Nurseri dan Lanskap Gerobok Rezeki bantu Asnaf tambah pendapatan

Ronnie Bergman
2022.07.08
Pulau Pinang
Nurseri dan Lanskap Gerobok Rezeki bantu Asnaf tambah pendapatan Sekumpulan individu membina struktur yang akan digunakan sebagai tempat semaian benih sayuran dan pokok hiasan di Pulau Pinang, 2 Julai, 2022.
[Ronnie Bergman/BenarNews]

Erti pengorbanan bagi sepasang suami isteri dari Pulau Pinang bagi tahun ini adalah dengan menyediakan kawasan seluas 16,000 kaki persegi kepada 200 keluarga berpendapatan rendah untuk bercucuk tanam dengan hasilnya akan dibeli semula oleh mereka.

Projek yang dinamakan Nurseri dan Lanskap Gerobok Rezeki yang akan beroperasi seawal Ogos, terletak berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Saujana Indah di Nibong Tebal, dalam daerah Seberang Perai Selatan diusahakan oleh pasangan suami isteri Kamaruddin Shah, dan isterinya Nurulakmal Mohd Shariff.

Kedua mereka berkorban wang ringgit untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah melalui projek perkongsian rezeki dengan menyediakan tapak semaian sayuran di kawasan tersebut.

"Konsepnya mudah. Dalam projek ini kita akan memberi golongan asnaf (B40) bantuan berupa biji benih, polybag dan juga kelengkapan asas untuk menyemai sayuran-sayuran ataupun pokok hiasan.

"Di kawasan yang berkeluasan lebih kurang 16,000 kaki persegi ini, golongan B40 ini akan menyemai anak-anak pokok tersebut dan apabila anak pokok itu sudah membesar, saya akan beli semula anak-anak pokok tersebut,

"Setidaknya mereka akan dapat menjana pendapatan sampingan untuk menambah pendapatan mereka terutamanya kepada suri rumah sepenuh masa. Mereka cuma perlu luangkan sedikit masa dan tenaga," kata beliau kepada BenarNews baru-baru ini.

Tanah milik masjid yang disewa pasangan suami isteri itu akan digunakan sepenuhnya bagi menjayakan projek tersebut.

Beliau berkata kos pembinaan projek nurseri bernilai lebih kurang RM20,000(AS$4,517) setakat ini dan dijangka akan naik kerana kos bahan mentah yang semakin mahal.

“Sememangnya ini niat saya sejak melakukan projek kebajikan dari muda. Dulu belum ada modal. Sekarang sudah ada sedikit, saya dan isteri sama-sama laburkan untuk projek ini,” kata Kamaruddin.

Kata beliau lagi, kesemua kos ini ditanggung 100 peratus oleh beliau melalui pinjaman bank dan juga simpanan persendirian.

"Objektif tapak semaian ini ialah untuk memberi peluang kepada golongan asnaf dalam jangka masa panjang dan untuk menggalakkan golongan ini berusaha untuk mendapatkan rezeki dan tidak setakat mengharapkan hanya sumbangan semata-mata.

"Saya lebih suka memberi pancing dan mata kail untuk seseorang mencari ikan, dengan mengharapkan pancing dan mata kail ini akan mereka guna buat satu masa yang panjang dan seterusnya mereka dapat meningkatkan kualiti hidup keluarga mereka," tambah beliau.

Katanya lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ini adalah satu usaha yang beliau rasa dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Inilah korban Hari Raya Aidiladha buat kami sekeluarga tahun ini,” kata Kamaruddin.

220708-my-As1.jpg

Gerobok rezeki yang dipenuhi dengan barangan asas bagi mereka yang memerlukan hasil usaha oleh Kamaruddin Shah bersama keluarga di Nibong Tebal, Pulau Pinang, 2 Julai, 2022. [Ronnie Bergmann/BenarNews]

Gerobok Rezeki

Usaha Kamaruddin dan isterinya turut mendapat galakan moral daripada keluarga beliau, tapi isteri Nuruakmal juga membantu dari segi fizikal dan pengurusan pembahagian bantuan kepada golongan asnaf.

"Kami juga mendirikan sebuah kotak yang dipenuhi makanan yang kami panggil Gerobok Rezeki, dan sesiapa sahaja boleh mengambil barang keperluan dari Gerobok Rezeki itu.

"Kami akan sentiasa penuhkan gerobok rezeki itu dengan bahan makanan asas seperti gula,beras,tepung dan minyak masak.

"Sesiapa saja yang mengalami masalah boleh sahaja datang ke rumah kami dan mengambil apa yang diperlukan tanpa perlu menulis atau menandatangani apa-apa," katanya.

Nurulakmal berkata Gerobok Rezeki itu dimulakan oleh suaminya apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada awal tahun 2020.

Dana bagi projek ini sebahagian besar adalah dari simpanan keluarga dan selebihnya dari derma individu, pemimpin setempat dan badan-badan bukan kerajaan.

Dia berkata, dia dan empat orang anaknya berusia dari 4 hingga 15 tahun juga sentiasa menolong suaminya dalam kerja-kerja amal.

Keluarga Kamaruddin juga bukan saja aktif menolong golongan asnaf di kawasan Nibong Tebal dan Parit Buntar tetapi juga aktif masuk ke pedalaman perkampungan orang asli di Perak Tengah dan juga Kelantan dalam memberi bantuan kemanusiaan seperti membina surau ,jambatan, dan juga mengagihkan barang keperluan asas pada perkampungan orang-orang asli.

"Bagi saya jika ada yang ingin membantu saya akan terima sahaja, tetapi saya tidak boleh mengharapkan bantuan dari orang lain untuk selama-lamanya.

"Tambahan pula jika dana disalurkan oleh orang-politik, saya khuatir ianya hanya akan menjadi platform mereka untuk mempromosikan diri mereka.

"Sebab itu saya lebih suka menggunakan wang yang saya dapat hasil dari titik peluh saya dan juga kawan-kawan saya yang ikhlas membantu tanpa apa-apa balasan," tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.