Myanmar Perlu Disingkirkan Daripada ASEAN

Oleh Hata Wahari
2015.06.12
150612-MY-MAHATHIR Pelarian etnik Rohingya dari Myanmar yang bermastautin di Malaysia memegang sepanduk semasa perhimpunan mengenai krisis Rohingya di sebuah dewan di Ampang, di pinggir bandar Kuala Lumpur. 3 Jun, 2015.
AFP

Myanmar perlu disingkir sebagai anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) kerana berterusan melakukan penindasan dan pembunuhan terhadap kaum Rohingya, kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, pada Jumaat.

Beliau yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (Perdana Global Peace Foundation [PGPF]) berkata, perbuatan Myanmar terhadap kaum Rohingya adalah satu jenayah kejam yang tidak dapat diterima oleh ASEAN dan dunia.

"Adalah lebih baik Myanmar dikecualikan daripada ASEAN kerana membunuh dan menindas berterusan kaum Rohingya, (ini) tidak boleh diterima badan kemanusiaan di seluruh dunia,” katanya.

Myanmar merupakan negara kesembilan di Asia Tenggara yang menyertai ASEAN, pada 23 Julai 1997.

Insiden ‘2012 Rakhine Negeri Rusuhan’ adalah keganasan kaum antara penganut Budha tempatan dan warga Islam Rohingya yang menyebabkan kehilangan nyawa yang besar.

Myanmar turut menafikan kerakyatan warga Rohingya, minoriti Islam yang miskin dan terpinggir di bahagian barat negara itu, dengan ramai daripada mereka tinggal di kem-kem pelarian dan tidak dibenarkan keluar atau diberi pendidikan dan pekerjaan.

Mahathir berkata, Myanmar perlu bertanggungjawab dalam isu pembunuhan beramai-ramai itu, kerana ia kini menjadi isu antarabangsa.

Bawa nama buruk kepada ASEAN

"Negara seperti Myanmar hanya membawa nama buruk kepada ASEAN secara keseluruhan. Negara anggota ASEAN mesti memberitahu Myanmar supaya berhenti membunuh dan menindas, jika tidak, lebih baik Myanmar meninggalkan ASEAN,” katanya.

“Membunuh orang adalah satu jenayah dan adakah kita melakukan apa-apa? Tidak. Kita tidak melakukan apa-apa tindakan.

“Etnik Rohingya tidak akan melarikan diri dari Myanmar sekiranya penindasan dan pembunuhan tidak berlaku," tambah Mahathir.

Beliau berkata polisi ASEAN untuk tidak campurtangan dalam urusan hal ehwal dalaman negara anggotanya perlu dipertimbangkan, memandangkan Myanmar telah melampaui batas.

“Sudah tiba masanya bagi Malaysia, Asean dan dunia membuang sikap ‘tidak mahu campur tangan’ dalam isu ini kerana menganggap ia melibatkan politik dalaman Myanmar.

"Kita perlu campur tangan. Rohingya perlu dipertahankan dari luar jika dari dalam negara sendiri mereka gagal dipertahankan," kata Mahathir.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Negeri Islam OIC, Iyad Ameen Madani semasa melawat Malaysia April lepas berkata "Cara terbaik untuk melibatkan diri dengan kerajaan Myanmar, yang juga anggota Asean, adalah melalui keluarga Asean,"

“Asean adalah kunci terdekat dalam usaha penyelesaian. Kita tidak boleh melakukannya tanpa bantuan Asean,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Ahli Parlimen Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (APHR) Charles Santiago berkata “Peningkatan risiko jenayah kekejaman di Myanmar merupakan ancaman secara langsung kepada negara-negara ASEAN, kerana risiko keselamatan dan kekangan ekonomi boleh mengancam kesemua negara anggota ASEAN, serta menjejaskan komitmen untuk melindungi rakyat daripada penindasan dan keganasan”

Manakala Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di manfaatkan sepenuhnya dengan mempengaruhi Myanmar agar menghentikan pemusnahan bangsa yang berterusan ke atas kaum minoriti di negara itu.

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptamanya pada Persidangan Antarabangsa mengenai nasib Rohingya, Bahagian II: Jenayah terhadap Kemanusian anjuran PGPF di Kuala Lumpur itu, Mahathir turut mendedahkan bahawa beliau ada mengutus surat kepada ikon demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi, yang juga Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, dalam usaha menyelesaikan krisis kemanusiaan melibatkan kaum Rohingya di negara itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata sehingga kini beliau tidak menerima sebarang jawapan daripada Suu Kyi dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang ‘tidak menggembirakan’.

Mahathir turut menegaskan bahawa perbuatan membunuh dan menyiksa sesama manusia juga dilarang oleh agama, termasuklah agama Buddha yang amat terkenal dengan agama yang cintakan keamanan.

Dalam perkembangan yang sama, persidangan itu, telah mengeluarkan resolusi mengenai warga Islam Rohingya pada akhir persidangan berlangsung yang antara lain menggesa negara-negara maju yang belum menjadi negara penempatan semula supaya bersetuju untuk menempatkan pelarian dan menetapkan kuota yang munasabah.

Mesyuarat itu juga berpendapat tentang perlunya Amerika Syarikat, Australia, Kesatuan Eropah dan negara-negara penempatan yang lain untuk meningkatkan kuota mereka dengan tujuan untuk mempercepatkan proses penempatan pelarian yang kini berada di Malaysia, Thailand dan Indonesia.  

Ia juga menggesa negara maju serta organisasi antarabangsa termasuk OIC memberi bantuan sosioekonomi secara langsung kepada masyarakat Rohingya di Myanmar sebagai cara untuk tidak menggalakkan mereka daripada meninggalkan negara mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.