Anggota Parlimen Kosongkan Kerusi Untuk Anwar Kembali Ke Arena Politik

Hadi Azmi
2018.09.12
Kuala Lumpur, Malaysia
180912-MY-anwar-620.jpg Pemimpin Parti Keadilan Rakyat Malaysia Anwar Ibrahim bercakap kepada pemimpin perniagaan semasa mesyuarat tahunan CEO Persatuan Pengurusan Filipina, di Manila, 4 September, 2018.
(AP)

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim dijangka kembali ke politik secara rasmi selepas seorang anggota parlimen mengosongkan kerusinya pada Rabu, yang akan mencetuskan pilihan raya kecil untuk memberi laluan kepada bakal Perdana Menteri Malaysia tersebut.

Anwar, yang dibebaskan dari penjara pada 16 Mei selepas menerima pengampunan DiRaja atas sabitan kes liwat, perlu memenangi kerusi Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan, sebelum mengambil alih jawatan perdana menteri dari Mahathir Mohamad. Tiada tarikh ditetapkan untuk pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen itu.

Bekas Laksamana Tentera Laut DiRaja Malaysia  Danyal Balagopal, yang dipilih pertama kalinya sebagai Anggota Parlimen bagi kawasan itu pada Mei lepas, memberi alasan kesulitan menyesuaikan diri dengan kehidupan politik selepas empat dekad perkhidmatan dalam tentera laut sebagai sebab utama beliau mengambil keputusan melepaskan jawatannya.

Pegawai tinggi tentera laut itu membuat pengumuman melepaskan jawatannya di satu sidang media di ibu pejabat PKR yang dihadiri oleh Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

"Anwar bersetuju dan bersedia bertanding di Port Dickson. Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi anggota parlimen, dan perdana menteri kelapan Malaysia, "kata Danyal.

Port Dickson akan menjadi kerusi pertama yang akan dipertandingkan oleh Anwar selain kerusi di negeri asalnya di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang dipegangnya selama enam penggal, bermula pada tahun 1982. Beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri tetapi dipecat daripada jawatan itu semasa pentadbiran Mahathir sebagai Perdana Menteri, di mana kedua-duanya merupakan anggota parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama Barisan Nasional yang berkuasa ketika itu.

Anwar dan Mahathir bekerjasama semula tahun lalu untuk membentuk gabungan Pakatan Harapan (PH) yang mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk merampas pertadbiran kerajaan. Mahathir, 93, dijangka melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

Anwar dikreditkan berkhidmat sebagai ketua de fakto PKR dan menguruskan kempen pilihan raya dari dalam penjara walaupun dia tidak memegang jawatan rasmi dengan parti itu.

Memegang jawatan wakil rakyat sangat penting dalam rancangan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerana di bawah perlembagaan Malaysia, seseorang perlu menjadi anggota parlimen sebelum layak menjadi seorang perdana menteri.

Saifuddin, bercakap bagi pihak Anwar yang kini berada di Hong Kong pada Rabu, memberitahu wartawan bahawa para pegawai PKR telah berbincang dengan pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan yang lain dan mereka bersetuju untuk menyokong Anwar sebagai calon.

"Mereka telah memberi jaminan kerjasama dalam memastikan kemenangan Anwar," katanya.

Dia juga berkata bahawa Anwar tidak akan menerima jawatan kepimpinan kerajaan jika dipilih, tetapi akan memberi tumpuan kepada pembaharuan parlimen.

"Sebagai Ahli Parlimen, Anwar yang juga sebahagian daripada Majlis Presiden PH, boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dalam membantu kerajaan," kata Saifuddin.

Dalam temu bual dengan CNBC yang diterbitkan sebelum Danyal mengumumkan perletakan jawatan, Anwar berkata bahawa kerusi parlimen perlu dikosongkan sebelum dia boleh bertanding sebagai anggota Parlimen.

"Itu dijangka akan berlaku tidak lama lagi," kata Anwar, 71, kepada rangkaian itu.

"Jika saya menang, InsyaAllah, saya akan memberi tumpuan kepada pembaharuan parlimen," katanya.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan PKR Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa kepimpinan parti itu tidak mengikuti saluran yang betul dalam memilih calon.

"Setiap keputusan yang dibuat oleh parti perlu dilakukan melalui jawatankuasa supaya satu konsensus dapat dicapai seiring dengan semangat reformasi dan demokrasi," katanya.

Terkesan dengan pendirian


Sementara itu, stesen televisyen tempatan Astro menyiarkan temu bual bersama Anwar yang kini berada di Hong Kong.

Anwar dalam temu bual itu memaklumkan yang beliau telah menghubungi Perdana Menteri Mahathir memaklumkan mengenai keputusan untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.

"Saya beritahu bahawa kami akan terus menyatakan sokongan padu kepada Tun Mahathir untuk terus menerajui negara," kata Anwar.

Sementara itu, Anwar turut mengaku terkesan dengan pendirian Anggota Parlimen Daniyal Balagopal dengan berkata "Saya tertarik dengan kawasan Teluk Kemang ini dan saya juga terkesan dengan personaliti Laksamana Danyal.

"Dia tidak bercakap tentang soal mengundur. Dia berbicara soal berdamping dan bersama untuk membentuk pasukan yang mantap," kata Anwar dalam temu bual berkenaan seperti disiarkan oleh stesten televisyen berkenaan pada Rabu.

Dalam memberi tindak balas kepada pengumuman mengenai Anwar bertanding sebagai anggota parlimen, bekas ketua pemuda UMNO yang juga anggota parlimen Rembau, sebuah kawasan parlimen di Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin memuat naik status dalam akaun laman sosial Twitternya dengan mencadangkan BN mencalonkan anak tempatan untuk menghadapi Anwar.

"Memang sukar bagi BN untuk menang, tetapi calon tempatan yang akan mampu memberikan persaingan yang lebih sengit," katanya.

Anwar mempunyai peluang yang baik untuk memenangi pilihan raya kecil ini, tidak kira siapa yang menentangnya, menurut Wong Chin Huat, seorang penganalisis politik dengan Institut Pulau Pinang.

"Kebanyakan rakyat Malaysia mahu Anggota Parlimen yang akan menyandang jawatan perdana menteri pada masa depan," katanya kepada BeritaBenar.

"Cabaran Anwar adalah untuk menunjukkan keunggulannya sebagai perdana menteri di masa depan tanpa dilihat sebagai calon yang tergesa-gesa untuk menjatuhkan kepimpinan Mahathir," kata Wong.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.