Stadium 1-Mobile Buriram Dipilih Pertemuan Malaysia, Korea Utara

Hata Wahari & Fadzil Aziz
2017.11.02
Kuala Lumpur
171102-my-bola620.jpg Pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas memenangi perlawanan separuh akhir bola sepak menentang Indonesia di Sukan SEA ke-29 di Stadium Shah Alam, di luar Kuala Lumpur, 26 Ogos 2017.
AFP

Konfederasi Bolesepak Asia [AFC] mengesahkan pertemuan perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara akan berlangsung di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini.

AFC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis berkata Korea Utara akan menjadi “tuan rumah”pada perlawanan 10 Nov dan “pasukan pelawat” dalam aksi kedua tiga hari selepas itu dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium I-Mobile, di Buriram itu.

“Persatuan Bolasepak Thailand telah mengesahkan kesediaannya untuk menjadi tuan rumah berkecuali kepada Malaysia dan Korea Utara, yang akan berentap untuk beraksi pada kejohanan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu,” kata AFC.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Hamidin Mohd Amin memberitahu pasukan Malaysia dijadual berlepas ke Buriram melalui Bangkok pada Selasa, 7 November.

"FAM berharap perlawanan akan diadakan sebelah malam bagi membolehkan pertemuan itu diadakan dengan selesa serta  mengelakkan para pemain berhadapan dengan cuaca panas sekiranya diadakan pada siang hari," katanya pada BeritaBenar ketika dihubungi pada Khamis.

Konfederasi Bolesepak Asia (AFC) pada 24 Oktober lalu telah memutuskan bahawa Thailand akan menjadi tuan rumah perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara, selepas perlawanan itu ditunda tiga kali susulan pertikaian diplomatik dan kebimbangan keselamatan.

Pusingan pertama perlawanan yang pada asalnya dijadualkan pada 28 Mac di Pyongyang, telah ditunda beberapa kali kerana pertikaian politik antara Malaysia dan Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, di kawasan lapangan terbang Kuala Lumpur Feb lepas.

Aksi di Pyongyang ditunda buat kali ketiga pada akhir September selepas Malaysia melarang rakyatnya melakukan perjalanan ke ibu negara Korea Utara itu atas alasan kebimbangan keselamatan di Semenanjung Korea.

Dalam pada itu, Hamidin memberitahu, FAM telah memilih 24 permain dan akan memulakan latihan pusat pada Sabtu ini [4 November] bagi persediaan menghadapi perlawanan dengan Korea Utara itu.

Beliau memberitahu, Ketua Jurulatih Kebangsaan, Nila Vegada yang juga merupakan Pengurus Pasukan Kebangsaan telah memilih 10 pemain dari Perak, Pahang, Selangor, Felda United dan Pulau Pinang yang akan melapor diri pada Sabtu.

"Sementara baki lagi 14 pemain dari JDT dan Kedah akan melapor diri pada Isnin, 6 November kerana terlibat dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam juga pada Sabtu ini.," katanya.

Kumpulan B saingan kelayakan ketika ini menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata, Hong Kong di tangga kedua dengan 5 mata, Korea Utara ketiga dengan 2 mata dan Malaysia keempat dengan 1 mata. Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi empat perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia kurang satu perlawanan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.