Penderitaan Etnik Islam Rohingya Dahului Perbincangan Mesyuarat ASEAN

Felipe Villamor
2017.11.14
Manila, Filipina
171114-rohingya-620.jpg Beratus-ratus umat Islam Rohingya dari Myanmar berjalan menuju ke kem pelarian Kutupalong selepas tiba di Cox's Bazar, Bangladesh, 11 Nov 2017.
[Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

Myanmar menghadapi tekanan antarabangsa pada Selasa yang mendesak ia memudahkan kepulangan segera beratus-ratus ribu Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh, ketika ketua PBB dan para pemimpin lain dunia yang bertemu di Manila menggesa Naypyidaw supaya mengawal tenteranya.

Antonio Guterres, setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bertemu dengan pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi, di luar sidang kemuncak ASEAN di ibu negara Filipina bagi "membincangkan keadaan di negeri Rakhine," yang telah menyebabkan lebih daripada 600,000 orang Rohingya Muslim mencari perlindungan di negara jiran, Bangladesh, selepas keganasan tercetus sejak akhir Ogos.

"Setiausaha Agung menekankan tentang pentingnya usaha-usaha diperkukuhkan bagi memastikan akses kemanusiaan, kepulangan yang selamat, bermaruah, secara sukarela dan berterusan, selain perdamaian yang tulus dijalinkan sesama komuniti," kata PBB dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Beliau juga menekankan tentang pentingnya melaksanakan syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Penasihat Rakhine."

Suruhanjaya Penasihat Rakhine, yang dilantik oleh kerajaan Myanmar dan diketuai oleh bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, mengeluarkan laporan akhir pada 24 Ogos lalu di mana ia menyenaraikan cadangan untuk menyelesaikan ketegangan yang berlaku di Rakhine. Antara langkah lain, suruhanjaya itu menuntut supaya dikaji semula Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar dan menamatkan sekatan-sekatan lain terhadap Rohingya Muslim, minoriti tanpa negara yang menduduki negeri itu.

Dalam ucapan sebelum pertemuan beliau dengan Persatuan Negara-negara  Asia Tenggara (ASEAN) pada malam Isnin, Guterres berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan "rasa bimbang yang mendalam berhubung pergerakan dramatik" ratusan ribu pelarian Rohingya, sering melakukan perbuatan yang berbahaya semasa menyeberang masuk ke Bangladesh.

"Kebimbangan semakin meningkat terhadap tragedi yang berpanjangan ini dan sumber ketidakstabilan yang berpotensi di rantau ini, selain radikalisasi," kata Guterres.

"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyambut baik pendekatan konstruktif yang diambil ASEAN, termasuk penyediaan bantuan kemanusiaan ke utara Rakhine. Sejak permulaan krisis, dan melangkaui penghujung keganasan, saya telah meminta supaya akses kemanusiaan yang tidak dihalang diberikan kepada komuniti terjejas; dan hak untuk pulang dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah bagi mereka yang melarikan diri, ke tempat asal mereka. "

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang merupakan antara pemimpin asing yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat sampingan di Manila, bersetuju dengan kebimbangan setiausaha agung PBB itu bahawa Rohingya boleh menjadi radikal jika mereka terus ditindas.

"Mengenai isu pelarian Rohingya dan negeri Rakhine, saya menegaskan bahawa sebagai sebuah organisasi, kita tidak boleh berdiam diri kerana dunia sedang menunggu tindak balas ASEAN berhubung krisis ini," kata pemimpin Malaysia itu dalam catatan blog beliau.

ASEAN perlu menangani krisis itu, yang juga menjejaskan negara beliau apabila ia turut didatangi Rohingya pada masa lalu, kerana "pelarian ini adalah sasaran yang berpotensi untuk dipengaruhi oleh IS atau DAESH," kata Najib yang menggunakan nama Arab bagi kumpulan ekstremis Negara Islam .

"Apabila saya membangkitkan isu Rohingya, Aung San Suu Kyi, dalam maklum balasnya, berkata, kerajaan Myanmar sedang berunding mengenai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh bagi menentukan kepulangan pelarian itu ke negeri Rakhine. MoU ini akan ditandatangani tidak lama lagi, "katanya.

Presiden A.S. Donald Trump, yang bertemu dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Rodrigo Duterte, berkata, kedua-dua pemimpin telah membincangkan krisis Myanmar dan menggesa supaya "bantuan kemanusiaan kepada komuniti terjejas diberikan dengan secepat mungkin."

Trump dan Duterte juga menyambut baik "komitmen kerajaan Myanmar untuk menamatkan keganasan yang berlaku, mengembalikan akses media, serta memastikan kepulangan selamat orang tanpa tempat tinggal.

