rangka kerja bagi mewujudkan zon keselamatan - atau gencatan senjata terhad - di satu daripada daerah yang mengalami pemberontakan, di mana hampir 7,000 orang terbunuh sejak 2004 di wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam itu.
Penganalisis berkata, MARA Patani, yang terdiri daripada pemberontak dalam buangan di Malaysia, hanya mempunyai sedikit kuasa di lapangan.
"BRN mahu kerajaan untuk menanganinya, bukan MARA Patani, dan mereka mahu beberapa pelan tindakan yang jelas bagi mengadakan perbincangan dan memperoleh hasil," kata Zachary Abuza, seorang pakar mengenai pemberontakan di Asia Tenggara, yang berpejabat di Amerika Syarikat.
Abu Hafez Al-Hakim, jurucakap MARA Patani, memberitahu BRN pada Selasa supaya menyedari tentang tindakannya itu kerana ia telah pun mengambil bahagian dalam proses damai itu melalui wakilnya dalam panel pemberontak yang mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Thailand.
Kumpulan induk
"Sudah ada wakil BRN di meja perbincangan sekarang dan mereka hanya perlu menyelaraskannya sesama mereka, yang merupakan cara yang terbaik untuk bekerjasama dan memperbetulkan sebarang kekurangan dengan rakan-rakan mereka yang lain daripada PULO, BIPP dan GMIP," katanya kepada BeritaBenar.
MARA Patani menyenaraikan ahli-ahlinya terdiri daripada BRN, Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP), dua puak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP).
Abu Hafez, yang berkata bahawa beliau bercakap bagi kapasiti peribadinya, menyifatkan kenyataan BRN sebagai perkembangan positif memandangkan ia tidak langsung menolak perbincangan damai sebagai kunci bagi menamatkan pemberontakan.
"Tiada perjanjian yang akan dicapai di antara kerajaan Thailand dan Mara dalam masa terdekat ini. Banyak lagi isu yang perlu dibincangkan di peringkat ini, "katanya.
"Perjanjian sedemikian pada masa akan datang pasti akan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan Thailand, wakil-wakil kumpulan pemberontak dan masyarakat setempat. Hanya dengan cara ini barulah ada perkembangan dan keamanan dapat dipulihkan kembali."
Kenyataan BRN pada Isnin dibuat tiga hari selepas 23 "perbuatan sabotaj" - gabungan letupan bom dan serangan khianat - menggegarkan Selatan Thailand, memusnahkan tiang elektrik dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di wilayah itu. Polis menyalahkan pemberontak di atas perbuatan itu dan sejak kejadian, telah menahan empat suspek.
Razlan Rashid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.