Sidang Kemuncak Bangkok Himpunkan Negara-negara Terlibat Krisis Migran
2015.05.27

Wakil-wakil dari 17 negara dijadualkan berhimpun di Bangkok pada Jumaat untuk mesyuarat mengenai penghijrahan tidak teratur, namun pegawai-pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata negara-negara barisan hadapan perlu menangani masalah itu dengan segera dan bukan sekadar berbincang mengenainya.
Negara-negara yang paling terjejas oleh krisis pendatang perlu membanteras sindiket pemerdagangan manusia, dan mereka harus menjadikannya sebagai keutamaan untuk menyelamatkan dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada beribu-ribu orang yang masih terkandas di laut, kata pegawai-pegawai PBB yang berpejabat di Bangkok.
"Buat masa ini, tiada siapa tahu bila ia akan berakhir ... tetapi unsur jenayah perlu diberi perhatian serius," kata Jeremy Douglas, wakil serantau bagi Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) kepada BeritaBenar.
"Melindungi kehidupan manusia adalah yang paling utama" dalam krisis penghijrahan haram ini, katanya.
"Sudah pasti ada cabarannya bila perkara ini tidak diutamakan oleh institusi seperti organisasi polis, atau ia tidak diberi perhatian, atau, mungkin, penjenayah menyusup masuk organisasi polis," kata Douglas.
"Kita perlu memastikan semua pihak penguatkuasaan undang-undang saling bekerjasama, berhubung dan menangani kumpulan-kumpulan ini, kerana agak serius mereka [sindiket pemerdagangan manusia] dapat beroperasi sejak sekian lama, dengan membawa beribu-ribu orang dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perusahaan jenayah yang cukup serius yang mampu berbuat demikian, "katanya.
Pendekatan menyeluruh diperlukan
Membanteras sindiket pemerdagangan manusia hanyalah satu daripada masalah rumit yang memerlukan tindakan bersepadu antarabangsa, kata Vivian Tan, jurucakap pejabat serantau Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR).
"Ini jelas merupakan satu masalah serantau yang memerlukan penyelesaian serantau. Amat baik bagi negara-negara di rantau ini untuk berbincang mengenai cabaran yang sama ini, oleh itu, ia adalah permulaan yang baik," kata Tan kepada BeritaBenar.
"Namun, ia perlulah satu pendekatan yang menyeluruh. Janganlah hanya tentang penguatkuasaan undang-undang atau membanteras sindiket penyeludupan, kerana jika itu sahaja, ia tidak akan berkesan.”
Negara-negara di rantau ini perlu mengutamakan usaha dalam menyelamatkan mereka yang masih terkandas di laut dan harus segera menghantar bantuan makanan, perubatan dan keperluan lain kepada mereka ini, katanya.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), kira-kira 4,000 pendatang haram masih berada di laut pada Isnin, dan seramai 3,200 orang telah mendarat di Malaysia dan Indonesia sejak 4 Mei.
Masalah ini tidak dapat diselesaikan melainkan negara-negara ini "turut menangani puncanya, kerana, selagi anda tidak menyediakan keadaan lebih baik bagi orang di Myanmar dan Bangladesh, mereka akan terus meninggalkan negara dan membahayakan nyawa mereka di dalam bot-bot penyeludup," kata Tan.
Myanmar dilihat sebagai punca kepada masalah itu kerana ia tidak mengiktiraf Rohingya Muslim, yang kebanyakannya dari negeri barat Rakhine, sebagai warganegaranya.
"Malaysia akan mendapatkan jaminan daripada kerajaan Myanmar dalam menangani krisis ini, sambil menekankan pentingnya untuk mengenal pasti dan menyelesaikan punca utama masalah ini," kata Menteri Luar Malaysia Anifah Aman, yang menjelaskan agenda kerajaannya pada sidang kemuncak Bangkok.
"Kami juga akan meminta Myanmar untuk terus menyokong dan melaksanakan program-program bagi pembangunan ekonomi dan sosial di rantau ini, '' katanya kepada BeritaBenar.
Belum pernah berlaku
Mesyuarat pada Jumaat ini menandakan bahawa negara-negara di rantau ini buat pertama kalinya duduk berbincang mengenai pemerdagangan manusia dan pendatang haram.
Dikenali sebagai "Mesyuarat Khas Penghijrahan Tidak Teratur di Lautan Hindi", sidang kemuncak itu akan menghimpunkan 17 negara, kata Kementerian Luar Negeri Thailand.
Negara berkenaan ialah Thailand, Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India, Pakistan, Australia, New Zealand, Kemboja, Laos, Vietnam, Afghanistan, Iran, Papua New Guinea, Filipina dan Sri Lanka.
Delegasi dari Amerika Syarikat dan Switzerland akan menghadiri mesyuarat itu sebagai pemerhati, selain UNHCR, UNODC dan IOM yang turut mengambil bahagian.
"Mesyuarat Khas ini adalah gesaan kepada rantau ini supaya bekerjasama dengan menyeluruh untuk menangani peningkatan penghijrahan tidak teratur yang belum pernah berlaku di Teluk Bengal sebelum ini," kata kementerian itu dalam satu kenyataan akhbar.
Thailand mengumumkan mengenai sidang kemuncak itu pada 12 Mei, di tengah-tengah tindakan keras kerajaan terhadap pemerdagangan manusia yang menyebabkan bot-bot yang sarat dengan pendatang haram cuba mendarat di kawasan lebih jauh di selatan.
Lapan hari kemudian, kerajaan Indonesia dan Malaysia mengumumkan bahawa ia menarik balik dasar menolak kemasukan bot-bot pendatang, dan akan memberikan mereka perlindungan sementara selama setahun.
Namun, Thailand telah tidak bersetuju untuk menerima lebih ramai migran.
Kem Rimba
Malaysia dan Thailand telah menemui kem-kem penyeludupan dan kubur-kubur migran di kawasan pergunungan rimba di sepanjang sempadan kedua-dua negara itu.
Thailand telah menangkap pegawai-pegawai tempatannya kerana disyaki memperdagangkan manusia termasuk Datuk Bandar dan Timbalan Datuk Bandar di wilayah Songkhla.
Pada Rabu, Malaysia mengumumkan penangkapan 12 anggota polis yang disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket pemerdagangan manusia, tetapi belum dipastikan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan 28 kem dan 139 kubur yang ditemui di negeri utara, Perlis.
"Empat orang telah ditangkap polis kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia dan lapan lagi ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia baru-baru ini," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Penduduk-penduduk kawasan pedalaman di mana kem-kem itu ditemui, tidak terkejut, namun pegawai Malaysia mendakwa sebaliknya.
"Saya tinggal di sini selama 30 tahun dan saya telah melihat ramai Rohingya, dan mereka sentiasa dalam keadaan yang teruk," kata penduduk Perlis, Sani Hashim, 80, kepada Agence France-Presse.
Pendatang-pendatang yang kurus kering itu datang ke kebunnya merayu diberi makanan, air dan pakaian, katanya.
"Kami buat apa yang boleh sahaja. Jika mereka tidak mampu untuk berdiri atau berjalan, kami panggil pihak berkuasa bawa mereka dari sini," beliau dipetik sebagai berkata.
Uayporn Satitpanyapan di Washington dan Hata Wahari di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.