Malaysia Terima Pakai Undang-undang Anti Keganasan Yang Cetus Perbalahan


2015.04.07
150407-my-lulus620 Suasana di dalam Dewan Rakyat Malaysia, Speakernya Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyampaikan ucapan beliau semasa majlis angkat sumpah di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Jun 24 2013
AFP

Laluan kepada kelulusan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) adalah susulan laporan pada Isnin bahawa pihak berkuasa Malaysia telah menahan 17 suspek militan yang, menurut Ketua Polis, telah merancang serangan bom di Kuala Lumpur dan juga penculikan tokoh terkemuka.

Kumpulan suspek itu, mendapat inspirasi daripada kumpulan jihad Negara Islam (IS), kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa. Mereka telah berpakat untuk merompak bank, menyerbu balai polis dan pos tentera untuk mendapatkan wang dan senjata bagi melaksanakan rancangan jahat mereka, kata Khalid.

"Tujuh belas orang yang berumur antara 14 hingga 49 tahun ditahan ketika mereka sedang mengadakan mesyuarat rahsia untuk merancang serangan ganas (di kawasan Kuala Lumpur)," Agence France-Presse memetik Khalid sebagai berkata.

"Tujuan kumpulan pengganas ini adalah untuk membentuk sebuah negara Islam seperti IS di Malaysia," katanya.

Pihak polis tidak memberikan butiran lain mengenai tangkapan pada Ahad oleh bahagian menangani pengganas Polis DiRaja Malaysia. Pada Isnin, Khalid menulis tweet bahawa dua daripada suspek baru pulang dari Syria.

Perbahasan hangat

Para penggubal undang-undang di Dewan Rakyat, iaitu dewan perwakilan rendah di Parlimen, membahaskan rang undang-undang POTA, sepanjang malam Isnin hinggalah ke awal pagi Selasa, yang akhirnya mengundi untuk meluluskannya, selepas dibahas lebih 12 jam.

Tujuh puluh sembilan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) mengundi menyokong rang undang-undang itu dan 60 Ahli Parlimen pembangkang mengundi menentang, demikian dilaporkan oleh Malay Mail Online.

Kerajaan berusaha memudahkan laluan bagi rang undang-undang ini dengan menegaskan bahawa Malaysia memerlukan undang-undang antipengganas yang lebih ketat untuk melawan ancaman domestik yang semakin meningkat daripada IS, penyokong tempatan serta rekrut yang dilatih di dalam negara.

"Ini adalah ancaman sebenar dan langkah pencegahan perlu dilakukan," agensi berita negara, Bernama memetik Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sebagai memberitahu Parlimen pada Isnin.

Pengenalan rang undang-undang itu, bagaimanapun, mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin pembangkang, peguam dan pejuang hak asasi manusia yang berkata laluan rang undang-undang itu seperti membangkitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang kerajaan mansuhkan pada 2012.

ISA telah membenarkan pihak berkuasa untuk menahan suspek selama dua tahun tanpa perbicaraan. Kerajaan telah menggunakannya untuk memenjarakan pemimpin pembangkang dan pengkritik kerajaan yang lain.

Semasa perbahasan Parlimen pada Isnin, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat cuba memperkenalkan pindaan sendiri bagi rang undang-undang itu, tetapi tiada perubahan dapat dibuat kerana Dewan Rakyat mengundi memihak kepada rang undang-undang berkenaan.

“Pakatan Rakyat komited untuk memerangi keganasan, serta mengambil isu keganasan itu, sesuatu yang serius. Pada masa yang sama juga , kami ingin melindungi demokrasi, atau apa sahaja yang ditinggalkan demokrasi di Malaysia, "Free Malaysia Today memetik Wong Chen, seorang pemimpin pakatan itu, sebagai memberitahu pemberita pada Isnin.

"Anda tidak boleh melawan keganasan dengan hanya mengecilkan atau memusnahkan demokrasi. Itu tidak akan berhasil,” kata beliau.

Membuka semula Kotak Pandora?

Ketika memberi reaksi berhubung laporan berita mengenai laluan rang-undang itu, Human Rights Watch (HRW), kumpulan penyokong yang berpejabat di Amerika Syarikat, menganggapnya sebagai “langkah besar yang terkebelakang bagi hak asasi di Malaysia.”
Kerajaan Malaysia telah "meneruskan kecenderungannya untuk melanggar peraturan berhubung hak asasi,” kata Timbalan Pengarah Asia Phil Robertson HRW dalam satu kenyataan.

"Dengan mengembalikan penahanan tanpa perbicaraan, Malaysia telah membuka semula Kotak Pandora kerana ia bermotifkan politik, tindakan kasar negara yang ramai menyangka sudah ditutup apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri  dimansuhkan pada 2012," kata Phil.

"Laluan undang-undang ini menimbulkan kebimbangan serius bahawa Malaysia akan kembali kepada amalan masa lalu apabila ejen kerajaan sering membangkitkan ketakutan akibat penahanan tanpa had untuk menakut-nakutkan dan menutup mulut pengkritik yang lantang."

 

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.