Anwar Fail Saman Mohon Dibebaskan
2017.06.09
Kuala Lumpur

Ketua Pembangkang de fakto Anwar Ibrahim pada Jumaat memfailkan saman pemula untuk membatalkan sabitan dan menuntut pembebasannya dari hukuman penjara lima tahun berikutan pendedahan bayaran RM9.5 juta oleh Perdana Menteri Najib Razak kepada peguam yang dilantik menjadi pendakwa raya Muhammad Shafee Abdullah .
Anwar selaku plaintif menfailkan saman itu di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguamnya N. Surendran dengan menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan serta menuntut pengisytiharan bahawa sabitan kesalahannya di Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tidak sah.
Peguam Anwar, N Surendran yang memfailkan saman bagi Tetuan Daim dan Gamany menegaskan, anak guamnya sebagai orang yang kena tuduh berhak di bawah Perlembagaan Persekutuan mendapat perbicaraan yang adil di semua peringkat proses kehakiman.
“Saman ini difailkan pada hari ini kerana terdapat pendedahan baru yang mengatakan bahawa pendakwa raya menerima bayaran RM9.5 juta,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan saman berkenaan.
Melalui saman itu, Anwar mendakwa tidak mendapat perbicaraan yang adil susulan pendakwaan dikendalikan peguam Muhammad Shafee, peguam yang dilantik oleh pendakwa raya yang bertentangan dengan amalan biasa kamar peguam negara dan pendakwa raya.
"Sebagai orang yang dituduh, saya berhak mendapat perbicaraan yang adil di semua peringkat proses penghakiman termasuk pendakwaan oleh peguam yang bebas dan tidak terpengaruh oleh pihak ketiga melalui dorongan berbentuk kewangan," kata Anwar dalam samannya itu.
Anwar juga memohon deklarasi sabitan oleh Mahkamah Rayuan atas pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan bertarikh 7 Mac 2014 dan perintah Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015 yang mengesahkan perintah mahkamah rayuan adalah tidak sah dan terbatal serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
Muhammad Shafee dilantik menjadi pendakwa raya oleh kerajaan bagi mengetaui rayuan kes membabitkan Anwar di Mahkamah Rayuan pada 2014 dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pada 11 Mac 2015, memberitahu Parlimen kerajaan hanya membayar RM1,000 kepada Shafee untuk mengetuai kumpulan pendakwaan kes itu.
Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Rakyat Bakri, Er Teck Haw dari DAP.
“Jumlah yang diberikan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak antara kerajaan dan ketua pendakwa,” katanya seperti dilaporkan media tempatan pada masa itu.
Bagaimanapun pada 31 Mei lepas, Sarawak Report dalam laporannya mendakwa peguam itu telah dibayar sebanyak RM9.5 juta yang disalurkan terus daripada akaun peribadi Najib yang berpunca daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhammad Shafee yang kebetulan berada di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan satu kes lain semasa ditemui pemberita memberitahu beliau tidak akan menjawab sebarang soalan berkaitan perkara itu sebaliknya akan mengeluarkan kenyataan kemudian.
“Saya akan buat satu kenyataan, tetapi bukan hari ini. Saya akan berikan kenyataan media. Saya akan beritahu anda,” kata Shafee kepada media.
Dua transaksi
Laman web Sarawak Report itu mendakwa Shafee menerima pembayaran dalam bentuk dua transaksi daripada Najib dengan laman itu dilaporkan menerbitkan salinan dua slip yang dibayar pada September 2013 dan Februari 2014.
Pembayaran itu adalah dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan menafikan laporan Sarawak Report yang mendakwa Najib membayar RM9.5 juta kepada Shafee pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.
Menurutnya, adalah mustahil akaun yang ditutup pada Ogos 2013 boleh membuat pengaliran wang keluar pada September 2013.
“Ini satu dakwaan yang tidak betul,” katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya, awal minggu ini.
Sementara itu, Surendran berkata pasukan peguam Anwar juga telah memfailkan sijil perakuan segera untuk mendapatkan tarikh mahkamah paling awal bagi tuntutan mahkamah itu.
Beliau menegaskan Anwar sebagai seorang rakyat Malaysia harus mendapat perbicaraan yang adil termasuk pendakwa raya yang bebas dan tidak terpengaruh dengan pihak ketiga melalui dorongan berbentuk kewangan.
Turut berada di mahkamah ialah tiga anak perempuan Anwar iaitu, Nurul Nuha, Nurul Ilham dan Nurul Iman.
Nurul Nuha yang mengetuai Gerakan Bebas Anwar memberitahu, bahawa keluarga Anwar tetap dengan pendirian bahawa ayah mereka tidak bersalah dalam kes tersebut dan ia merupakan tindakan politik untuk menafikan hak bekas timbalan perdana menteri itu untuk mengetuai pakatan pembangkang bagi Pilihanraya Umum ke-14.
Forum di beberapa negeri
Sementara itu Gerakan Bebas Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa gerakan itu akan mengadakan forum di beberapa negeri bagi mendedahkan mengenai pembayaran kepada Muhammad Shafee itu.
Gerakan itu berkata, forum bertajuk `Kesan Pendedahan RM9.5 juta` akan dijalankan setelah puluhan laporan polis serta desakan terhadap agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi menyiasat perkara itu tidak mendapat sebarang maklum balas.
Kenyatan itu juga menyebut satu kempen yang berbentuk forum akan dimulakan pada 13 Jun di Petaling Jaya dan akan ke beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.
Anwar didakwa melakukan kesalahan meliwat itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.
Pada Disember 2016, Anwar, 69, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dibebaskan dari penjara selepas Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia, menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan tuduhan oleh Mahkamah Rayuan.
Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya pada 2014.
Pada Januari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap tindakan Lembaga Pengampunan yang menolak permohonannya pada Mac 2015.
Melainkan Anwar mendapat pengampunan, bekas ketua pembangkang itu tidak boleh mencabar Najib dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada pertengahan 2018 kerana undang-undang Malaysia membatalkan kelayakan seseorang yang telah disabit kesalahan oleh Mahkamah, untuk bertanding.
Anwar dibebaskan pada 2004 daripada tuduhan meliwat yang difailkan pada tahun 1998. Beliau mendakwa bahawa beliau telah diperangkap oleh parti UMNO yang diketuai pada masa itu oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.
Mahathir telah meninggalkan UMNO, dan bekas perdana menteri itu telah menyertai Anwar, mengkritik Najib.