Trump dan Guterres adalah antara pemimpin dunia yang berhimpun di ibu negara Filipina itu bagi menghadiri sidang kemuncak tahunan pemimpin ASEAN, iaitu blok serantau yang negara-negara anggotanya sejak sekian lama mempunyai dasar kolektif berhubung tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berucap pada Sidang Kemuncak  ASEAN-PBB Ke-9, di Manila, 13 Nov, 2017. [AFP]

Laporan Tatmadaw

Kebanjiran terbaru Rohingya Muslim ke tenggara Bangladesh didorong oleh tindakan keras pihak tentera di Rakhine. Ia menyusuli serangan yang dilakukan terhadap pos-pos polis dan tentera di sana pada 25 Ogos lalu, dengan  pemberontak Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) dipersalahkan bagi perbuatan itu.

Kira-kira sejuta pelarian Rohingya, termasuk mereka yang melarikan diri sejak keganasan awal berlaku di Rakhine, kini mendapatkan perlindungan di Bangladesh.

Pada Isnin, Tatmadaw (tentera Burma) mengeluarkan laporan pasukan yang menyiasat serangan pada Ogos itu. Laporan itu merumuskan bahawa keganasan tersebut dicetuskan oleh "pengganas Bengali ARSA" yang menyerang kira-kira 30 pos polis.

Kesimpulan utama laporan itu, di mana lebih daripada 3,200 penduduk kampung dan 804 saksi ditemu bual, adalah "pasukan keselamatan hanya menentang pengganas Bengali ARSA."

"Mereka tidak pernah menembak orang awam yang tidak bersalah," kata laporan itu, yang jelas bertentangan dengan keterangan para pelarian Rohingya yang memberitahu pekerja hak asasi di Bangladesh bahawa mereka melarikan diri kerana para perusuh Buddha telah melancarkan keganasan secara meluas termasuk melakukan perbuatan pembakaran khianat, pembunuhan dan merogol.

Laporan itu juga mendakwa bahawa "pengganas Bengali" pada asalnya dianggarkan seramai kira-kira 4,000 orang tetapi apabila mereka melancarkan serangan, jumlahnya telah bertambah kepada kira-kira 10,000 orang.

Para pejuang itu, yang laporan berkenaan tidak pernah klasifikasikan mereka sebagai etnik Rohingya tetapi sebagai "pengganas Bengali," didakwa menggunakan bom buatan sendiri dan periuk api tempatan yang diledakkan dengan alat kawalan jauh. Polis, sebaliknya, hanya menggunakan senjata-senjata kecil, kata laporan itu.

"Oleh itu, pasukan keselamatan menggunakan undang-undang yang berkaitan peperangan dalam menjalankan operasi kawasan. Oleh itu, adalah didapati bahawa pasukan keselamatan tidak berlebihan dalam melaksanakan kuasa mereka," menurut laporan itu yang turut menyatakan bahawa "tiada orang tidak bersalah yang mati. "

Korea Utara

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, yang turut berada di Manila, berkata, beliau telah membangkitkan tentang keadaan di Rakhine dengan Aung San Suu Kyi.

"Ini sangat membimbangkan Kanada dan banyak negara lain di seluruh dunia," kata Trudeau kepada pemberita. "Dan, sekali lagi, kita selalu melihat kepada bagaimana hendak mendesak orang, bukannya bagaimana kita boleh membantu untuk bergerak ke hadapan bagi mengurangkan keganasan, dan menekankan kedaulatan undang-undang serta memastikan perlindungan bagi semua warganegara."

Namun, walaupun para pemimpin dunia bersuara tegas mengenai krisis itu, masalah di Rakhine tidak pun dinyatakan dalam kenyataan rasmi daripada pengerusi ASEAN, yang secara tradisinya akan mengeluarkannya sebagai dokumen hasil pada akhir sidang kemuncak itu.

Sebaliknya, draf kenyataan itu yang dilihat oleh BeritaBenar, mendapati ia memberi tumpuan kepada perkara lain yang membimbangkan di rantau ini termasuk krisis peluru berpandu di Korea Utara, yang dikenali dengan nama rasminya Republik Demokratik Rakyat Korea.

"Kami menggesa DPRK untuk segera mematuhi semua resolusi relevan Majlis Keselamatan PBB," kata kenyataan itu, dan menggesa supaya "pelaksanaan penuh dan menyeluruh" semua resolusi relevan mengenai Korea Utara diterima pakai oleh majlis PBB itu.

Razlan Rashid di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.